Selasa, Jun 15, 2010

BERTAHUN MENANTI SYEIKH SUDAIS


Telah 14 tahun saya tidak berpeluang menunaikan solat di belakang Syeikh Abdul Rahman Abd Aziz Ali Sudais. Dalam tempuh ini beberapa kali saya berkunjung ke Makkah. Selain menunaikan umrah, saya berharap agar dapat menunaikan solat dengan berimamkan Syeikh Sudais.

Namun hampa, Sudais tidak muncul setiap kali saya berkunjung ke Makkah.

Tahun 1997 lalu, saya sempat sebulan bertarawih di belakang beliau. Para jemaah dengan penuh semangat setia di belakangnya dek kerana pengaruh suaranya yang lantang dan sangat lunak ketika membaca Al Quran.

Sudais membaca dengan penuh penghayatan. Beliau sering mengulang beberapa kali ayat-ayat tertentu yang difikirkannya sangat memberi kesan kepada jiwanya. Sudais juga didapati sering menangis dalam bacaannya terutama ayat-ayat yang menceritakan azab Allah.

Namun segala-galanya terubat.... Ketika menunaikan solat maghrib tadi, apabila mendengar lafaz takbiratul ihram, "Allahu Akbar!" Saya terkejut. Suara ini begitu familiar. Biasa sangat saya dengar suara ini. "Alhamdulillahirabbil alamin..." sebaik sahaja mendengar bacaan-bacaan imam Masjidil Haram pada hari ini, hati saya terus berkata, "Inilah suara yang saya tunggu-tunggu sejak 14 tahun lalu."

Benar, inilah suara imam Sudais. Rakaat pertama beliau membaca surah Al Baiyyinah. Tiba pada ayat 7 beliau menguatkan bacaannya dan suaranya bergetar dek kerana tangisannya. Pada rakaat kedua juga tangisannya berulang apabila membaca surah Az Zalzalah ayat 7 dan 8.

Seorang sahabat berkata, "Saya terharu dengan bacaan imam hari ini. Walaupun saya tak faham Bahasa Arab, tapi saya dapat menghayati bacaannya."

Lantas saya membuat kesimpulan, bahawa bacaan imam sangat penting dan memberikan kesan kepada solat para makmum.

Tiada ulasan: