Ahad, Jun 14, 2009

SEBUTIR MUTIARA YANG HILANG




Ketika sedang menyampaikan ceramah di Surau Taman Dato' Harun, PJS Sabtu lalu, saya menerima satu mesej yang mengejutkan dari Ustaz Roslan, Timbalan Qadhi Bentong "AL FATIHAH, DR FATHI YAKAN TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH... BARU SEBENTAR TADI..."

Terkejut dengan mesej berkenaan, saya terhenti seketika daripada meneruskan ceramah. Amat mengejutkan! Dunia Islam kehilangan sebutir lagi mutiara yang amat berharga. Sambil memegang handphone, saya terus mengumumkan kepada ahli jamaah surau tentang berita sedih berkenaan.

Dr Fathi Yakan seorang ulama', seorang ahli fikir dan seorang politikus yang terkenal di seluruh dunia. Buku-buku tulisan beliau telah saya baca sejak dari zaman persekolahan dahulu khususnya buku Golongan Yang Gugur Dalam Jalan Dakwah dan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam.

SIAPA DR FATHI YAKAN?

Lelaki keturunan Turkey ini lahir pada 3 Mei 1933 di Tripoli, Lubnan. Pendidikan beliau di peringkat Diploma ialah dalam bidang kejuruteraan elektrik di sebuah kolej di Beirut. Namun kecenderungannya dalam bidang agama mendorongnya mendalami ilmu-ilmu Islam hingga berjaya memperoleh peringkat As Syaraf dalam PhD Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan rektor Universiti Islam Al Jinan, Dr Muna Haddad. Dr Muna juga adalah anak kepada bapa saudaranya, Ustaz Haddad Yakan. Perkongsian hidup mereka menghasilkan 4 anak perempuan dan seorang lelaki serta 19 cucu.

Terkesan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin Syria pimpinan Dr Mustafa Siba'i, Fathi Yakan menubuhkan Gerakan Islam Lubnan pada tahun 50an. Pada awal 1960an, beliau mengasas Jamaah Islamiah Lubnan yang membawa fikrah Ikhwan dan menjadi pemimpin jamaah berkenaan dari tahun 1962 hingga 1992.

Pada 1992, beliau meletakkan jawatan dalam jamaah bagi menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen Lubnan. Selama 4 tahun sebagai ahli parlimen, beliau membuat pelbagai kajian dan menulis 3 buah buku berkaitan penglibatan gerakan Islam dalam politik dan parlimen. Buku berkenaan ialah:
1. التجربة النيابية بين المبدأ والتطبيق
2. التجربة النيابية عبر الإعلام
3. التجربة النيابية في الميزان


Beliau berperanan besar dalam meredakan ketegangan antara pemerintah Lubnan dengan kumpulan-kumpulan lain seperti Hizbullah pimpinan Hasan Nasrullah, kumpulan Micheal Own dan lain-lain.

Dakwahnya tidak terhad di Lubnan sahaja, bahkan beliau merantau ke seluruh dunia menyampaikan ceramah, khutbah, forum, muktamar dan sebagainya. Catatan perjalanan dakwah beliau ada dicatatkan di dalam buku فقه السياحة في الإسلام (Fiqh Pelancongan Dalam Islam). Beliau turut menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Malaysia dalam buku berkenaan. Selain itu, beliau pengalaman perjalanan beliau boleh diakses di sini.

Beliau banyak menulis dan menerbitkan buku-buku agama, politik, perjuangan dan sebagainya. Kebanyakan buku buku beliau telah diterjemah ke pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Antaranya ialah:

* مشكلات الدعوة والداعية.
* كيف ندعو إلى الإسلام؟
* نحو حركة إسلامية عالمية واحدة.
* الموسوعة الحركية (جزءان).
* ماذا يعني انتمائي للإسلام؟
* حركات ومذاهب في ميزان الإسلام.
* الاستيعاب في حياة الدعوة والدعاة.
* نحو صحوة إسلامية في مستوى العصر.
* المناهج التغييرية الإسلامية خلال القرن العشرين.
* الإسلام فكرة وحركة وانقلاب.
* الشباب والتغيير.
* المتساقطون على طريق الدعوة.
* أبجديات التصور الحركي للعمل الإسلامي.
* قطوف شائكة من حقل التجارب الإسلامية.
* خصائص الشخصية الحركية لجماعة الإخوان المسلمين

Jenazah Dr Fathi Yakan dijadualkan disembahyangkan di Masjid Tinal selepas Asar petang tadi (14 Jun 2009). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga Allah menggolongkan beliau di kalangan para solihin.

Tiada ulasan: