Khamis, Disember 11, 2008

LINTAS LANGSUNG 5

Sambungan...

Kami pulang dari Kg Bangtaro (Kg Rashidah) ke Kg Kendal untuk bermalam di Masjid Al Aman (Madrasah Al Islah). Sebelum tidur malam tu, ramai juga yang ambil kesempatan terjun kolam untuk mandi, termasuklah Ust Mokhtar. Kolam itu adalah sumber air untuk berwudhuk dan mandi bagi pelajar-pelajar dan ahli jemaah masjid.

8 Disember 2008

5.15 pagi (4.15 waktu Kemboja)

Bangun Solat Subuh dan takbir raya. Pagi ini baru saya mandi kolam. Ambil sunat pagi raya. Selepas solat subuh tadi kami mendengar tazkirah Ustaz Mokhtar dan bertaaruf sesama kami. Ini kerana walaupun kami dah dua tiga hari bersama namun masih belum kenal mengenal antara satu sama lain.

Dari taaruf itu tahulah saya bahawa rombongan kami disertai oleh 5 orang wakil dari Pondok An Nur (termasuk Ustaz Mokhtar), 2 orang dari As Syafie dan selebihnya adalah wakil dari surau Al Muttaqin Selayang. Kami bergabung tenaga untuk menyampaikan sumbangan kepada umat Islam Kemboja yang terlalu jauh ketinggalan dari pelbagai segi.

Pagi itu kami bersembahyang Aidil Adha di masjid berkenaan dan sesudah solat, kami terus mula melaksanakan ibadah korban yang diamanahkan oleh sahabat-sahabat di Malaysia.

Seekor demi seekor lembu kami korbankan. Jumlah kesemuanya di masjid ini ialah sebanyak 6 ekor.

10.43 pagi (9.43 waktu Kemboja)

Kami bergerak ke Kg Mak Prang. Sampai di situ jam 11.17 (10.17) pagi. Kelihatan umat Islam begitu ramai menanti kehadiran kami. Sebelum menyembelih, kami naik ke masjid dahulu dan dijamu dengan buah-buahan tempatan. Menariknya terdapat sejenis buah yang tiada di Malaysia dipanggil buah susu. Rupanya seperti buah susu di Malaysia, tetapi isinya seperti buah nona.

Khabarnya masjid ini dibina dengan waqaf oleh seorang wanita Arab yang enggan mendedahkan identitinya.

Di sini beberapa ekor lembu kami korbankan. Disamping menyembelih, ahli rombongan kami yang lain sibuk mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak dan orang tua. Selesai jam 12.30 911.30) maka kami dijemput ke rumah bersebelahan masjid dan dijamu makan tengahari. Menu sangat istimewa, nasi dan daging rebuh (yang baru disembelih tad) disisah dengan sos Kemboja.

4.20 petang (3.20 waktu Kemboja)

Kami bergerak ke Kg Dong Tau bagi kali kedua untuk melakukan penyembelihan korban di situ. Berhampiran Masjid Ar Rahim, beberapa ekor lembu dikorbankan di situ.

5.40 petang (4.40 waktu Kemboja)

Kami pulang ke Kg Kendal untuk makan malam dan berehat. Pada malamnya, Ustaz Mokhtar diberi penghormatan menyampaikan ceramah kepada penduduk tempatan dengan diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Muhd Ali, mudir Madrasah Al Islah. Saya bertindak selaku pengerusi majlis.

Selesai ceramah, kami menyampaikan sumbangan kepada puluhan kanak-kanak yang hadir. Di Malaysia, selesai ceramah, orang bagi saguhati kepada penceramah, di sini selesai ceramah, penceramah yang bagi saguhati kepada pendengar.

Dalam ceramahnya, Ustaz Mokhtar banyak menyingkap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan dialog para malaikat dengan Allah SWT dalam hal ini.

Bersambung


Tiada ulasan: