Hari ini saya mengajar Sirah di bawah tajuk Hijrah Ke Habasyah. Sesungguhnya peristiwa ini sungguh memberi kesan di dalam jiwa.
Di awal perkembangan dakwah Islam di Makkah, Rasulullah SAW dan para sahabat terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan tentangan. Mereka ditindas, ditangkap, disiksa, dibunuh dan di pulau.
Khabbab disiksa dengan kejam. Yasir dan isterinya Sumayyah disiksa hingga mati. Bilal diazab dengan diheret di atas padang pasir dan dihempap batu besar di atas dadanya. Saya tidak dapat bayang betapa panasnya cuaca ketika itu. Berulang alik ke Makkah dalam dua tiga tahun ke belakangan ini, saya dapati kepanasan antara 41 ke 44 darjah celcius. Allahu Akbar, kalau begitulah kepanasan yang dihadapi Bilal, tidak dapat dibayangkan betapa melecur dan hancurnya kulit belakang beliau...
Dalam kedahsyatan penentangan ini, baginda SAW masih menggunakan pendekatan sederhana dan bersabar kerana belum datang perintah dari Allah untuk berjihad mengangkat senjata, walaupun ada sahabat-sahabat yang mendesak baginda.
Pada tahun ke5 kenabian, baginda SAW mengizinkan 15 orang sahabat berhijrah ke Habasyah untuk memelihara iman mereka. Diketuai oleh Osman bin Affan, 10 lelaki dan 5 perempuan ini meninggalkan kota Makkah tercinta, merentasi padang pasir yang panas menuju ke Selatan (Yaman). Mereka kemudian menumpang kapal menyeberangi Laut Merah untuk tiba di Habasyah.
Sesampainya di sana mereka disambut dan diberi layanan yang baik oleh Raja Najasyi. Baginda seorang raja yang beriman kepada Nabi Isa AS.
Dua tahun berikutnya (7 kenabian) seramai 101 orang sahabat (83L 18P) pula menuruti jejak langkah rombongan pertama. Kumpulan kedua ini diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib. Ketika tiba di Yaman, Abu Musa Al Asy'ari turut menyertai rombongan ini.
Kumpulan kedua ini secara terus terang menyampaikan dakwah Islam kepada Raja Najasyi. Dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, Najasyi menerima Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Nabi Isa yang diimaninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan