Khamis, Jun 03, 2010

DEMONSTRASI TAK ADA FAEDAH?

Story 1:
Seorang lelaki menunjukkan gambar sukarelawan Gaza lalu berkata, "Dia orang ni buat tindakan buat tindakan tak ada faedah."

"Apa dia?" Rakannya bertanya. "Ye la, yang dok buat piket macam ni, bukannya ada apa-apa kesan kepada Israel. Dia gelak je tengok orang Islam piket. Patutnya orang Islam kena berpakat betul hantar tentera ke Israel," tegasnya.

Story 2:
Seorang lelaki menonton berita tv yang menyiarkan gambar pejuang-pejuang Palestin bertempur dengan tentera Rejim Israel lantas berkata, "Depa ni berjuang apa macam tu, macam main-main je. Main baling-baling batu pulak. Kalau betul nak berjuang, gunalah senapang. Baru padan nak lawan Israel."

Story 3:
Seorang tokoh terkenal berkata, "Buat apa orang Islam tiru budaya luar. Buat tunjuk perasaan dan demonstrasi kat tangga-tangga masjid dan. Kalau betul nak lawan, pergilah ke sasarannya yang betul."


KOMENTAR
Memang kalau boleh kita mahu terus ke sasaran. Kalau boleh kita mahu bertempur terus dengan tentera pengganas Yahudi. Kalau boleh kita mahu pejuang Palestin berperang menggunakan senjata-senjata automatik, kapal selam, jet pejuang sukoi dan helikopter apache.

Kalau boleh kita mahu kapal Mavi Marmara bukan sekadar membawa ubat-ubatan dan bahan binaan, tetapi memenuhkan ruang kapal dengan bekalan senjata canggih dan meriam-meriam jarak jauh yang bakal membedil kapal dan bot komando pengganas Yahudi.

Juga kalau boleh kita mahu semua negara umat Islam berpakat menubuhkan gabungan tentera lalu dihantar ke Palestin untuk memadamkan api kedurjanaan yang dinyalakan Yahudi sejak 60 tahun lalu. Kalau boleh kita mahu setiap negara Arab terutama yang bersempadan dengan Palestin (Lubnan, Syria, Jordan dan Mesir) membuka pintu sempadan masing-masing dan memberi laluan kepada mujahidin seluruh dunia masuk membantu umat Islam Palestin. Lebih dari itu kalau boleh kita mahu Mesir sebagai negara Arab yang memiliki kekuatan tentera paling besar di dunia Arab mengepalai bala tentera yang bakal menenggelamkan kebengisan Tel Aviv.

Namun semua yang penulis nyatakan di atas hanya bersandarkan kalimah, "Kalau boleh.... Kalau boleh..." Kalau tak boleh, macam mana? Sememangnya apa yang dinyatakan di atas buat masa ini masih belum boleh...

Jadi bila tak boleh, macam mana nak buat? Adakah hanya sekadar melepaskan geram di hadapan peti televisyen, menghentam Yahudi di kedai kopi dan meludah kertas surat khabar yang menyiarkan berita kekejaman Zionis sahaja?

Kaedah Fiqh menyebut, 'Perkara yang tak dapat disempurnakan keseluruhannya, janganlah ditinggalkan keseluruhannya.' Dengan kata lain, kalau tak mampu buat semua, jangan sampai tinggal semua.

Berbalik kepada isu demonstrasi anti-Zionis dan konvoi sukarelawan ke Ghaza. Kenapa konvoi melalui jalan laut? Jawapannya semua orang tahu, Mesir tutup pintu sempadan. Jordan tutup sempadan. Jangankan nak hantar senjata, nak hantar penselpun tak dibenarkan. Tahun lalu, berminggu-minggu para sukarelawan berkampung di pelabuhan Nuwaiba'. Namun pintu sempadan Ghaza terus ditutup oleh pemerintah Mesir.

Dengan itu mereka boleh pulang ke rumah masing-masing dan berehat. Mereka boleh buat alasan, dah orang tak buka pintu kita balik lah. Tetapi mereka adalah manusia yang gigih. Tak boleh plan A, mereka pergi ke plan B. Begitulah seterusnya.
Begitu juga dengan isu demonstrasi. Mereka menjerit, laungkan kalimah kemarahan, bakar bendera Zionis dan sebagainya. Memang Israel tak terbakar langsung. Tetapi kita perlu faham kenapa Israel tidak 'terbakar'. Ia tidak terbakar kerana masih ramai umat Islam tidak sensitif dan tidak buat apa-apa. Masih ramai pemerintah Islam yang tak berani membuat pendirian tegas terhadap Israel. Dunia juga terus membisu tanpa sebarang tindakan. Justeru demo dan konvoi ini diperlukan untuk memberi satu kejutan kepada semua pihak supaya bertindak segera. Ia dilakukan dengan beberapa hadaf. Antaranya:
1. Ia dilakukan untuk menyedarkan orang ramai yang masih belum sedar tentang kepentingan cakna terhadap isu Palestin.
2. Ia untuk mengejutkan pemimpin-pemimpin Islam supaya bangun dari lena yang panjang dengan mesej, kalian telah terlalu lama membiarkan Palestin dijajah. Bila kalian mahu bergerak bersama negara-negara Islam lain untuk membantu Palestin.
3. Mungkin ada yang kata, ia umpama anjing menyalak bukit, bukit tak terkesan. Tetapi sekurang-kurangnya perompak di sebalik bukit itu tahu bahawa mereka terpaksa melalui jalan sukar untuk melakukan rompakan seterusnya.

Alhamdulillah, walaupun Mavi Marmara tidak membawa senjata, namun mereka berjaya menjadikan isu ini sebagai senjata untuk mengejut ummah dari lena yang panjang.....

Tiada ulasan: