Khamis, Julai 29, 2010

Hijrah Ke Habasyah

Hari ini saya mengajar Sirah di bawah tajuk Hijrah Ke Habasyah. Sesungguhnya peristiwa ini sungguh memberi kesan di dalam jiwa.

Di awal perkembangan dakwah Islam di Makkah, Rasulullah SAW dan para sahabat terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan tentangan. Mereka ditindas, ditangkap, disiksa, dibunuh dan di pulau.

Khabbab disiksa dengan kejam. Yasir dan isterinya Sumayyah disiksa hingga mati. Bilal diazab dengan diheret di atas padang pasir dan dihempap batu besar di atas dadanya. Saya tidak dapat bayang betapa panasnya cuaca ketika itu. Berulang alik ke Makkah dalam dua tiga tahun ke belakangan ini, saya dapati kepanasan antara 41 ke 44 darjah celcius. Allahu Akbar, kalau begitulah kepanasan yang dihadapi Bilal, tidak dapat dibayangkan betapa melecur dan hancurnya kulit belakang beliau...

Dalam kedahsyatan penentangan ini, baginda SAW masih menggunakan pendekatan sederhana dan bersabar kerana belum datang perintah dari Allah untuk berjihad mengangkat senjata, walaupun ada sahabat-sahabat yang mendesak baginda.

Pada tahun ke5 kenabian, baginda SAW mengizinkan 15 orang sahabat berhijrah ke Habasyah untuk memelihara iman mereka. Diketuai oleh Osman bin Affan, 10 lelaki dan 5 perempuan ini meninggalkan kota Makkah tercinta, merentasi padang pasir yang panas menuju ke Selatan (Yaman). Mereka kemudian menumpang kapal menyeberangi Laut Merah untuk tiba di Habasyah.

Sesampainya di sana mereka disambut dan diberi layanan yang baik oleh Raja Najasyi. Baginda seorang raja yang beriman kepada Nabi Isa AS.

Dua tahun berikutnya (7 kenabian) seramai 101 orang sahabat (83L 18P) pula menuruti jejak langkah rombongan pertama. Kumpulan kedua ini diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib. Ketika tiba di Yaman, Abu Musa Al Asy'ari turut menyertai rombongan ini.

Kumpulan kedua ini secara terus terang menyampaikan dakwah Islam kepada Raja Najasyi. Dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, Najasyi menerima Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Nabi Isa yang diimaninya.

Khamis, Julai 15, 2010

ANDAI BAPAKU DIBUNUH....



Kesedihan kita mungkin disebabkan ahli keluarga terlibat dalam kemalangan. Dukacita kita mungkin disebabkan gagal naik pangkat. Kemurungan kita mungkin disebabkan dihidapi pelbagai jenis penyakit fizikal.

Namun di Palestin, dukacita, sedih, murung dan geram mereka bukan kerana diserang darah tinggi, eksiden, tidak naik pangkat, putus cinta dan sebagainya. Tetapi semuanya itu datang dengan sebab anak mereka dibunuh tentera Zionis. Suami mereka dipecahkan kepala di hadapan ahli keluarga. Anak gadis mereka ditangkap dan diperkosa oleh pengganas Zionis. Rumah mereka dibom dan diruntuhkan oleh jentera tolak berkuasa tinggi. Ulama' mereka diburu bagaikan binatang buruan..... Ini penyebab mereka bersedih dan berduka.

Justeru, mereka lebih menghayati kepentingan memboikot barangan Zionis, barangan Amerika dan sekutu-sekutunya. Orang luar tak tahu kepentingan boikot. Orang luar pandang enteng usaha dan kempen boikot. Orang luar tak rasa apa yang mereka rasa. Orang luar tak sedar rokok yang mereka hisap itu ada aliran wang yang pergi kepada persenjataan Yahudi Zionis.

Biar apa berita, biar apa isu yang berlaku, orang luar tetap serupa. Kenapa? Kerana bapa mereka belum dibunuh Yahudi, anak mereka belum berpengalaman diikat oleh tentera Zionis, anak dara mereka masih belum pernah diperkosa oleh pengganas Yahudi.

Ketika menyertai forum anjuran Radio Ikim di Stadium Melawati Shah Alam baru-baru ini, saya digandingkan dengan Tn Haji Norazman yang berpengalaman ditahan tentera Zionis dalam kapal Mavi Marmara Mei lalu.

Apa yang menyentuh hati saya, Norazman memberitahu, seorang anak sukarelawan Gaza dari Malaysia yang mendapat berita ayahnya dibunuh (sebenarnya ayahnya terselamat) yang masih bersekolah di sebuah sekolah rendah meminta izin dari gurunya untuk berucap di hadapan guru-guru dan para pelajar. Dia ingin mengumumkan kepada semua bahawa, "Sesiapa yang membeli rokok dan melanggan makanan di restoren makanan segera milik Amerika Syarikat adalah pembunuh bapanya!"

Kenapa budak kecil ini berkata begitu? Fikir-fikirkan...

Khamis, Julai 08, 2010

Mereka kata, "ALLAH tak pandai buat hukum!"


Dah lama saya dengar, tapi tak pernah saya tonton. Mereka bicara tentang 'dia' yang berucap meremeh-remehkan arahan AllAh dalam Surah Al Maidah ayat 38. Saya tak pernah ambil pusing.

Sebelum inipun 'dia' pernah menjawab soalan dalam ruang sebuah akhbar bahawa 'tidak mengapa' seorang ibu tunggal itu melacurkan dirinya jika dah tak ada sumber pendapatan lain untuk menyara hidup anak-anaknya.

Jadi bila timbul isu 'fatwa' terbarunya ini, saya tak berapa minat nak selidik. Pada saya dah dia memang begitu. Esok akan timbul lagi pandangan dan 'fatwa' beliau yang pelik-pelik. Namun sehari dua lalu saya tergerak hati untuk search rakaman ucapan beliau di Rumah Negeri Sembilan, Kaherah Mesir. Berikut petikan sebahagian ucapan 'berani' Dr Mashitah di hadapan pelajar-pelajar Al Azhar:


"...Kita toksah dok tuding la orang tu buat apa. Kita buat apa? Kita buat apa? Nak ambik pahala komen aje. Kita didik anak kita, tak semestinya kita didik anak kita tu dengan cara kita rotan dia je. Contoh yang paling cantik semalam saya bagi, contoh pencuri. Orang tu mencuri. Adakah kerja kita nak buat hudud potong tangan dia saja. Tak pa lah, dia curi tangan kanan, kita potong tangan kanan. Dok esok dia curi lagi. Kita potong pulak tangan kiri. Lepas tu dia curi lagi, nak potong pulak tak tau. Potong kaki pulak. Curi lagi. Curi dengan mulut la dah takdak tangan.”

”Adakah kita nak laksanakan hukum potong tangan ke atau kita nak bagi kerja kat dia. Kita bagi ruang dekat dia macam mana dia boleh berniaga. Kalau dia sudah ada ruang-ruang kebaikan, maka dia tak mencuri lah....”


Mendengar ucapan ini, saya sangat terkejut, sedih dan dukacita. Bagaimana ucapan sebegini boleh keluar dari mulut seorang yang berpendidikan tinggi dalam bidang agama Islam. Secara beraninya beliau mengkritik perintah Allah supaya menghukum pencuri. Kononnya Allah tidak pandai membuat hukum. Allah tidak pandai menyelesaikan masalah curi. Aku lagi hebat buat penyelesaiannya. Ikut cara aku baru selesai kes curi. Kalau ikut cara Allah, tak selesai masalah curi.

Inilah ucapan yang biasa kita dengar dari orang yang memusuhi Islam dan mengangungkan akal sendiri. Golongan ini berlagak lebih pandai dari Allah.... Malangnya, ucapan di atas bukan datang dari orang yang jahil tentang agama. Tetapi keluar dari mulut seorang muslimah bertudung kepala, berkelulusan agama hingga ke taraf PhD. Jika orang berkelulusan agama menghentam hukum Islam, maka siapa lagi yang akan membelanya....

Allahummahdi qaumi fainnahum la ya'lamun.

Jumaat, Julai 02, 2010

SYAITAN, SALIB, JUDI DAN ARAK MENDOMINASI ARENA BOLA SEPAK

Sikit ulasan posting terdahulu, 'Hukum Tengok Bola' tulisan Dr Haji M.Taufiq Q. Hulaimi...


Penulis bukanlah anti sangat kepada bola ni.... Tapi ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Apabila ada kejuaraan berkaitan dengan boleh sepak, biasanya seluruh dunia akan berikan tumpuan. Isu-isu lain sebesar mana sekalipun akan dilupakan barang seketika. Umat Islam juga akan turun ke kedai kopi memberikan sokongan, walaupun negara mereka tak bertandingpun.

Kadang-kadang mereka lupa negara yang mereka sokong itu suatu ketika dahulu pernah menjajah mereka. Mereka lupa Portugal pernah meruntuhkan kerajaan Islam Melaka pada 1511. Mereka lupa Portugislah yang telah memasukkan agama Kristian di Tanah Melayu. Mereka lupa Belanda pernah merampas tanah umat Islam di banyak negara Islam. Mereka lupa Inggeris telah menyembelih berpuluh-puluh rakyat Malaya (1948) di Batang Kali, membunuh Tuan Guru Haji Mohd Hasan (Tok Janggut) dan menghalau Tuan Guru Hj Abd Rahman Limbong.

Tanpa menoleh kepada catatan sejarah, mereka dengan lahap bertepuk tangan dan bersorak kegembiraan bila pasukan England, Portugal atau Belanda berjaya menyumbat gol.

Mesir sebagai contoh, apabila tv siarkan perlawanan bola sepak maka jalan raya akan menjadi lengang dek kerana ramai yang berkerumun depan tv, termasuklah driver-driver teksi yang biasanya menghuru-harakan jalan raya.

Mereka lupa bola sepak kini adalah terlalu kotor (atau dikotorkan) dengan pelbagai perkara sampingan seperti perjudian, arak, pemujaan dan lain-lain.

Syarikat pengeluar minuman keras menjadi salah satu penaja utama. Maka dicetaklah beribu-ribu jersi berlogo minuman berkenaan lalu anak-anak muda kita yang beragama Islam berbangga memakainya tanpa ada rasa salah.

Begitu juga dengan jersi negara-negara yang terlibat, khususnya negara-negara Barat. Kebanyakan mereka menjunjung lambang salib Kristian di atas logo pasokan mereka. Lebih dari itu ada pasukan yang menjadikan syaitan sebagai ikon dan maskot dalam logo mereka....

Lantas anak-anak muda kita tanpa segan silu memakai baju-baju berkenaan... Fikir-fikirkanlah....







.

KARNIVAL ULANGTAHUN KE 9 RADIO IKIM.FM