Jumaat, Mei 16, 2008

PERISTIWA SELEPAS BADAR

Hari ini saya menerima jemputan menyampaikan ceramah sempena Maulidur Rasul di pejabat Jabatan Penerangan Malaysia di Wisma Sime Darby Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Selesai ceramah saya tidak terus balik kerana malam ini ada kuliah Maghrib pula di Surau Al Amin Taman Setapak Indah.
Di Al-Amin, biasanya saya membaca sirah Rasulullah SAW. Berikut adalah intipati kuliah yang akan saya sampaikan malam ini insya Allah.
RENTETAN PEPERANGAN BADAR

1. KEMATIAN
Kira-kira 70 orang tentera Musyrikin terbunuh di dalam peperangan Badar termasuk Al Walid bin ‘Utbah, bapanya Utbah dan Syaibah anak Rabi’ah. Ketiga-tiga mereka terbunuh dalam pertembungan pertama. Turut terbunuh Abu Al Bakhtari bin Hisyam dan Al Jarrah, bapa kepada Abu Ubaidah.

Umaiyyah bin Khalaf turut terbunuh ditangan bekas hambanya, Bilal dan Ammar bin Yasir serta beberapa orang Ansar. Hanzalah bin Abu Sufyan dan Abu Jahal turut terbunuh dalam peperangan Badar.

Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat menanam mayat tentera musyrikin. Setelah selesai, baginda berdiri di situ dan berseru memanggil nama pemimpin-pemimpin Quraisy yang mati itu:
يا فلان بن فلان يا فلان بن فلان، أيسركم أنكم كنتم أطعتم الله ورسوله،
فإنا قد وجدنا ما وعدنا ربنا حقا، فهل وجدتم ما وعدكم ربكم حقا

“Wahai fulan bin fulan, wahai fulan bin fulan, bukankah sesuatu yang sangat menggembirakan sekiranya dahulu kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya! Sesungguhnya kami telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kami untuk kami sebagai janji yang benar. Adakah kalian dapati janji tuhan kalian kepada kalian juga benar?”

Saidina Umar yang memerhatikan peristiwa itu bertanya kepada baginda: “Ya Rasulullah, tuan berbicara dengan jasad yang sudah tidak bernyawa? Baginda menjawab, “Demi Allah yang diriku berada dalam genggamannya, bukanlah kamu sahaja yang mendengar…”

2. SYUHADA’
Seramai 14 orang para sahabat terbunuh syahid dalam peperangan ini. Mereka ialah Umair bin Abi Waqas, Safwan bin Wahab, Zu As-Syimalain bin Abd Amru, Mahja’ bin Saleh, Aqil dan Ubaidah bin Al Harith (2 beradik), Saad bin Khaithamah, Mubasysyir bin Abd Munzir, Harithah bin Suraqah, Rafi’ bin Al Ma’la’, Umair bin Al Hammam, Yazid, Mu’awwiz dan ‘Auf bin Al Harith (3 beradik). Nama-nama ini tercatat pada batu tanda kubur para syuhada’ Badar (rujuk gambar).

Orang-orang yang terbunuh dalam perang sabilillah dianggap tidak mati. Sebaliknya mereka hidup dengan mendapat anugerah besar daripada Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” (Al Baqarah 154)

3. TAWANAN
Seramai 70 orang yang lain pula menjadi tawanan di tangan tentera Islam. Rasulullah SAW berbincang dengan para sahabat, tindakan apa yang patut dilakukan terhadap para tawanan yang ramai itu.

Umar mencadangkan supaya mereka semua dibunuh. Pendapat Umar disokong oleh Saad bin Muaz dan Abdullah bin Rawwahah.
Abu Bakr pula berpendapat supaya diberi peluang kepada mereka untuk hidup dengan bayaran wang tebusan.

Sebelum membuat keputusan, baginda memuji kedua-dua pihak. Umar disifatkan seperti Nabi Nuh yang berdoa mohon kehancuran untuk kaumnya:
“Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!” (Surah Nuh ayat 26)

Abu Bakr pula baginda sifatkan bagaikan Nabi Ibrahim yang bermunajat kepada Allah:

“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. oleh itu, sesiapa Yang menurutku (dalam Islam Yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa Yang menderhaka kepadaKu (dengan menyalahi ugamaku), maka Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Surah Ibrahim ayat 36)

Setelah itu baginda membuat keputusan untuk menerima wang tebusan. Bagi yang tidak membayar wang tebusan, mereka dikehendaki mengajar anak-anak orang Islam, ilmu-ilmu yang mereka miliki.

Maka ramailah yang dibebaskan setelah membayar tebusan termasuk Al Walid bin Al Walid yang kemudiannya memeluk Islam. Begitu juga dengan pemegang bendera, As Sa’ib bin Yazid. Manakala Abu Sufyan pula enggan membayar wang tebusan untuk anaknya Amru yang menjadi tawanan. Katanya, “Demi Allah, Muhammad tidak boleh mengumpul anakku dan hartaku sekali.” Untuk membebaskannya, Abu Sufyan telah menangkap Saad bin Nu’man Al-Ansari yang datang ke Mekah untuk menunaikan umrah. Kedua-dua tawanan itu kemudiannya ditukar.

4. TEGURAN ALLAH
Setelah selesai semua urusan pembayaran tebusan, maka datang satu teguran daripada Allah terhadap keputusan rasul-Nya yang memilih kaedah wang tebusan untuk menyelesaikan masalah tawanan. Allah menegur bahawa menerima wang tebusan tidak sepatutnya menjadi pilihan seorang rasul.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah Yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa Yang besar disebabkan (penebus diri) Yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.” (Al-Anfal ayat 67-68)

5. HARTA RAMPASAN
Oleh kerana Badar merupakan pengalaman pertama umat Islam memperoleh kemenangan yang besar dan mendapat harta rampasan yang banyak, maka para sahabat kebingungan dalam menguruskan harta berkenaan. Berlaku perbezaan pendapat antara golongan muda dan tua.

Perbezaan pendapat ini hampir-hampir mencetuskan perkara yang tidak diingini, lalu Allah yang Maha Mengetahui menurunkan ayat pertama daripada surah Al Anfal bagi memperjelaskan kedudukan harta rampasan itu.

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta Taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang Yang beriman.” (Al Anfal ayat 1)

Seperti biasa, apabila turunnya ayat Al Quran, maka terungkailah segala permasalahan dan tunduk patuhlah semua sahabat. Mereka akur dan menerima keputusan Allah dan rasul-Nya.

Rasulullah SAW lantas membahagi-bahagikan harta rampasan secara sama rata di kalangan pejalan kaki ada sukatan tertentu dan di kalangan penunggang kuda ada sukatannya tanpa mengira tua atau muda.

Beberapa ketika kemudian turun pula ayat ke 41 memperincikan pembahagian yang sepatutnya:

“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir Yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa Yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Tiada ulasan: