Selasa, Ogos 31, 2010

BERSAMA IMAM (B) MASJIDIL AQSA

Jumaat lalu (17 Ramadhan) saya bersama keluarga bergerak ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memenuhi jemputan menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan. Kebetulan kami di Pahang bercuti sempena Nuzul Al Quran.

Tazkirah diadakan pada sebelah petang, iaitu sekitar jam 6.00 lebih hingga waktu berbuka. Seusai menyampaikan tazkirah, imam masjid berkenaan, Ustaz Firdaus Al Hafiz maklumkan beliau sedang menunggu kehadiran tetamu ‘besar’ iaitu mantan imam Masjidil Aqsa. Dalam fikiran siapa tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan imam Masjidil Aqsa itu.

Beberapa minit sebelum waktu berbuka tiba-tiba muncul sebuah kenderaan MPV. Beberapa orang keluar darinya. Antara mereka seorang tua berpakaian serba putih. Bahkan janggut dan rambutnya juga sudah beruban penuh. Ya, tidak syak lagi. Beliau ialah Syeikh Mahmud Siyam, mantan rektor Universiti Islam Ghaza. Beliau juga pernah menjawat jawatan imam di Masjidil Aqsa.

Selepas kebangkitan Intifadhah Palestin pada tahun 1989, beliau tidak dibenarkan kembali ke Palestin. Beliau dicop sebagai seorang pemimpin pejuang Palestin yang membahayakan kekuasaan rejim Zionis Israel. Dengan kata lain, orang tua yang uzur itu tidak dibenarkan memasuki Palestin kerana beliau seorang 'pengganas' mengikut kamus Amerika dan Israel. Beliau seterusnya menetap di Yaman.

Syeikh Siyam bukanlah asing bagi saya. Saya terlibat memberikan khidmat kepada beliau dalam beberapa kali kunjungannya ke Malaysia. Saya ditugaskan untuk menjadi penterjemah kepada ceramah beliau yang disampaikan dalam Bahasa Arab.

Saya pernah menjadi penterjemah ceramah beliau di sebuah Masjid Seksyen 17 Shah Alam. Ceramahnya tidak panjang. Bahasanya cukup teratur. Menggunakan Bahasa Arab Fushah yang cukup mudah difahami dan dialih bahasa.

Beberapa tahun sebelum itu saya diminta oleh Muslim Care (sebuah NGO yang sangat prihatin terhadap nasib umat Islam tertindas) untuk menjadi penterjemah dan pengiring kepada Syeikh Siyam di Kuala Lumpur. Malamnya saya bersama beliau di Hotel Grand Season KL. Kami tidur di sebuah bilik yang agak besar bersama rakan-rakan yang lain. Pada waktu subuh, kami berjemaah bersama. Saya sempat menyatakan hasrat untuk menulis buku ketiga berkaitan Palestin. Mendengar niat murni itu, beliau mengambil buku catatan dan menuliskan ’wasiatnya’ untuk dimuatkan ke dalam buku itu nanti. Kertas 4 helai itu saya imbas ke dalam komputer kerana bimbang hilang atau musnah.

Bulan Ramadhan tahun 2009 beliau berkunjung sekali lagi ke Malaysia sebagai memenuhi jemputan pelbagai pihak. Namun saya tidak berkesempatan bersama beliau. Hanya sempat menyapan

ya selepas beliau selesai menyampaikan ceramah di Gombak.

Kali ini saya berpeluang berbuka puasa bersama beliau. Keempat-empat anak saya juga berbuka puasa bersama beliau.

Pada mulanya saya beranggapan bahawa beliau telah mampu untuk pulang ke Ghaza kerana pintu Ghaza kini telah dibuka oleh kerajaan Mesir. Tetapi rupa-rupanya Mesir tidak mengizinkan Syeikh Siyam masuk ke Ghaza melalui negara itu. Jordan juga tidak membenarkannya masuk ke negara itu untuk ke Tebing Barat.

Natijahnya, ulama tua yang sudah uzur ini terus tinggal di Yaman...

Tiada ulasan: