Isnin, Ogos 30, 2010

Hukum Non Muslim Masuk Masjid

Ramai yang bertanya mengenai hukum orang bukan Islam masuk ke masjid. Pokok persoalannya bukanlah pada orang bukan Islam itu kerana hukum taklifi tidak terkena ke atas mereka. Yang menjadi persoalan ialah hukum ke atas orang Islam yang memberi laluan atau membenarkan orang bukan Islam masuk ke masjid.

Bagi menjawab persoalan ini, berikut diperturunkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010:

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid

Tiada ulasan: