Rabu, Jun 02, 2010

ERDOGAN JANJI BANTU PALESTIN BIARPUN BERSENDIRIAN




Perdana Menteri Turkey Rajab Toyyib Erdogan (Recep Tayyip Erdogan) menegaskan bahawa beliau dan kerajaannya akan terus membantu kerajaan Palestin di Semenanjung Ghaza walau terpaksa membayar berapa harga sekalipun. Demikian ditegaskan dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Ghaza Ismail Haniah petang semalam (1/6).

Menurut Erdogan, serangan Israel ke atas konvoi NGO yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Ghaza bukan sekadar isu dalaman, bahkan Israel sebenarnya bertindak memerangi dunia. Ini kerana konvoi berkenaan disertai oleh pelbagai kumpulan NGO dari 33 buah negara.
Justeru, beliau akan terus berjuang untuk memastikan sekatan ke atas Ghaza dihentikan. Beliau berkata, "Kami akan terus membantu kamu (Palestin) biarpun kami hanya bersendirian."

Di pihak Palestin, Ismail mewakili kerajaannya di Ghaza dan Hamas mengucapkan takziah kepada Turkey di atas pembunuhan kejam Yahudi ke atas rombongan konvoi dari Turkey di perairan laut Mediterranean Isnin lalu.

Dalam pada itu Presiden Mahmud Abbas dari gerakan Fatah menyatakan kesediaannya untuk meneruskan perbincangan damai dengan Israel.

Ketika Erdogan dan Ismail saling berhubungan menerusi telefon bagi mengucapkan takziah dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan perjuangan membebaskan Palestin, Abbas pula dilaporkan oleh agensi berita AP menghubungi Setiausaha Agong PBB menerusi telefon untuk menyatakan kesediaannya mengadakan perbincangan damai dengan Israel.


Berita lanjut: http://palestine-info.info/ar

Tiada ulasan: