Khamis, Julai 15, 2010

ANDAI BAPAKU DIBUNUH....



Kesedihan kita mungkin disebabkan ahli keluarga terlibat dalam kemalangan. Dukacita kita mungkin disebabkan gagal naik pangkat. Kemurungan kita mungkin disebabkan dihidapi pelbagai jenis penyakit fizikal.

Namun di Palestin, dukacita, sedih, murung dan geram mereka bukan kerana diserang darah tinggi, eksiden, tidak naik pangkat, putus cinta dan sebagainya. Tetapi semuanya itu datang dengan sebab anak mereka dibunuh tentera Zionis. Suami mereka dipecahkan kepala di hadapan ahli keluarga. Anak gadis mereka ditangkap dan diperkosa oleh pengganas Zionis. Rumah mereka dibom dan diruntuhkan oleh jentera tolak berkuasa tinggi. Ulama' mereka diburu bagaikan binatang buruan..... Ini penyebab mereka bersedih dan berduka.

Justeru, mereka lebih menghayati kepentingan memboikot barangan Zionis, barangan Amerika dan sekutu-sekutunya. Orang luar tak tahu kepentingan boikot. Orang luar pandang enteng usaha dan kempen boikot. Orang luar tak rasa apa yang mereka rasa. Orang luar tak sedar rokok yang mereka hisap itu ada aliran wang yang pergi kepada persenjataan Yahudi Zionis.

Biar apa berita, biar apa isu yang berlaku, orang luar tetap serupa. Kenapa? Kerana bapa mereka belum dibunuh Yahudi, anak mereka belum berpengalaman diikat oleh tentera Zionis, anak dara mereka masih belum pernah diperkosa oleh pengganas Yahudi.

Ketika menyertai forum anjuran Radio Ikim di Stadium Melawati Shah Alam baru-baru ini, saya digandingkan dengan Tn Haji Norazman yang berpengalaman ditahan tentera Zionis dalam kapal Mavi Marmara Mei lalu.

Apa yang menyentuh hati saya, Norazman memberitahu, seorang anak sukarelawan Gaza dari Malaysia yang mendapat berita ayahnya dibunuh (sebenarnya ayahnya terselamat) yang masih bersekolah di sebuah sekolah rendah meminta izin dari gurunya untuk berucap di hadapan guru-guru dan para pelajar. Dia ingin mengumumkan kepada semua bahawa, "Sesiapa yang membeli rokok dan melanggan makanan di restoren makanan segera milik Amerika Syarikat adalah pembunuh bapanya!"

Kenapa budak kecil ini berkata begitu? Fikir-fikirkan...

Tiada ulasan: