Ibnu Ismail
Empat tahun lalu, Datuk Seri Harussani Zakaria (Mufti Perak) mewakili Majlis Mufti-mufti Malaysia mengumumkan bahawa program anjuran TV3 dan Media Prima, konsert Jom Heboh (ketika itu Sure Heboh) adalah haram.
Ia patut diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur yang melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan muda mudi.
"Majlis Mufti telah membincangkannya baru-baru ini dan berpendapat konsert Sure Heboh TV3 adalah sesuatu yang melalaikan dan oleh itu ia wajar dihentikan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Muzakarah Ulama 2004 sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-76 pada 29 Julai 2004.
Beliau berkata, konsert Sure Heboh hendaklah dihentikan kerana Majlis Mufti melihat ia membawa kesan buruk kepada orang Melayu. Katanya, walaupun dibenarkan dalam Islam tetapi ia hendaklah diadakan secara berpada-pada sehingga tidak melalaikan.
Keputusan itu menerima pelbagai reaksi samada pro ataupun kontra. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub dilaporkan menyokong saranan para mufti berkenaan dan mendakwa banyak perkara negatif berlaku ketika program itu diadakan di Kuantan.
Berikutan itu, TV3 dan Media Prima bertindak menukarkan nama program Sure Heboh kepada 'Jom Heboh'. Tindakan Media Prima itu hanya menyebabkan rakyat tertawa sinis. Mereka beranggapan tindakan menukar nama itu sebagai tindakan satu tindakan bodoh yang tidak menyelesaikan masalah.
Mufti mengatakannya haram bukan kerana 'nama' tetapi kerana pengisiannya. Sepatutnya pengisian itu yang perlu diubah. Bukannya nama. Jika ditukar namanya kepada 'Jom Ke Masjid' sekalipun ia tidak akan menjamin 'kehalalannya' jika terdapat padanya program haram yang melalaikan.
Setelah 4 tahun bertukar nama, kini giliran Mufti Perlis membuat teguran. Berbeza dengan Mufti Perak, Dr Mohd Asri Zainal Abidin tidak mengatakan program itu sebagai haram tapi:
"Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut."
Antara nilai negatif itu termasuklah konsert liar yang membariskan artis-artis yang mendedahkan aurat dan membuat persembahan yang melampau. Secara terus terang Asri menyebut nama Faizal Tahir, yang disifatkannya sebagai membawa contoh buruk, menjerit, kebudak-budakan, tidak tahu matlamat hidup dan tidak sewajarnya dipertontonkan kepada anak-anak remaja untuk diteladani.
Di satu sudut, pandangan kedua-dua mufti ini nampak berbeza. Masyarakat awam akan tertanya-tanya, kenapa dua orang mufti berbeza pandangan? Seorang kata haram, seorang lagi kata tidak haram!
Sebenarnya jika dikaji dan diteliti, kedua-dua pandangan itu adalah sama. Cuma ayatnya sahaja yang berbeza.
Datuk Harussani berkata ianya haram kerana mengandungi unsur-unsur negatif. Dr Asri pula kata ia tak haram jika dibuang unsur-unsur negatif itu.
Perkara ini samalah dengan 2 orang yang memberi pendapat tentang makanan yang beracun. Si A berkata, makanan itu berbahaya dimakan kerana mengandungi racun. Si B pula berkata, makanan itu tidak berbahaya jika dibuang racunnya.
Jadi tidak timbul persoalan bercanggah pendapat antara mufti Perlis dan Perak......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan