Jumaat, September 24, 2010

SYAWAL... DAN DARAH SYUHADA'


Bulan Syawal merakamkan peristiwa yang yang sangat penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Peperangan Uhud. Peperangan ini berlaku pada tahun ke-3H.

Sebelum itu, umat Islam yang baru 2 tahun mendirikan Negara Islam di Madinah telah mengejut dunia apabila berjaya mengalahkan pasukan tentera musyrikin yang jauh lebih kuat dan lebih besar bilangannya di medan Badar. Kekalahan kaum musyrikin pada 17 Ramadhan tahun ke 2H itu amat memalukan mereka. Perasaan sedih, malu, dendam, rasa terhina dan dihina itu menyelubungi mereka selama setahun dan akhirnya mendorong mereka merancang untuk bertindak membalas dendam ke atas Rasulullah SAW dan umat Islam di Madinah.

Mereka bertindak merampas harta-harta dagang milik saudagar Makkah untuk membiayai peperangan menentang umat Islam. Kemudian mereka meminta pemidato-pemidato serta para penyair dan artis untuk untuk meniupkan semangat menentang Islam menerusi pidato, syair dan nyanyian mereka. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil yang mereka harapkan; seramai 3,000 orang bala tentera yang lengkap bersenjata, 3,000 ekor unta, 200 ekor kuda penyerang dan 700 baju berantai berjaya dikumpulkan untuk memerangi kota Madinah Al Munawwarah. Mereka juga mengumpulkan wanita-wanita cantik untuk mengiringi dan memberikan tiupan semangat kepada tentera musyrikin.

Abu Sufyan bin Harb diangkat menjadi komandan tertinggi dengan dibantu oleh Khalid ibnul Walid dan Ikrimah Abu Jahl sebagai ketua pasukan berkuda. Manakala bendera diserah kepada Bani Abdud-Dar. Dengan pasukan yang begitu hebat, mereka bergerak menuju ke Madinah dengan begitu angkuh dan sombong untuk memerangi Allah dan rasul-Nya.

Muslimin sekalian… Di pihak umat Islam, sebaik sahaja menerima berita berkenaan, kota Madinah diletak dalam keadaan berjaga2. Setiap orang membawa senjata sepanjang masa hinggakan ketika masuk ke masjid untuk menunaikan sembahyang juga mereka membawa senjata. Tiga orang Ansar ditugaskan untuk mengawal dan menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Di waktu malam mereka bertiga tidur bersama senjata di hadapan pintu rumah Rasulullah SAW. Setiap lorong di Madinah dan jalan masuk ke kota itu dikawal rapi kerana bimbang musuh akan datang secara mengejut.

Dalam pada itu Rasulullah SAW mengumpulkan ahli Majlis Mesyuarat Tertinggi Tentera Islam untuk bermesyuarat membincangkan peperangan yang bakal meletus. Setelah mengadakan perbincangan terperinci akhirnya Rasulullah SAW menerima pandangan para sahabat supaya keluar menentang musuh di luar kota Madinah dan tidak hanya menunggu sehingga musuh masuk ke kota itu.

Rasulullah SAW kemudiannya menyampaikan khutbah Jumaat dengan penuh semangat menyeru umat Islam supaya bangun berjihad mempertahankan Islam dan kota Madinah. Ucapan berkenaan menaikkan semangat umat Islam dan penduduk Madinah. Mereka berkumpul di Masjid Nabawi menanti Rasulullah SAW dan Abu Bakar srta Umar yang sdang berada di dalam rumah baginda. Sebaik sahaja Rasulullah SAW keluar, mereka mndapati baginda sudah lengkap berpakaian perang dengan berserban dan dua lapis baju berantai serta membawa pedang. Baginda bersabda: “Tidak sepatutnya bagi seorang nabi, apabila sudah memakai baju berantai (untuk keluar berperang) lalu dia membukanya kembali. Biarlah sehingga Allah menentukan keputusan di antaranya dan musuhnya."

Seterusnya tentera Islam yang berjumlah 1,000 orang bergerak keluar daripada Kota Madinah Al Munawwarah untuk bertempur dengan 3,000 tentera musyrikin. 100 orang daripada mujahidin Islam memakai baju besi, 50 orang berkuda. Pasukan Islam turut disertai oleh beberapa orang kanak-kanak yang telah diuji kekuatan mereka oleh Rasulullah SAW. Ketika baginda membenarkan seorang kanak-kanak bernama Rafi’ bin Khadij menyertai peperangan, seorang lagi kanak-kanak bernama Samrah bin Jundub memprotes dengan katanya, “Wahai Rasulullah, walaupun saya lebih kecil daripada Rafi’, tetapi saya lebih kuat daripadanya.” Lalu Rasulullah SAW menyuruh mereka berdua beradu tenaga dan akhirnya Jundub berjaya mengalahkan Rafi’, maka Rasulullah SAW membenarkan Jundub ikut serta dalam peperangan. Demikianlah bersemangatnya umat Islam ketika itu termasuk kanak-kanak yang ingin turut serta berjihad menentang musuh Islam.

Tentera Islam kemudiannya bermalam di satu tempat bernama Syaikhan. Keesokan harinya, setelah mentari pagi menyinsing mereka dapati mereka sudah begitu hampir dengan kedudukan musuh sehingga dapat melihat antara satu sama lain. Ketika itu orang-orang munafiq pimpinan Abdullah bin Ubay yang turut serta bersama tentera Islam mula merasa takut. Di saat itu Abdullah bin Ubay dan pengikutnya telah menzahirkan sifat nifaq mereka dengan mengajak tentera Islam supaya berundur. Mereka berjaya mempengaruhi 300 orang tentera Islam untuk kembali ke Madinah. Maka tinggallah 700 orang mujahidin yang ikhlas bersama-sama Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan 3,000 tentera musyrikin.

Sebelum memulakan pertempuran Rasulullah SAW mengarahkan 50 orang pasukan pemanah pimpinan Abdullah bin Jubair naik ke atas sebuah bukit kecil di hadapan gunung Uhud untuk menghalang serangan mengejut pasukan berkuda musyrikin dari belakang. Mereka dilarang meninggalkan bukit berkenaan sehinggalah menerima arahan daripada Rasulullah SAW.

Di bawah pula baginda menugaskan pasukan Munzir bin Amru di bahagian sayap kanan dan Zubair bin Awwam di sayap kiri. Baginda kemudiannya menyampaikan ucapan memberikan semangat kepada tentera Islam. Antaranya, sambil menghunuskan pedangnya baginda bersabda, “Siapakah di antara kalian yang mahu menunaikan hak pedang ini?” Beberapa orang sahabat termasuk Umar, Ali dan Zubair bangun untuk merebut pedang Rasulullah SAW. Tetapi baginda tidak menyerahkan pedangnya sehinggalah bangun seorang sahabat yang bernama Abu Dujanah dan bertanya, “Ya Rasulullah, apakah dia hak pedang ini?” Baginda menjawab, “Iaitu kamu menggunakannya untuk menetak musuh sehingga dia menjadi bengkok.” Abu Dujanah berkata, “Sayalah yang mengambilnya dan menunaikan haknya.”

Setelah pedang itu diserahkan kepada Abu Dujanah, dia melilitkan kain merah di kepalanya dan berjalan dengan megah. Lilitan kain merah menandakan seseorang itu akan bertempur sehingga mati. Melihat kelakuan Abu Dujanah, Rasulullah SAW bersabda, “Cara berjalan seperti itu adalah dimurkai Allah, kecuali dalam keadaan seperti sekarang.”

Apabila kedua-dua pihak hampir bertembung, seorang panglima quraisy, Talhah bin Abi Talhah Al ‘Abdari tampil dengan menonggang unta mencabar tentera Islam beradu tenaga. Cabarannya disahut oleh Zubair bin Awwam yang terus melompat di atas belakang unta yang ditonggang Talhah. Talhah yang terkenal sebagai panglima quraisy yang gagah berani akhirnya mati menyembah bumi setelah dibunuh oleh Zubair dari atas belakang unta.

Rasulullah SAW yang menyaksikan perlawanan yang sangat menarik itu terus melaungkan takbir, “Allahu Akbar!” dan diikuti oleh tentara Islam. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat. Dalam waktu yang singkat tentera musyrikin menjadi begitu lemah. Seorang demi seorang pemegang bendera dibunuh oleh tentera Islam.

Para pahlawan Islam yang berbekalkan iman yang cintakan mati syahid terus memburu musuh habis-habisan laksana air bah memecah empangan. Abu Dujanah yang menerima pedang Rasulullah SAW, telah menunaikan hak pedang itu. Beliau membunuh setiap musuh yang melintas di hadapannya. Sehinggalah beliau gugur sebagai salah seorang syuhada’. Tentera musyrikin akhirnya bertempiaran lari meninggalkan segala harta yang mereka bawa. Tentara Islam sangat gembira dengan kemenangan ini dan mereka mula mengumpulkan harta yang ditinggalkan.

Saudaraku kaum Muslimin sekalian... Sesungguhnya umat Islam sering berhadapan dengan ujian apabila berada di ambang kemenangan. Harta yang ditinggalkan musuh menjadi penyebab tertewasnya umat Islam.

Apabila melihat tentera Islam di bawah sedang mengumpulkan harta peninggalan itu, 50 orang pemanah yang berada di atas bukit mula merasa resah dan mereka juga ingin mengutip harta berkenaan. Walaupun dilarang oleh ketua mereka Abdullah bin Jubair, mereka tidak mengendahkannya dan terus turun daripada bukit. Mereka lupa kepada pesanan Rasulullah SAW supaya jangan meninggalkan bukit walau apapun berlaku. Tinggallah Abdullah dan 9 orang lagi yang masih berkawal di atas bukit.

Melihatkan kelalaian ini, tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid bin Al Walid segera mengambil kesempatan dengan menyerang daripada belakang. Kesemua 10 orang pemanah yang masih tinggal di atas bukit dibunuh oleh mereka. Serangan yang tidak disangka-sangkakan oleh umat Islam ini menyebabkan mereka tidak mampu bertahan. Pertolongan Allah sudah dihentikan lantaran keengkaran sebahagian mereka terhadap hukum Rasulullah. Seorang demi seorang sahabat rebah ke bumi.

Di saat-saat genting itu Rasulullah SAW menjadi sasaran serangan musuh. Mereka mengerumuni baginda yang ketika itu hanya dikawal oleh 9 orang sahabat. Seorang demi seorang pengawal berkenaan dibunuh. Namun yang hidup terus mempertahankan Rasulullah SAW. Ada di antara mereka yang menjadikan belakangnya sebagai perisai menghalang anak panah yang dihalakan ke batang tubuh Rasulullah. Akhirnya benteng musyrikin yang melengkongi Rasulullah berjaya ditembusi oleh beberapa orang sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Ali, Abu Ubaidah, Mus’ab bin Umair dan seorang muslimah bernama Nusaibah bin Kaab. Dengan semangat kepahlawanan Islam, mereka berjaya menyelamatkan Rasulullah SAW. Kepala dan pipi Rasulullah SAW berdarah, giginya patah. Baginda bersabda, “Allah sangat murka pada hari ini kepada kaum yang melukakan muka RasulNya.” Baginda diam seketika dan kemudian bersabda:

اللهم اهد قومي فإنهم لا يعلمون
“Ya Allah, berilah petunjuk hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka melakukan demikian kerana mereka tidak mengerti kebenaran.”

Sementara Malik bin Sinan pula menghisap dan menahan darah Rasulullah SAW lalu baginda bersabda, “Sesiapa yang darahnya bersentuh dengan darahku maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka.”

Di saat cemas itu, Rasulullah SAW berjaya mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorangmuyrik yang bernama Ubai bin Khalaf. Amat besarlah azab Allah ke atas orang yang membunuh rasul dan orang yang dibunuh oleh rasul!

Peperangan ini juga menyaksikan kekejaman tentera Quraisy yang mencincang tubuh para syuhada’ yang sudah tidak bernyawa. Muka mereka dicincang dan dikelar sehingga tidak dapat dikenali lagi. Manakala bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah bin Abd Muttalib ditebuk dadanya dan dikeluarkan jantungnya untuk dimamah oleh Hindun.

Sesungguhnya peristiwa Uhud mengajar kita beberapa perkara, antaranya:

Pertama: Kemenangan umat Islam adalah bergantung kepada sejauh mana mereka taat perintah Allah dan RasulNya. Apabila mereka sudah tidak taat kepada Rasulullah SAW, maka Allah tidak akan menolong mereka.

Kedua:
Seseorang pemimpin hendaklah menghidupkan budaya musyawarah dan perbincangan bagi mengambil sesuatu ketetapan.


Ketiga:
Kecantikan wanita, seni muzik dan sebagainya sering digunakan oleh musuh Islam untuk merosakkan manusia. Ini dapat dilihat daripada tindakan kaum Musyrikin yang mempergunakan golongan ini meniupkan semangat menentang Islam.


Keempat:
Peperangan ini menyaksikan sifat mulia Rasulullah SAW. Walaupun baginda dicederakan, namun baginda masih berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah dan petunjuk kepada kaumnya yang menentangnya.

(Artikel ini adalah petikan koleksi Khutbah Jumaat saya yang diposting pada tahun 2005)
http://ibnu-ismail.blogspot.com/2005/11/iktibar-peristiwa-uhud.html





Tiada ulasan: