Jumaat, September 24, 2010

SYAWAL... DAN DARAH SYUHADA'


Bulan Syawal merakamkan peristiwa yang yang sangat penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Peperangan Uhud. Peperangan ini berlaku pada tahun ke-3H.

Sebelum itu, umat Islam yang baru 2 tahun mendirikan Negara Islam di Madinah telah mengejut dunia apabila berjaya mengalahkan pasukan tentera musyrikin yang jauh lebih kuat dan lebih besar bilangannya di medan Badar. Kekalahan kaum musyrikin pada 17 Ramadhan tahun ke 2H itu amat memalukan mereka. Perasaan sedih, malu, dendam, rasa terhina dan dihina itu menyelubungi mereka selama setahun dan akhirnya mendorong mereka merancang untuk bertindak membalas dendam ke atas Rasulullah SAW dan umat Islam di Madinah.

Mereka bertindak merampas harta-harta dagang milik saudagar Makkah untuk membiayai peperangan menentang umat Islam. Kemudian mereka meminta pemidato-pemidato serta para penyair dan artis untuk untuk meniupkan semangat menentang Islam menerusi pidato, syair dan nyanyian mereka. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil yang mereka harapkan; seramai 3,000 orang bala tentera yang lengkap bersenjata, 3,000 ekor unta, 200 ekor kuda penyerang dan 700 baju berantai berjaya dikumpulkan untuk memerangi kota Madinah Al Munawwarah. Mereka juga mengumpulkan wanita-wanita cantik untuk mengiringi dan memberikan tiupan semangat kepada tentera musyrikin.

Abu Sufyan bin Harb diangkat menjadi komandan tertinggi dengan dibantu oleh Khalid ibnul Walid dan Ikrimah Abu Jahl sebagai ketua pasukan berkuda. Manakala bendera diserah kepada Bani Abdud-Dar. Dengan pasukan yang begitu hebat, mereka bergerak menuju ke Madinah dengan begitu angkuh dan sombong untuk memerangi Allah dan rasul-Nya.

Muslimin sekalian… Di pihak umat Islam, sebaik sahaja menerima berita berkenaan, kota Madinah diletak dalam keadaan berjaga2. Setiap orang membawa senjata sepanjang masa hinggakan ketika masuk ke masjid untuk menunaikan sembahyang juga mereka membawa senjata. Tiga orang Ansar ditugaskan untuk mengawal dan menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Di waktu malam mereka bertiga tidur bersama senjata di hadapan pintu rumah Rasulullah SAW. Setiap lorong di Madinah dan jalan masuk ke kota itu dikawal rapi kerana bimbang musuh akan datang secara mengejut.

Dalam pada itu Rasulullah SAW mengumpulkan ahli Majlis Mesyuarat Tertinggi Tentera Islam untuk bermesyuarat membincangkan peperangan yang bakal meletus. Setelah mengadakan perbincangan terperinci akhirnya Rasulullah SAW menerima pandangan para sahabat supaya keluar menentang musuh di luar kota Madinah dan tidak hanya menunggu sehingga musuh masuk ke kota itu.

Rasulullah SAW kemudiannya menyampaikan khutbah Jumaat dengan penuh semangat menyeru umat Islam supaya bangun berjihad mempertahankan Islam dan kota Madinah. Ucapan berkenaan menaikkan semangat umat Islam dan penduduk Madinah. Mereka berkumpul di Masjid Nabawi menanti Rasulullah SAW dan Abu Bakar srta Umar yang sdang berada di dalam rumah baginda. Sebaik sahaja Rasulullah SAW keluar, mereka mndapati baginda sudah lengkap berpakaian perang dengan berserban dan dua lapis baju berantai serta membawa pedang. Baginda bersabda: “Tidak sepatutnya bagi seorang nabi, apabila sudah memakai baju berantai (untuk keluar berperang) lalu dia membukanya kembali. Biarlah sehingga Allah menentukan keputusan di antaranya dan musuhnya."

Seterusnya tentera Islam yang berjumlah 1,000 orang bergerak keluar daripada Kota Madinah Al Munawwarah untuk bertempur dengan 3,000 tentera musyrikin. 100 orang daripada mujahidin Islam memakai baju besi, 50 orang berkuda. Pasukan Islam turut disertai oleh beberapa orang kanak-kanak yang telah diuji kekuatan mereka oleh Rasulullah SAW. Ketika baginda membenarkan seorang kanak-kanak bernama Rafi’ bin Khadij menyertai peperangan, seorang lagi kanak-kanak bernama Samrah bin Jundub memprotes dengan katanya, “Wahai Rasulullah, walaupun saya lebih kecil daripada Rafi’, tetapi saya lebih kuat daripadanya.” Lalu Rasulullah SAW menyuruh mereka berdua beradu tenaga dan akhirnya Jundub berjaya mengalahkan Rafi’, maka Rasulullah SAW membenarkan Jundub ikut serta dalam peperangan. Demikianlah bersemangatnya umat Islam ketika itu termasuk kanak-kanak yang ingin turut serta berjihad menentang musuh Islam.

Tentera Islam kemudiannya bermalam di satu tempat bernama Syaikhan. Keesokan harinya, setelah mentari pagi menyinsing mereka dapati mereka sudah begitu hampir dengan kedudukan musuh sehingga dapat melihat antara satu sama lain. Ketika itu orang-orang munafiq pimpinan Abdullah bin Ubay yang turut serta bersama tentera Islam mula merasa takut. Di saat itu Abdullah bin Ubay dan pengikutnya telah menzahirkan sifat nifaq mereka dengan mengajak tentera Islam supaya berundur. Mereka berjaya mempengaruhi 300 orang tentera Islam untuk kembali ke Madinah. Maka tinggallah 700 orang mujahidin yang ikhlas bersama-sama Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan 3,000 tentera musyrikin.

Sebelum memulakan pertempuran Rasulullah SAW mengarahkan 50 orang pasukan pemanah pimpinan Abdullah bin Jubair naik ke atas sebuah bukit kecil di hadapan gunung Uhud untuk menghalang serangan mengejut pasukan berkuda musyrikin dari belakang. Mereka dilarang meninggalkan bukit berkenaan sehinggalah menerima arahan daripada Rasulullah SAW.

Di bawah pula baginda menugaskan pasukan Munzir bin Amru di bahagian sayap kanan dan Zubair bin Awwam di sayap kiri. Baginda kemudiannya menyampaikan ucapan memberikan semangat kepada tentera Islam. Antaranya, sambil menghunuskan pedangnya baginda bersabda, “Siapakah di antara kalian yang mahu menunaikan hak pedang ini?” Beberapa orang sahabat termasuk Umar, Ali dan Zubair bangun untuk merebut pedang Rasulullah SAW. Tetapi baginda tidak menyerahkan pedangnya sehinggalah bangun seorang sahabat yang bernama Abu Dujanah dan bertanya, “Ya Rasulullah, apakah dia hak pedang ini?” Baginda menjawab, “Iaitu kamu menggunakannya untuk menetak musuh sehingga dia menjadi bengkok.” Abu Dujanah berkata, “Sayalah yang mengambilnya dan menunaikan haknya.”

Setelah pedang itu diserahkan kepada Abu Dujanah, dia melilitkan kain merah di kepalanya dan berjalan dengan megah. Lilitan kain merah menandakan seseorang itu akan bertempur sehingga mati. Melihat kelakuan Abu Dujanah, Rasulullah SAW bersabda, “Cara berjalan seperti itu adalah dimurkai Allah, kecuali dalam keadaan seperti sekarang.”

Apabila kedua-dua pihak hampir bertembung, seorang panglima quraisy, Talhah bin Abi Talhah Al ‘Abdari tampil dengan menonggang unta mencabar tentera Islam beradu tenaga. Cabarannya disahut oleh Zubair bin Awwam yang terus melompat di atas belakang unta yang ditonggang Talhah. Talhah yang terkenal sebagai panglima quraisy yang gagah berani akhirnya mati menyembah bumi setelah dibunuh oleh Zubair dari atas belakang unta.

Rasulullah SAW yang menyaksikan perlawanan yang sangat menarik itu terus melaungkan takbir, “Allahu Akbar!” dan diikuti oleh tentara Islam. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat. Dalam waktu yang singkat tentera musyrikin menjadi begitu lemah. Seorang demi seorang pemegang bendera dibunuh oleh tentera Islam.

Para pahlawan Islam yang berbekalkan iman yang cintakan mati syahid terus memburu musuh habis-habisan laksana air bah memecah empangan. Abu Dujanah yang menerima pedang Rasulullah SAW, telah menunaikan hak pedang itu. Beliau membunuh setiap musuh yang melintas di hadapannya. Sehinggalah beliau gugur sebagai salah seorang syuhada’. Tentera musyrikin akhirnya bertempiaran lari meninggalkan segala harta yang mereka bawa. Tentara Islam sangat gembira dengan kemenangan ini dan mereka mula mengumpulkan harta yang ditinggalkan.

Saudaraku kaum Muslimin sekalian... Sesungguhnya umat Islam sering berhadapan dengan ujian apabila berada di ambang kemenangan. Harta yang ditinggalkan musuh menjadi penyebab tertewasnya umat Islam.

Apabila melihat tentera Islam di bawah sedang mengumpulkan harta peninggalan itu, 50 orang pemanah yang berada di atas bukit mula merasa resah dan mereka juga ingin mengutip harta berkenaan. Walaupun dilarang oleh ketua mereka Abdullah bin Jubair, mereka tidak mengendahkannya dan terus turun daripada bukit. Mereka lupa kepada pesanan Rasulullah SAW supaya jangan meninggalkan bukit walau apapun berlaku. Tinggallah Abdullah dan 9 orang lagi yang masih berkawal di atas bukit.

Melihatkan kelalaian ini, tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid bin Al Walid segera mengambil kesempatan dengan menyerang daripada belakang. Kesemua 10 orang pemanah yang masih tinggal di atas bukit dibunuh oleh mereka. Serangan yang tidak disangka-sangkakan oleh umat Islam ini menyebabkan mereka tidak mampu bertahan. Pertolongan Allah sudah dihentikan lantaran keengkaran sebahagian mereka terhadap hukum Rasulullah. Seorang demi seorang sahabat rebah ke bumi.

Di saat-saat genting itu Rasulullah SAW menjadi sasaran serangan musuh. Mereka mengerumuni baginda yang ketika itu hanya dikawal oleh 9 orang sahabat. Seorang demi seorang pengawal berkenaan dibunuh. Namun yang hidup terus mempertahankan Rasulullah SAW. Ada di antara mereka yang menjadikan belakangnya sebagai perisai menghalang anak panah yang dihalakan ke batang tubuh Rasulullah. Akhirnya benteng musyrikin yang melengkongi Rasulullah berjaya ditembusi oleh beberapa orang sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Ali, Abu Ubaidah, Mus’ab bin Umair dan seorang muslimah bernama Nusaibah bin Kaab. Dengan semangat kepahlawanan Islam, mereka berjaya menyelamatkan Rasulullah SAW. Kepala dan pipi Rasulullah SAW berdarah, giginya patah. Baginda bersabda, “Allah sangat murka pada hari ini kepada kaum yang melukakan muka RasulNya.” Baginda diam seketika dan kemudian bersabda:

اللهم اهد قومي فإنهم لا يعلمون
“Ya Allah, berilah petunjuk hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka melakukan demikian kerana mereka tidak mengerti kebenaran.”

Sementara Malik bin Sinan pula menghisap dan menahan darah Rasulullah SAW lalu baginda bersabda, “Sesiapa yang darahnya bersentuh dengan darahku maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka.”

Di saat cemas itu, Rasulullah SAW berjaya mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorangmuyrik yang bernama Ubai bin Khalaf. Amat besarlah azab Allah ke atas orang yang membunuh rasul dan orang yang dibunuh oleh rasul!

Peperangan ini juga menyaksikan kekejaman tentera Quraisy yang mencincang tubuh para syuhada’ yang sudah tidak bernyawa. Muka mereka dicincang dan dikelar sehingga tidak dapat dikenali lagi. Manakala bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah bin Abd Muttalib ditebuk dadanya dan dikeluarkan jantungnya untuk dimamah oleh Hindun.

Sesungguhnya peristiwa Uhud mengajar kita beberapa perkara, antaranya:

Pertama: Kemenangan umat Islam adalah bergantung kepada sejauh mana mereka taat perintah Allah dan RasulNya. Apabila mereka sudah tidak taat kepada Rasulullah SAW, maka Allah tidak akan menolong mereka.

Kedua:
Seseorang pemimpin hendaklah menghidupkan budaya musyawarah dan perbincangan bagi mengambil sesuatu ketetapan.


Ketiga:
Kecantikan wanita, seni muzik dan sebagainya sering digunakan oleh musuh Islam untuk merosakkan manusia. Ini dapat dilihat daripada tindakan kaum Musyrikin yang mempergunakan golongan ini meniupkan semangat menentang Islam.


Keempat:
Peperangan ini menyaksikan sifat mulia Rasulullah SAW. Walaupun baginda dicederakan, namun baginda masih berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah dan petunjuk kepada kaumnya yang menentangnya.

(Artikel ini adalah petikan koleksi Khutbah Jumaat saya yang diposting pada tahun 2005)
http://ibnu-ismail.blogspot.com/2005/11/iktibar-peristiwa-uhud.html





Khamis, September 23, 2010

BILA FELDA NAK DAPAT IJAZAH?


Apabila media arus perdana dan media alternatif serta media pembangkang berkelahi soal Felda Bankrap, saya sedikitpun tak berminat nak ambil tahu dan nak ulas. Tika itu, bagi saya, "Lantak kau lah Felda, kau nak untung ke, kau nak bankrap ke, suka hati kau lah. Aku dengan dunia aku, pendapatan aku tak terjejaspun. Aku tak minat nak belek fail Felda untuk tahu dia untung atau rugi!"

Saya juga tidak mengkaji, menyelidik dan menyiasat sama ada Felda untung atau rugi. Namun bagi saya yang penting ialah warga Felda. Warga Felda yang saya maksudkan ialah kami, para peneroka Felda, anak-anak peneroka (Gen2) dan zuriat mereka yang terus bermastautin di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Ketika bapa-bapa kami memohon ke tanah rancangan Felda, mereka tidak disyaratkan memiliki segulung ijazah mahupun diploma. Matlamat Tun Razak ketika itu ialah hendak memberi tanah yang mencukupi kepada rakyat yang belum bertanah supaya mereka boleh bercucuk tanam dan mendapatkan hasil yang baik untuk menyara hidup keluarga. Ini yang disebut oleh beliau dalam parlimen hingga terbentuknya apa yang dikenali sebagai Akta GSA pada tahun 1960.

Kerajaan-kerajaan negeri diminta memberikan kerjasama membenarkan para peneroka mengusahakan tanah ini, dan setelah habis Bayaran Kembali (BK) maka Felda hendaklah merekomen kepada pihak berkuasa tempatan supaya diberikan geran hak milik kepada para peneroka. (Hingga kini masih ramai peneroka yang belum menerima hak milik walaupun telah berbelas-belas tahun melunaskan BK- malas nak ulas isu ni).

KEKEJAMAN FELDA

Bapa-bapa kami dijemput ke tengah hutan rimba ini untuk menghidupkannya menjadi penempatan manusia dan ladang komoditi yang bakal memberikan keuntungan kepada negara.

Saya masih ingat dalam usia 5 tahun, setiap pagi bapa dikerahkan ke ladang untuk roll-call. Ada yang tidak sempat solat subuh kerana jika tiada waktu rollcall, maka elaun sara hidup (sebenarnya hutang) yang hanya sebanayk RM65-75 itu akan dipotong. Bagaikan buruh paksa mereka diperlakukan. Mereka patuh dan taat. Mereka diperhambakan kerana mereka bukan graduan universiti.

Pengurusan Felda berjanji sekiranya pokok getah yang mereka tanam itu besar kelak, ia akan diserahkan kepada peneroka yang menanamnya. Saya masih ingat bagaimana ratusan pokok yang diusahakan oleh ibu dan bapa saya, akhirnya diberikan kepada orang lain. Saya masih ingat bagaimana ibu saya menangis teresak-esak apabila melihat deretan pokok yang ditanamnya, dijaga, dibaja kini menjadi milik orang lain selepas sukatan dilakukan.

Bapa saya diberikan satu lot getah yang tak ada jalan masuk. Namun wang pengurusan jalan ladang tetap dikenakan kepada bapa saya (tercatat dalam pay sheet). Walaupun hanya RM10 sebulan, tetapi selama 30 tahun dipotong tanpa sebatang jalanpun yang menghubungkan ke ladang bapa saya.Kami terpaksa menelusuri teres getah orang lain untuk sampai ke ladang kami.

PENIPUAN

Setelah pokok getah dan sawit mengeluarkan hasil, peneroka Felda sangat gembira kerana selama ini mereka hanya makan wang sara hidup sahaja. Kegembiraan mereka menyebabkan Felda mengeksploitasinya untuk membuat berbagai-bagai jenis potongan yang tidak difahami oleh mereka sendiri (adakah Felda berbuat begitu kerana bukan graduan universiti?)

Dari wang potongan ini, setiap kali datang hari raya Felda akan mempersembahkan lakonan tetap tahunannya, "FELDA BERI DUIT RAYA KEPADA PENEROKA." Kami adik beradik dengan geram berkata, "Taik kucinglah Felda, duit abah tu. Bukan duit Felda!"

Ya, bapa kami tidak ada ijazah. Tapi bapa kami bukan bodoh. Bukan lembu yang boleh dicucuk hidung. Sekarang ratusan ribu anak peneroka sudah berijazah. Malangnya Felda masih lagi dengan lakonan bodohnya, "Felda bagi duit raya kepada peneroka Felda."

Tak cukup dengan pelbagai jenis potongan, Felda turut mnurunkan gred perahan kelapa sawit ke tahap yang sangat rendah. Kilang swasta biasanya boleh memberikan sehingga 22 dan 24. Tapi kilang Felda hanya memberi 18 dan 19 sahaja. Sedangkan sawit Felda adalah sawit yang berkualiti tinggi, makannya cukup, bajanya berkala, siraman hujan mencukupi hingga makmal mengesahkan ia berkualiti perahan sebanyak 26.

Dianggarkan penipuan nilai greding sekitar 6 angka yang mewakili setiap gred itu bernilai lebih kurang RM30 bagi satu tan. Jika dikurangkan 6 gred, jumlah penipuan Felda bagi setiap tan ialah RM180. Jika peneroka menghantar sejumlah 10 tan kelapa sawit sebulan, maka Felda telah mencuri wang bapa-bapa kami sebanyak RM1,800. Setahun lebih RM20,000.

Bayangkan berapa banyak wang yang sudah dicuri oleh Felda sejak puluhan tahun yang lalu dari 90,511 orang peneroka Felda. Sebab itu di para yang pertama saya katakan saya langsung tak ambil peduli kalau orang nak kata Felda Bankrap atau Felda untung. Kalau untungpun, untung dengan cara haram, dengan cara memeras hasil keringat peneroka yang tidak berijazah.

Ketika membenarkan tuntutan saman peneroka Felda Kemahang 3, hakim Datuk James Wong berkata, "Kamu (Felda) adalah bapa. Sepatutnya kamu tunjukkan perangai yang baik kepada anak-anak kamu. Tapi sekarang kamu sudah menipu anak kamu."

Adakah penipuan ini tidak benar? Adakah Felda kalah bicara hanya kerana seorang dari 7 peguamnya yang hebat-hebat tak hadir sekali dalam tempuh 7 tahun perbicaraan itu. Jika tidak benar, mengapakah sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan Felda bersalah menipu dan mengarahkan supaya membayar ganti rugi sebanyak RM 11 juta, tiba-tiba kilang Felda di Jengka serta merta menaikkan griding kepada 20-22? Takut kena saman lagi ke?

Saya difahamkan di gugusan Bera, lebih kurang 1,000 orang peneroka sudah bersiap sedia dengan afidavit masing-masing untuk menyaman Felda di atas penipuan mereka selama ini. Peneroka bukan bodoh lagi. Anak peneroka bukan lembu dan kambing yang dibutakan mata. Kami akan teruskan perjuangan membela nasib bapa-bapa kami yang ditipu oleh Felda hanya kerana bapa-bapa kami tidak berpelajaran tinggi.

Malangnya Felda masih berterusan bertindak bagaikan orang yang langsung tidak berpelajaran. Bila Felda nak dapat ijazah?


Sabtu, September 18, 2010

PETRONAS JUAL BENDA HARAM?

Saya hairan bagaimana Petronas terlibat menjual benda-benda yang membahayakan, yang bercanggah dengan undang-undang dan yang diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sudah beberapa orang pengusaha stesen minyak Petronas saya temui. Kesemua mereka mengeluh dan melahirkan rasa tidak puas hati.

Semua orang tahun bahawa kawasan pam minyak adalah kawasan larangan merokok dan mereka yang melanggar larangan ini boleh didenda. Tetapi yang peliknya bagaimana kedai Mesra di stesen-stesen minyak ini boleh menjual rokok dan pemetik apinya sekali. Bukankah ia amat berbahaya sekali. Saya masih ingat peristiwa seorang peneroka Felda yang hangus terbakar sebahagian badannya akibat disambar api rokok seorang pelanggan ketika sedang mengisi minyak. Setelah dua minggu tidur meniarap di atas katil di Hospital Mentakab, beliau akhirnya menghenbuskan nafas terakhir.

Pengusaha-pengusaha stesen minyak yang saya temui mengeluh dengan menyatakan, "Kami tak mahu jual rokok, tapi Petronas syaratkan kepada kami supaya menjual apa sahaja yang dihantar."

Saya tak faham kenapa Petronas sanggup menggadai nyawa dan keselamatan pelanggan hanya untuk mendapatkan keuntungan jualan rokok.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Petronas memaksa pengusaha-pengusaha stesen minyak supaya menjual benda haram. Ini kerana sejak 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis fatwa di beberapa buah negeri memfatwakan rokok sebagai haram. Keharaman rokok juga diputuskan oleh badan-badan berkaitan fatwa di Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain.

Sebagai sebuah syarikat yang dmiliki oleh negara umat Islam, sewajarnya Petronas membersihkan perniagaannya dan perniagaan pengusaha-pengusaha stesen minyaknya dari perkara-perkara haram dan syubhah.

Rabu, September 15, 2010

SURAT MB KELANTAN MENGENAI ISU PEMBUNUHAN SOSILAWATI

1. Saya mengucapkan takizah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosialawati Lawiya, jutawan kosmetik yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya. Dari jauh, saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia menyambut Hari Raya Idulfitiri.

2. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Selain itu, saya menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.

5. Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW. 

6. Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti.

Salam takziah dari saya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

6 Syawwal 1431H / 15 September 2010

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Selasa, September 07, 2010

KELAINAN YANG KETARA RAMADHAN KALI INI

Agak berbeza dengan tahun-tahun lepas. Kebanyakan masjid yang dahulunya tiada tazkirah kali ini sudah mula mengorak langkah menganjurkan tazkirah. Masjid Ketari umpamanya, yang biasanya mengadakan solat tarawih 20 rakaat, pada tahun ini melakukan satu penambahbaikan dengan mengundang 5 orang penceramah bagi membuat pengisian tazkirah pada 5 malam. Malam yang diadakan tazkirah solat tarawih dipendekkan kepada 8 rakaat sahaja. Selepas selesai witir, tazkirah dimulakan.

Ada juga suara ’gharib’ yang mengkiritik dengan mengatakan penganjuran tazkirah ini mengecewakan mereka yang berhasrat untuk mendua-puluhkan tarawih. Ada yang membid’ahkannya. Lebih dari itu ada yang bersuara, ”Tidak cukupkah 11 bulan yang lalu... lalu nak tambah lagi dalam bulan Ramadhan ini?” Apapun suara yang mengkritik, tak apalah. Moga Allah bagi hidayah kepada mereka.

Penggunaan teknologi terkini dalam berkomunikasi dalam bulan Ramadhan kali ini juga sesuatu yang agak menarik. Sahabat saya Saudara Azrul Azlan Iskandar Mirza yang merupakan seorang pensyarah di USIM dan menjadi imam surau Muttaqun Taman Chengal, Seremban hampir setiap hari mewar-warkan nama muzakkir (penceramah) menerusi facebook. Biarpun pengasas facebook seorang Yahudi, namun Azrul telah memanfaatkannya untuk kepentingan Islam.

Sekalung tahnuah kepada saudara Azrul yang bersungguh-sungguh menjayakan tazkirah tahun ini dengan persiapan awalnya telah dimulakan sejak dua tiga bulan lalu. Kalau tak silap saya beliau menghubungi saya untuk menempah tarikh tazkirah Ramadhan ini sebaik sahaja saya pulang radi menunaikan umrah Jun lalu.

Itu mungkin suasana masyarakat kelas pertama. Tetapi satu perkembangan menarik dalam Ramadhan kali ini bagaimana masyarakat di kampung dan di tanah rancangan Felda juga meneroka perkembangan yang sama. Sahabat saya imam masjid Felda Kg Awah, Temerloh, yang dikenali sebagai Imam Lan turut memanfaatkan blog dan facebook untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan aktiviti masjid. Pagi tadi beliau mewar-warkan di dalam facebooknya, ”Adalah dimaklumkan kpd sahabat fb sekalian, solat idil fitri 1431H bg Felda Kg Awah akan dilangsungkan jam 8.30 pagi dan dijangka ruang solat tidak dapat menampung kebanjiran jamaah yang datang. Oleh itu.....”

Kalau dahulu, pengumuman seumpama ini dibuat menggunakan pembesar suara selepas solat Tarawih atau ditaip dan ditampal pada papan kenyataan. Syabas Imam Lan Jaafar! Mantop!

Kad raya elektronik juga sesuatu yang unik bagi tahun ini. Ia sudah muncul sejak beberapa tahun lalu. Namun penggunaannya sangat ketara bagi tahun ini. Tahun lepas tiap hari saya terpaksa men’delete’ sms raya yang dikirim. Namun tahun ini hampir tiada sms seumpama itu. Tatapi peti facebook, twiter dan mail Yahoo serta gmail pula yang berserabut menerima kunjungan kad-kad ucapan selamat hari raya secara maya.

Semuanya nampak greats... dan very wonderfull... Cuma satu yang saya fikirkan, hamper kesemua platform yang digunakan ini adalah milik Yahudi. Bila agaknya umat Islam dapat disatukan di bawah satu platform sendiri. Khabarnya Iran sudah mula mengorak langkah membina enjin pencari (search) yang dikenali sebagai YaHaq! Saya belum cuba explore lagi. Tapi ia satu permulaan yang baik. Allahu Akbar!

Ada juga juga enjin pencari yang dinamakan MuslimSe.com. Tapi tak tahulah sejauh mana keupayaannya.

Ahad, September 05, 2010

TV3 WAJAR BERTAUBAT!

Dahulu sibuk dengan kongsi raya, kini cuba diterapkan pulak unsur-unsur dan kepercayaan agama lain ke dalam iklan hari raya. Berikut artikel dari Pahang Daily Online yang mengulas mengenai iklan berkenan:

Susulan artikel tentang iklan raya TV3 yang dikatakan menghina Islam yang disiarkan oleh stesyen televisyen itu sekarang ini, maka banyaklah rungutan yang telah diterima daripada para pembaca yang langsung tidak menyedarinya. Malahan, mungkin bagi mereka yang selalu tiada di rumah, iklan tersebut memang tidak diketahui langsung. Susulan pendedahan ini juga, semakin ramai umat Islam menghantarkan bantahan di laman facebook bantahan yang turut kami sertakan. Malahan juga difahamkan, banyak pihak mahu supaya pihak TV3 terutamanya CEO Datuk Farid Ridzuan (foto), memohon maaf atas keterlanjuran ini. Malah, tidak kurang juga mereka yang akan mengadakan demontrasi dan membuat laporan polis terhadap insiden ini. Ternyata TV3 sengaja "menjolok sarang tebuan", disaat isu agama dan perkauman sering dipaparkan mereka pula yang cuba melakukan onar. Apakah perlu aduan rakyat dibuat terhadap TV3 agaknya. Apakah Karam Singh Walia bisa membuat ulasan tentang masalah ini?. Semua ini kini bermain difikiran rakyat. Maka, disini kami ingin paparkan satu maklumat terbaru tentang motif iklan tersebut disiarkan oleh TV3. Ternyata ada pihak-pihak tertentu yang ingin mendakyahkan umat Islam terutaman kanak-kanak dan remaja Melayu supaya menerima agama lain dalam hidup mereka terutamanya Kristian dan Buddha. Justeru itulah kita tidak hairan terdapat paparan yang jelas dan memunyai kaitan langsung dengan motif tersebut. Antara pembongkaran dasyat yang telah dikenal pasti ialah:-

Scene1, Budak Lelaki Melayu Tilik Buku

Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia denganbertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung... di sebelah kanan tingkap yang terbuka.


Budak lelaki Melayu ini melihat buku di pondok buruk beratap rumbia

1.Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu
2.Buku - Bible
3.Pondok Buruk Beratap Rumbia - Kemiskinan
4.Malam Yang Gelap - Islam yang mundur
5.Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) - Lucifer@Iblis
6.Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM
7.Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran

Scene2 - Close Up Muka Surat Bergambar Beca

Scene2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted).


Mukasurat tulisan jawi diterbalikkan sebagai satu penghinaan Al-Quran

Muka surat bergambar beca merah lambang kenderaan Santa Claus

1.Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity)
2.Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan
3.Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus
4.North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal)
5.Pokok Krismas - Simbol Paganism

Scene3 , Keluarnya Bintang-Bintang Kecil Beraura

Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya darigambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk.


Budak Melayu lihat beca merah datang bersama lelaki bersongkok putih

1.Bintang-bintang kecil beraura -
Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran, kemodenan etc.
2.Lelaki Rambut Putih Dan Bersongkok Putih -
POPE - Ketua Agama Kristian
3.Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan Masuk Kristian

Scene4, Budak Melayu Masuk Ke Dalam Beca

Budak Lelaki Melayu dengan seorang Budak Perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Scene ini memaparkan kejayaan memurtadkan (merosakkan) Bangsa Melayu) 1.Budak Lelaki Dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu. - yusrizan usop

[Disamping scene-scene yang dinyatakan, ternyata gambaran beberapa orang mengacau dodol dan keluarnya pelita dari kelopak bungat Teratai pula jelas menunjukkan cahaya datang dari Tuhan Brahma (Budhha) untuk menerangi alam ini. Semua ini jelas menunjukkan yang ada agenda jahat pihak berkenaan untuk memesongkan minda umat Islam di negara ini. Maka itu, adalah jelas supaya pihak TV3 memohon maaf secara terbuka dan menghentikan penyiaran iklan tersebut dengan segera. Jika tidak, sudah pasti rakyat akan marah dengan apa yang dipaparkan. Apapun, semoga kejadian ini menjadi pengajaran berguna buat semua terutamanya TV3 agar lebih peka dan sensitif dengan isu agama seperti ini. Jika selama ini mereka banyak menyiarkan isu yang dimainkan oleh pihak lain, kini akhirnya perkara yang sama terkena atas batang hidung merek sendiri pula. Jangan sampai umat Islam di negara ini memboikot pula TV3 nanti!].

Petikan dari Pahang Daily Online
(http://pahangdaily.blogspot.com/2010/09/panas-motif-iklan-raya-tv3-terbongkar.html)

PEMBEBASAN BUKAN PENAKLUKAN


Balik dari surau tadi rasa agak letih. Apa tidaknya, buka puasa tak ikut sunah, minum air berais dekat setengah jag.

Lepas tu kena imamkan tarawih dan witir. Habis tu kena bagi tazkirah pulak. Cadangnya tadi balik rumah terus nak tidur. Jam dah 11 lebih masa tu.

Tiba-tiba anak pasang tv. Chanel 106. Cerita Rayaatul Haq (Flag Of Truth) sedang ditayangkan. Filem ini memaparkan kisah benar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Umar.

Siri pada malam ini memaparkan adegan dua peperangan iaitu Perang Al Qadisiyyah yang membuka laluan kepada kejatuhan Yazdajir, Raja Farisi yang menyembah api. Kedua peperangan menentang tentera Rom yang menguasai Palestin.

Filem ini sungguh menarik khususnya bagi mereka yang menguasai bahasa Arab. Malangnya terjemahan (sari kata) agak kurang baik. Khususnya dalam menterjemah istilah-istilah perjuangan Islam.

Sebagai contoh istilah الفتح di terjemahkan sebagai 'penaklukan'. Salah satu dialog: هذا النصر طريق إلى فتح الفرس Ia diterjemah sebagai: "Kemenangan di Al Qadisiyyah membuka jalan penaklukan Farsi." Berulang-kali kalimah Al Fathu itu diterjemah sebagai menakluk.

Ini adalah terjemahan yang sangat salah. Konsep jihad dalam Islam bukan untuk 'menakluk' sebaliknya untuk membebaskan manusia dari menjadi hamba kepada sesama makhluk untuk menjadi hamba hanya kepada Allah. Sebab itu Istilah yang digunapakai oleh para mu'arrikhin 'AL FATHU' (pembukaan/pembebasan) dan bukannya ISTI'MAR (penjajahan/penaklukan).

Peristiwa Fathu Makkah umpamanya, Nabi SAW dan para sahabat dari Madinah datang ke Makkah dan mengambil alih kekuasaan di Makkah. Di suatu sudut ia kelihatan seperti menakluk kerana orang luar (Madinah) merampas kuasa orang tempatan (Makkah). Tetapi di sudut Islam, ia adalah satu proses memerdekakan Makkah dari penjajahan pemimpin tempatan yang menjajah akidah manusia.

Justeru, ayat di dalam filem itu perlu diterjemahkan sebagai, "Kemenangan di Al Qadisiyyah membuka jalan untuk membebaskan Farsi."



Rabu, September 01, 2010

SALAH CHANNEL DA...

10 isu yang umat Islam sering keliru dan tak tahu mana yang patut diutamakan.

1. Ramai yang marah budak-budak datang masjid buat bising... Tapi tak marah orang dewasa yang duduk diam di rumah, tak mau datang masjid.

2. Mereka sibuk berbicara apa hukum ORG KAFIR masuk masjid, TAPI mereka tak pernah bicara apa hukum ORG ISLAM tak mau ke masjid.

3. Mereka sibuk bincang hal ORG KAFIR dedah aurat dlm surau, TAPI mereka tak cakna ORG ISLAM yang dedah aurat di merata tempat.

4. Mereka marah ORG KAFIR baca ayat Quran dan baca tak ikut tajwid, namun mereka hanya senyum melihat ORG ISLAM tak mau baca Quran dan yang baca tunggang langgang.

5. Mereka melenting bila ORG KAFIR nak sebut nama Allah, sayangnya mereka tak sensitif langsung bila ORG ISLAM menghina ayat-ayat dan hukum Allah.

6. Mereka sibuk membid'ahkan orang buat tazkirah antara tarawih, tapi mereka tak kisah orang lepak minum kopi dan hisap rokok antara tarawih.

7. Mereka sibuk bertanya batal tak wudhu' jika sentuh tangan isteri, tapi mereka tak kisah dosa bersalaman dengan bini orang.

8. Mereka dok tanya orang pusat zakat adakah wang hasil pelaburan mereka boleh dizakatkan, mereka tak tanya pun adakah pelaburan mereka itu diharuskan.

9. Mereka sanggup bersesak-sesak di masjid untuk solat Aidilfitri yang hukumnya sunat tapi mereka tak mau tunaikan solat fardhu di masjid walaupun masjid lengang dan lapang.

10. Lama masa diambil di pasar raya untuk membelek2 label makanan untuk mencari logo halal jakim. Namun mereka dengan lahapnya aply personal loan, pembiyaan kereta/rumah dan kad kredit dll tanpa bertanya 'logo halalnya'. Yang ditanya hanya berapa persen interest... Tak ditanyapun aqadnya syar'I atau tidak.

Hayati kisah ini...

Seorang télah bermusafir dari Iraq menuju ke Madinah. Berbulan-bulan lamanya. Niatnya satu; hendak bertemu Imam Malik untuk mendapatkan penjelasan mengenai hukum darah nyamuk... Sampai di Madinah, beliau terus bertemu Imam Malik dan bertanyakan soalan berkenaan. Imam Malik tidak terus menjawab. Sebaiknya berkata, "Kamu datang sejauh ini semata-mata nak tanya hukum darah nyamuk. Kenapa kamu tidak tanya hukum darah Husain (cucu Rasulullah SAW) yang dibunuh di negeri kamu?"

Fikir-fikirkan...