Isnin, Jun 14, 2010

MELEPAS RINDU PADA HARAMAIN


Perjalanan dari KL ke Amman berjalan tanpa masalah. Sampai Amman kami dibawa melawat ke Laut Mati. Dari tebing / pantainya kami dapat melihat dengan jelas bumi Palestin yang dijajah di seberang sana.

Sebelum itu kami dibawa menziarahi gua Ashabul Kahfi di perkampongan Ar Raqim. Kami juga dibawa ke kubur Nabi Syuaib, Masjid Malik Husain dan lain-lain.

Dari Amman kami dibawa ke Jeddah. Tiba di Jeddah jam 8.00 malam. Terus dibawa ke Madinah. Sampai Madinah lebih kurang jam 3.15 pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Pagi berkenaan kami sempat solat fardhu Subuh pertama di Masjid Nabawi. (Subuh masuk jam 3.58 pagi). Kebetulan hari itu Jumaat, maka kami berpeluang menunaikan solat Fardhu Jumaat di sisi pusara Rasulullah SAW. Petang itu saya berkunjung ke pusara Rasulullah SAW yang sudah dua tahun saya tinggalkan. Di dalam kesesakan lautan manusia yang cintakan baginda saya sampai juga di sisi kubur baginda dan sempat menunaikan solat di Raudhah (kawasan antara rumah dan mimbar baginda yang disifatkan oleh baginda sebagai satu taman dari taman2 syurga).

Seperti biasa, esoknya kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah, Masjid Quba' (masjid pertama dibina selepas hijrah), Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, kebun kurma dan pasar kurma. Hari ke3 kami dibawa menziarahi kilang percetakan Al Quran dan kawasan Jabal Baidha'. Kawasan ini dikatakan mempunyai tarikan magnet yang sangat kuat hingga boleh menjalankan bas tanpa ditekan padel minyak selaju 120kmj. Bagaimanapun seoran profesor yang membuat kajian di sini berkata ia bukan magnetik, tetapi ia lebih bersifat ilusi optik di mana mata kita terkeliru dengan bentuk muka bumi yang hakikatnya menurun- wallahu a'lam.

Namun hakikatnya yang kami saksikan, driver bas mem'free'kan gearnya dan kakinya diletakkan di atas stering dan beliau memandu melebihi 120kmj tanpa menekan minyak. Subhanallah.

Petang semalam kami menziarahi kubur Rasulullah SAW bagi kali terakhir sebelum meninggalkan bumi suci Madinah Al Munawwarah.

Kami bergerak menuju ke Bir Ali (Zul Hulaifah) dan berniat ihram umrah di sana. Seterusnya kami menaiki bas meneruskan perjalanan untuk menyempurnakan ibadah umrah di Makkah Al Mukarramah.

Dalam perjalanan, kami berhenti untuk makan dan solat Maghrib dan Isyak di Qudhaid. Di situ saya ditegur oleh seorang kanak-kanak, "Assalamualaikum ustaz, ustaz tak kenal saya?" Saya perhatikan muka budak itu lantas menjawab, "Tak kenal, siapa awak?"

"Saya anak cikgu Hazri. Ustaz mesti kenal, cikgu Hazritauding."

Rupa-rupanya Hazri yang pernah mengikuti saya menunaikan umrah pada 2007 lalu pergi lagi kali ini. Beliau mengikuti rombongan umrah yang transit di Bahrain. Dan ajaibnya, beliau tinggal satu hotel dengan saya di Madinah sedangkan saya tidak pernah bertemunya selama berada di Madinah. Insya Allah di Makkah juga kami akan menginap di hotel yang sama.


Alhamdulillah, jam 10 malam tadi kami tiba di kota tertua di dunia dan termulia ini. Setelah check in di hotel Hijaz, kami terus menuju ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan tawaf dan saie. Manusia sangat ramai. Tiada ruang masjid yang tiada manusia. Kami saksikan masing-masing berzikir, solat, tawaf, bertakbir dan bertahmid memuji dan memuja Allah SWT.

Laungan talbiah kami terhenti apabila binaan kaabah tersergam indah di hadapan kami. Laungan LAILAHAILLALLAH kami jeritkan 3 kali. Kami bertakbir 3 kali membesarkan Allah. Kami bacakan doa memuliakan ka'bah baitullah. Seterusnya kami turun ke lapangan untuk tawaf 7 kali mengelilingi kaabah. Mata mana yang tidak bergenang dengan airnya dikala kaabah berada hanya beberapa meter sahaja dari tubuh. Sepanjang bertawaf, kami laungkan kalimah-kalimah memuji Allah dan kami berdoa kepada Allah. Suara 35 orang jemaah ini bergema di setiap penjuru lapangan tawaf. Subhanallah... satu ibadat berbentuk demonstrasi kami lakukan.

Selesai tawaf kami menunaikan solat sunat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim. Ia merupakan dua bongkah batu yang Allah turunkan bagi memudahkan kerja-kerja membina kaabah oleh Ibrahim dan anaknya Ismail.

Kami meneruskan aktiviti umrah dengan bergerak menuju ke Bukit Safa. Bukit itu kini telah dipagar dengan pagar cermin. Dahulu, ramai orang bertenggek dan 'lepak' di atas bongkah-bongkah batu besar itu. Namun kini tidak boleh lagi. Kenapa dipagar, wallahu a'lam.

Dari atas bukit itu kami bertakbir lagi tiga kali bagi memulakan saie. Biarpun penat, letih dan sakit kaki kami gagahi juga perjalanan menuju ke bukit Marwah. Seketika apabila kaki terasa sangat sakit, mahu rasanya berhenti seketika. Namun niat itu terpadam apabila mengenangkan betapa letih dan betapa sakitnya Hajar berlari mencari air untuk anaknya Ismail. Sedang ketika itu tiada lantai cantik seperti sekarang, tiada kipas, tiada bekalan air di kiri dan di kanan jalan.

Alhamdulillah, jam 2.10 pagi kami selesai saie lantas beramai-ramai kami berdoa memanjatkan rasa syukur kepada Allah disamping memohon agar diterima amalan kami yang sedikit ini.

Masing-masing puas hati. Sempurnalah sudah satu ibadah umrah. Hari ini kami berehat. Insya Allah, esok lusa dan seterusnya... kami akan terus di bumi mulia ini untuk aktiviti-aktiviti ibadat yang lain. Semoga Allah membantu kami melaksanakan tuntutan agamanya. Moga Allah memberkati dan menerima apa yang kami lakukan sebagai satu amalan soleh.

Wallahu a'lam.
ARIS HAZLAN
Hijaz Hotel, Makkah Al Mukarramah.
8.40 pagi (1.40 ptg waktu Malaysia)
14 Jun 2010


2 ulasan:

YAZID berkata...

rindunya nak kembali ke haramain, doakan untuk ana ustaz. yazid muhamad rumbali

ibnuismail berkata...

Ya, insya Allah anda berpeluang kembali ke Makkah. Doa banyak-banyak.