Selasa, Mei 20, 2008

TINDAKAN DR MAHATHIR BUKAN LUAR BIASA

Sekadar Siaran Ulangan

Mungkin bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pengumuman Tun Dr Mahathir keluar parti sebagai suatu yang mengejutkan. Namun bagi penulis, ia satu perkara biasa bagi ahli politik. Bahkan pengisytiharan seorang 'mantan' Perdana Menteri Malaysia untuk meninggalkan parti yang diterajuinya sebelum ini telahpun berlaku kepada pemimpin-pemimpin sebelumnya.

Tun Razak

Dalam sejarah kepimpinan negara, hanya Tun Abd Razak sahaja, perdana menteri yang kekal di dalam parti ketika menghembuskan nafas terakhir. Tun Abd Razak yang dilahirkan pada 11 Mac 1922 terlibat aktif di dalam Umno sejak tahun 1950 apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Pada tahun berikutnya (1951) beliau terpilih menjawat jawatan kedua utama dalam Umno iaitu Timbalan Presiden.

Pada tahun 1955, Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda, iaitu pada usia 33 tahun. Beliau kekal di dalam Umno sehinggalah menjadi Perdana Menteri pada September 1970 menggantikan Tunku Abd Rahman yang meletakkan jawatannya. Selama 6 tahun menjadi Perdana Menteri Tun Razak kekal dengan perjuangan Umno hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di London pada Januari 1976.

Tunku Abd Rahman

Namun Perdana Menteri yang lain mempunyai rentetan perjuangan yang agak unik. Perdana Menteri pertama, Tunku Abd Rahman umpamanya, yang menyertai Umno sejak parti itu ditubuhkan, meninggalkan parti itu pada akhir usianya.

Ketika krisis memuncak di dalam Umno pada tahun 1987, Tunku berpihak kepada team Tg Razaliegh, Musa Hitam dan Rais Yatim. Apabila Umno diharamkan, dengan semangat cintakan parti, Tunku bertindak mengumumkan penubuhan parti Umno Malaysia. Namun pendaftarannya dibatalkan.

Apabila Dr Mahathir menubuhkan Umno Baru (1988) Tunku tidak turut serta menyertai parti baru itu, sebaliknya beliau kekal bersama team Tg Razaliegh dan turut berceramah bersama-sama pemimpin parti Semangat 46. Sehingga akhir hayatnya (Disember 1990), Tunku tidak menyerti parti Umno Baru yang ditubuhkan Dr Mahathir.

Hussein Onn

Tun Husein Onn mempunyai sejarah politik yang lebih unik. Beliau menjadi Ketua Pemuda Umno lebih awal daripada Tun Razak iaitu pada tahun 1949. Bagaimanapun pada tahun berikutnya beliau melepaskan jawatan Ketua Pemuda kerana dipilih sebagai Setiausaha Agong. Jawatan setiausaha agong juga tidak lama dipegang oleh beliau apabila bertindak keluar daripada Umno.

Pada tahun 1951, Tun Hussein menyertai parti baru yang ditubuhkan oleh bapanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Selepas 16 tahun meninggalkan Umno, beliau kemudian menyertainya semula pada tahun 1968 setelah dipujuk oleh Tun Razak. Pada tahun berikutnya beliau diberi kepercayaan bertanding di dalam pilihanraya (1969) dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Pelajaran.

Tun Hussein menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga pada 15 Januari 1973, iaitu selepas kematian Tun Razak. Jawatan tertinggi itu dipegang sehingga 17 Julai 1981. Beliau meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menyerahkan jawatannya kepada timbalannya Dr Mahathir.

Sewaktu krisis kepimpinan UMNO berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari masa itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.

Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.

Dengan kata lain, semua Perdana Menteri Malaysia yang sempat hidup dalam alam persaraan, telah menunjukkan penentangan mereka kepada para pengganti mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Tidak diketahui apa akan berlaku sekiranya Tun Razak dipanjangkan usia. Namun hakikatnya Tun Razak meninggal dunia sebelum sempat bersara.

Dato' Onn

Paling jelas, pengasas Umno sendiri, Dato' Onn Jaafar (1895-1962) lebih awal meninggalkan Umno. Beliau yang menjadi Presiden pertama Umno (1946) turut dilantik sebagai Menteri besar Johor pada 1 Oktober 1946.

Namun Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951.

Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.

Dr Mahathir

Justeru apabila Tun Dr Mahathir menyuarakan penentangan terhadap kepimpinan negara dan bertindak nekad mengisytihar diri keluar parti, maka itu bukan satu kejutan. Ia bukan suatu perkara luar biasa. Ia adalah sesuatu yang biasa. Sudahpun berlaku kepada Tunku dan Tun Hussein.

Apakah yang akan berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah andainya dipanjangkan usia selepas persaraannya? Wallahu a'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang bakal berlaku.

Tiada ulasan: