Selasa, Jun 29, 2010

SOLAT JUMAAT WANITA: PRO & KONTRA


1. Beberapa minggu kebelakangan ini muncul perbincangan berkaitan saranan dan galakan supaya wanita / muslimah datang ke masjid pada hari Jumaat untuk menunaikan solat Jumaat. Umum mengetahui, tiada suatu laranganpun untuk wanita menghadirkan diri menghadiri solat Jumaat. Walaubagaimanapun ia bukanlah satu kewajipan. Solat Jumaat hanya wajib kepada kaum lelaki / muslimin.

2. Cadangan ini mungkin bertitik tolak dari rasa ingin merapatkan jurang perbezaan antara wanita dan lelaki dalam Islam di sudut pengetahuan dan pengalaman, khususnya kesan apabila hanya orang lelaki sahaja yang mendengar khutbah, sedangkan wanita tidak mendapat kelebihan itu lantas melahirkan golongan wanita yang berpemikiran berbeza dengan kaum lelaki. Sebagai contoh, khutbah sering menyentuh persoalan aurat wanita, namun golongan berkenaan tidak mendengar khutbah itu, bagaimana ia akan berkesan?

3. Di satu sudut saya bersetuju supaya wanita yang berkelapangan hadir solat Jumaat. Tetapi di sudut yang lain saya kurang setuju. Saya setuju berdasarkan alasan-alasan di atas. Bukan sekadar khutbah Jumaat, bahkan kuliah Maghrib, ceramah agama dan sebagainya seharusnya dihadiri oleh lelaki dan perempuan. Untuk menyelesaikan sesuatu penyakit masyarakat, semua pihak perlu menjalani 'treatment' yang disediakan. Jika satu pasangan tidak mendapat anak, maka doktor akan memanggil dan merawat kedua-dua pasangan. Begitu jugalah soal agama.

4. Namun saya kurang bersetuju dalam keadaan-keadaan tertentu untuk wanita hadir solat Jumaat. Khususnya jika masjid yang tidak menyediakan kemudahan dan tempat yang sesuai untuk wanita. Begitu juga masjid yang dikenal pasti tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai, terutamanya masjid-masjid di bandar>

5. Hampir semua masjid di kasan bandar di Malaysia tidak mampu memuatkan kesemua jemaah pada waktu solat Jumaat. Lihat sahaja masjid Jamek Kuala Lumpur. Setiap hari jumaat, ratusan orang lelaki terpaksa bersembahyang di atas jalan raya dan di perkarangan pejabat guaman berdekatan. Begitu juga dengan Masjid India. Mereka terpaksa menunaikan sembahyang di kaki lima kedai tekstail hingga ada juga yang bersembahyang berkiblatkan kios money changer! Bayangkan jika wanita dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat di masjid-masjid sebegini.

6. Penulis juga sering melihat puluhan pelajar sekolah menengah yang hadir ke Masjid Tengku Sulaiman Bentong pada hari Jumaat, tetapi tidak menunaikan sembahyang dengan alasan, 'masjid tak muat!' Jika wanita dibenarkan bersembahyang Jumaat di situ, mungkin akan lebih ramai lagi pelajar yang tidak akan bersembahyang (khususnya yang memang culas dalam menunaikan sembahyang).

7. Seterusnya, penulis juga tidak menggalakkan wanita yang berkunjung ke tanah suci untuk menunaikan solat Jumaat, walaupun ulama' di sana tidak melarang. Bayangkan setiap hari Jumaat para muslimin terpaksa bersesak-sesak hingga ke tengah panas untuk mencari ruang solat. Mereka terpaksa berdiri di tengah panas sehingga mencecah 50 darjah celcius dek kerana tiada ruang lain bagi mereka. Maka wanita yang tidak dihukumkan wajib menunaikan solat Jumaat perlulah memberi ruang yang secukupnya kepada kaum lelaki yang sememangnya wajib menunaikan solat Jumaat.

8. Oleh yang demikian, dalam kita memberikan sokongan kepada usaha menggalakkan wanita mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat ini, maka sewajarnyalah pihak berkuasa, pentadbir masjid dan seluruh umat Islam berusaha menaik taraf masjid-masjid yang ada dalam nengara ini khususnya. Tempat wudhuk yang mencukupi dan sesuai untuk wanita hendaklah disediakan. Ruang solat wanita yang mudah diakses juga perlu disediakan. Kawasan parkir yang praktikal perlu diusahakan. Untuk menjayakan pembinaan sesebuah pasar raya, pihak berkenaan boleh membina kawasan parkir di bawah atau di atas pasar raya berkenaan. Kenapa dalam pembinaan masjid pihak berkenaan tidak berfikir seperti itu.

9. Masjid-masjid di kawasan bandar kebanyakannya mempunyai kewangan yang agak kukuh. Berbanding masjid kampung yang hanya memperoleh sumbangan derma Jumaat sekitar RM50 ke RM60, masjid bandar mampu meraih antara RM5000 hingga RM10 000 seminggu. Malangnya banyak jawatankuasa masjid yang hanya berbangga dengan rekod simpanan mereka tetapi tidak memanfaatkan wang berkenaan untuk aktiviti mengimarahkan masjid.

10. Jika wang itu tidak digunakan, bererti ia disimpan di dalam bank. Jika disimpan dalam bank, bererti wang masjid itu akan digunakan oleh kontraktor-kontraktor dan usahawan yang akan membuat pinjaman bank untuk membiayai projek dan kerja mereka. Justeru, tidak mustahil jika dikatakan, "Ada masjid yang wangnya digunakan untuk membina pusat hibuan, pusat snooker, disko, kedai judi dan lain-lain..."

(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang mungkin boleh diterima atau ditolak... al-Mu'allif)



Tiada ulasan: