Selasa, Disember 16, 2008

LINTAS LANGSUNG 7 (Siaran Tertunda)

Pada hari-hari terakhir di Phnom Penh dan sehari dua selepas tiba di Malaysia, saya tak dapat nak up-date blog ini dan 'lintas langsung' ini agak tergendala. Berikut saya catatkan 'siaran tertunda' pada 10hb yang lalu...

10 DISEMBER 2009

8.30 pagi (7.30 pagi waktu Kemboja)

Kami keluar mencari sarapan halal. Singgah di Restoren Mekong Halal. Restoren milik orang Islam, tapi pekerjanya rasa-rasanya belum Islam lagi. Setelah tengok katalognya, saya order Luk Lak Fried Rice. Tengok gambar tu, berselera juga. Tapi bila sampai, kurang sikit seleranya. Nasi goreng merah dengan daging kambing bakar. Agak keras dan liat. bantai je la...

Abang saya dan Ustaz Fazli makan di warung berdekatan. Mereka jumpa nasi ayam kampung, harga lebih murah, rasa lebih sedap.

Di restoren ini kami bertemu dua group dari Malaysia. Salah seorang dari mereka ialah exco kerajaan Kedah, Dr Ismail.

Destinasi kami seterusnya ialah memorial Choeung Ek, 17 km dari pusat bandar Phnom Penh. Ia sebuah memorial yang menyimpan bukti-bukti kekejaman tentera Khmer Rouge (Khmer Merah) pimpinan Pol Pot pada tahun 70-an.

Sepanjang berkuasa dari tahun 1975-1979, tentera Pol Pot telah membunuh lebih kurang 1.5 juta rakyat Kemboja, iaitu 1/5 dari keseluruhan rakyat. Dianggarkan 17,000 orang telah dibunuh di Choeung Ek, termasuklah cendikiawan, ahli politik dan ahli agama. Hingga kini 8,895 mayat telah ditemui di sini. Sebuah menara yang menempatkan 5,000 tengkorang mangsa kekejaman Pol Pot berdiri megah di situ.

Lelaki dan perempuan dibunuh beramai-ramai. Kanak-kanak ada yang dipegang kakinya dan dihempuk kepalanya ke pokok sampai mati. Ada juga bayi yang dilambung, kemudian askar yang lain menembaknya di udara. Mereka berpesta membunuh manusia.

Gambar-gambar dan cerita lanjut mengenai kekejaman Pol Pot dan Choeung Ek boleh anda lihat di sini dan sini.

11.15 pagi (10.15 pagi waktu Kemboja)

Kami meneruskan pengembaraan kami menjejaki sejarah Kemboja. Kami tiba di sebuah sekolah yang dijadikan penjara oleh Pol Pot. Toul Sleng kini dijadikan tempat lawatan.

Terdapat bilik-bilik kurungan kecil yang mempunyai katil besi tanpa tilam dan bantal untuk menempatkan sesiapa sahaja yang tidak disukai oleh rejim Khmer Merah. Sesiapa yang dikurung di situ akan dimeteri kakinya dengan besi dan dibiarkan terbaring disitu tanpa makan dan minum sampai mati.

Ada juga tempat menggantung manusia. Digantung kaku ke atas dan kepala dibenamkan di dalam tempayan yang penuhi air. Bagi mereka yang dianggap mempunyai kesalahan kecil, mereka akan dikurung di dalam bilik kurungan lain tetapi tidak boleh bersuara atau bercakap dengan karan sebelah. Jika ada bunyi, mereka semua akan disiksa.

Berbagai-bagai gambaran tempat siksaan dan gambar sebenar yang dipaparkan di situ. Daripada ribuan gambar tahanan yang dipaparkan di situ, hanya seorang dua sahaja yang keluar dalam keadaan hidup. Yang lainnya, sama ada mati dibunuh dalam tahanan, ataupun dibawa ke Choeung Ek untuk ditamatkan riwayat.

Banyak lagi cerita kekecaman Pol Pot yang disaksikan di sini. Namun sebenarnya ada pihak lain yang sama kejam atau lebih kejam dari Pol Pot. Kekejaman Pol Pot diketahui dunia kerana sejarahnya di simpan, dibukukan, dimuziumkan dan dipaparkan kepada pelancong.

Malangnya kekejaman Amerika Syarikat yang membunuh jutaan manusia di Vietnam, di Iraq, Afghanistan dan tempat-tempat lain adalah lebih dahsyat, tapi tidak dipaparkan sebagai kekejaman untuk tatapan umum.

Lebih malang, pihak yang menentang Amerika itu pula yang dituduh dan dilabel sebagai pengganas. Paling malang, media yang melabelkan umat Islam yang menentang Amerika itu sebagai pengganas adalah media milik umat Islam juga. Fikir-fikirkanlah....

1.00 ptg (12.00 tengahari waktu Kemboja)

Kami singgah di pasar Toul Tom Poung. Kami diberi peluang membeli belah kerana esok kami akan pulang ke Malaysia. Setelah lebih sejam bershoping, kami bergerak pulang ke hotel untuk solat, makan dan rehat.

6.30 ptg (5.30 ptg waktu Kemboja)

Kami keluar untuk menziarahi sebuah perkampungan umat Islam iaitu kampung Chemerai.Kami solat Maghrib dan Isyak di sebuah surau berdekatan dengan Masjid Mufti Kemboja.

Selepas solat dan menyampaikan sedikit sumbangan, kami menziarahi Masjid Mufti yang terletak bersebelahan. Rupa-rupanya pada malam berkenaan, satu konsert diadakan di masjid berkenaan. Artisnya ialah kumpulan nasyid dari Malaysia, Devotees.

Saya sempat berbual dengan anggota kumpulan berkenaan, Shauqi. Dia baru saja habis belajar di UKM. Rakan-rakannya yang lain ialah Adi Akmal (UIA), Muhammad (UKM) dan Halim (UIA). Menurut Shauqi, mereka banyak menerima tunjuk ajar daripada artis Yasin dan kini telahpun menerbitkan sebuah album di pasaran.












Tiada ulasan: