Selasa, Ogos 25, 2009

KENAPA MASIH BERDOLAK DALIK LAKSANA HUKUM ALLAH

Tersentuh juga hati apabila setiap hari terbaca berita kesediaan untuk Kartika Sari Dewi Shukarnor dihukum sebat kerana kesalahan minum arak di Kuantan. Beliau sudah insaf dan sedar kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau mahu hukuman ini menjadi pengajaran kepada dirinya dan seluruh umat Islam. Beliau mahu bertaubat. Beliau mahu dihukum di dunia kerana tidak sanggup berhadapan dengan hukuman Allah di akhirat kelak.
Justeru apabila hakim menjatuhkan hukuman, beliau meminta hukuman itu dilaksanakan segera dan seboleh-bolehnya ia dilaksanakan di khalayak ramai.

Ramai yang mempersoalkan adakah hukuman 6 kali sebatan itu bertepatan dengan kehendak syarak. Sememangnya ia tidak tepat dengan kehendak syarak kerana:
1. Ia hanya 6 sebatan, sedangkan dalam kesalahan jenayah syar'iah, Islam menetapkan hukuman sebatan 80 rotan bagi kesalahan minum arak.

2. Kaedah sebatan yang dilaksanakan di Malaysia sekarang adalah terlalu mendera dengan menggunakan rotan yang besar dan hayunan yang kuat serta dirotan hanya pada satu tempat, sedangkan undang-undang syarak menetapkan hukuman yang lebih bersifat mendidik dan memberi pengajaran.

3. Hukuman yang dilaksanakan sekarang tidak memelihara aurat pesalah. Sedangkan hukuman Islam dijalankan di atas pakaian yang lengkap.
Walaubagaimanapun hakim telah menggunakan maksima peruntukan yang ada dan had hukuman yang boleh dijatuhkan olehnya untuk menjatuhkan hukuman yang paling hampir dengan syariat Islam.

Sepatutnya pihak yang mempersoalkan itu bertanya, adakah hukuman sebelum ini bertepatan dengan syarak. Hukuman yang berbentuk denda beberapa ratus atau ribu ringgit. Lagi jauh dan langsung tidak ada dalam Kitab Allah.

Dan sepatutnya pihak berkenaan juga perlu mendesak supaya hukuman Islam itu dilaksanakan secara sempurna bagi mempamerkan keadilan Islam.

Desakan dan asakan demi asakan diterima oleh pihak bekuasa agama di Pahang yang akhirnya menyaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengarahkan hukuman ditangguh.
Saya bimbang, sikap berdolak dalik dalam melakanakan hukuman ini akan memberikan gambaran buruk tentang undang-undang Islam. Lebih malang lagi jika Kartika sendiri berbalik hati dek sikap berdolak dalik ini.

Ahad, Ogos 23, 2009

KENANGAN BERKUNJUNG KE SEMPADAN PALESTIN


Tika menelusuri ayat-ayat Allah di pagi Ramadhan ini, hati begitu tersentuh. Al Baqarah bermula dengan perincian pembahagian manusia kepada muttaqin, kafir dan munafiq. Diikuti dengan paparan sejarah awal manusia yang dicipta dari tanah, kepatuhan malaikat dan kekufuran iblis. Seterusnya peringatan dan amaran kepada Bani Israil….



Sesungguhnya membaca dengan bertammul pasti dapat mengetup pintu hati yang keras. Seawal ayat 40, Allah sudah mula menceritakan perihal kerasnya hati kaum Bani Isarel untuk menerima kebenaran. Banyak sekali kisah mereka di dalam Al Baqarah yang diselang-selikan dengan perkara-perkara lain. Hingga ke penghujungnya masih terdapat paparan kedegilan Bani Israil.

Masuk surah Ali Imran, ada juga kisah mereka. An Nisa' juga sama. Begitu jugalah dengan surah-surah yang lain. Hinggakan ada satu surah yang dinamakan surah Bani Israil atau surah Al Isra'.

Al Baqarah memaparkan bagaimana sikap 'banyak soal' mereka akhirnya menyusahkan mereka sendiri. Bagi menyelesaikan satu kes pembunuhan, Nabi Musa AS mengarahkan mereka menyembelih lembu. Mereka bertanya, "Lembu macam mana? Warna apa? Apa sifat-sifatnya...?"

Pertanyaan-pertanyaan itu bukan untuk mengetahui sifat sebenar lembu yang diperintahkan supaya disembelih, tetapi ia lahir dari sikap buruk mereka yang sengaja mahu menangguhkan pelaksanaan perintah rasul. Lantas pertanyaan itu menyusahkan mereka untuk mencari lembu yang disifatkan. Hampir-hampir mereka tidak menemuinya. Sedangkan andai mereka sembelih tanpa banyak soal, mereka boleh sembelih mana-mana lembu atas dunia ini.

Mereka juga menyusahkan nabi mereka dengan bermacam-macam hal termasuk meminta hidangan dari langit, meminta untuk melihat Allah dan meminta air di tempat yang mustahil ada air. Berhadapan dengan kaum yang degil ini, Allah membekalkan kepada nabi-nabi Bani Israil ini dengan mukjizat hissiah yang banyak.

Nabi Musa AS dianugerahkan tongkat yang banyak membantu. Apabila baginda melemparnya di hadapan Firaun, ia bertukar menjadi ular besar. Ketika memukul laut, ia terbelah dua memberikan laluan kepada baginda dan Bani Israil untuk menyelamatkan diri. Apabila dipukul pada sebongkah batu besar, terpancar 12 mata air yang setiap satu cukap untuk keperluan setiap qabilah Bani Israil.

Mengenangkan betapa banyaknya peninggalan kisah Musa dan Bani Israil ini, maka pada 3-5 Mac 2003, saya bersama beberapa orang sahabat dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir meneroka perjalanan ke Semenanjung Sinai hingga ke sempadan Palestin.

Sampai di sana, kami dapat saksikan sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah Nabi Musa yang masih elok dan jelas walaupun tanpa pemerhatian dan baik pulih pihak berkuasa. Kami mendaki gunung Jabal Musa yang terletak dipuncak Tur Sina, tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan menerima wahyu yang berupa kitab Taurat. Kami saksikan Wadi Arba'in dan bongkah batu yang dipukul oleh Nabi Musa hingga menerbitkan 12 mata air. Kami lihat kesan peninggalan peristiwa penyembahan Bani Isarail kepada patung lembu... dan banyak lagi perkara yang menunjukkan kedegilan Bani Israil kami saksikan di Semenanjung Sinai.




Kami turut mengunjungi Taba dan Teluk Aqabah yang menjadi sempadan Palestin, Jordan dan Arab Saudi. Pintu sempadan dikawal ketat oleh pihak berkuasa Mesir. Kelihatan di sebelah sana, tentera Yahudi mundar mandir mengawal pintu di sebelah Palestin. Di atas bukit bersebelahan terdapat dua pos kawalan. Satu mengibarakan bendera Mesir dan satu lagi mengibarkan bendera bintang bucu 6 Zionis Israel.

Ketika itu jiwa saya rasa terbakar. Di hadapan mata saya terbentang bumi suci Palestin dan bumi para anbiya' dijajah oleh rejim Zionis. Dan penjajahnya sedang berada di hadapan mata saya. Tapi apa yang saya mamtu lakukan...

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kem tentera Israel yang sudahpun ditawan oleh tentera Mesir dalam perang tahun 1973. Kem Bar Lev (Hebrew: קו בר לב‎, Kav Bar Lev; Arabic: خط برليف‎, Khaṭṭ Barlīf) dibina berhampiran Terusan Suez oleh tentera Israel untuk menghalang serangan tentera Mesir. Namun dalam Perang 10 Muharram (Amaliyat Badar / Perang 6 Oktober 1973) Mesir berjaya menguasai Sinai dan menghalau tentera Yahudi dari Bar Levf. Kini ia menjadi sebahagian tempat lawatan.

Apabila masuk ke kem berkenaan, ternyata apa yang disebut oleh Allah mengenai sifat pengecut dan takut mati kaum Yahudi tu adalah benar. Mereka membina kubu yang sangat kukuh. Bilik mesyuarat terletak di bawah tanah. Bilik ketua mereka juga di bawah tanah. Di atasnya disusun batu-batu yang sangat berat bagi menghalang serangan umat Islam.

Di dalam bilik persembunyian ketua mereka, saya lihat ada satu kertas tertampal pada dinding. Ada tulisan seakan-akan sebuah bait syair atau lirik lagu dalam bahasa Ibrani. Di bawahnya ada terjemahan bahasa Arab.

'Hatikfa' atau lagu Amal (نشيد الأمل) adalah lagu rasmi Zionis hingga tahun 1948. Ia disusun dengan ayat-ayat yang menggambarkan ketamakan dan kerakusan mereka untuk menguasai dunia. Antara lain, ia menyebut:


"Telah lama bersarang di dalam hati
semangat Yahudi membara

untuk menguasai rumah-rumah Timur

bersama kemunculan mata-mata Zionis."

"Telah lama kita kehilangan cita-cita
cita-cita lama
untuk kembali ke tanah air bapa-bapa kita
dan untuk kembali menguasai semua kota
yang pernah diduduki oleh Daud...
"

Saya juga melihat bagaimana senjata-senjata berat yang ditinggalkan oleh mereka masih dalam keadaan baik dan dijadikan bahan tontonan pengunjung. Hampir kesemuanya adalah buatan Amerika Syarikat. Ertinya usaha Amerika bersekutu dan membantu Israel memerangi umat Islam bukan baru. Mereka memberi sokongan moral dan bantuan ketenteraan secara langsung.

Sebab itu Israel berani bertindak semahu-mahunya membunuh umat Islam di Palestin. Mereka tangkap ribuan pemuda Islam. Sebahagian mereka bunuh dan sebahagian lagi mereka siksa dan kurung. Ada juga yang dibunuh dan diambil organ dalamannya untuk dikomersialkan.


Bayangkan batu sebanyak itu disusun di atas kubu mereka bagi mengelak serangan tentera Mesir.

Khamis, Ogos 20, 2009

KISAH MAMAK MASUK ISLAM ZAMAN NABI


Kebanyakan kaum Mamak yang tinggal di Malaysia berasal dari beberapa daerah di India. Ada yang datang dari Tamil Nadu, Kerala, Malebar dan lain-lain. Tidak ramai yang tahu sejarah mereka menerima Islam. Yang pasti, mereka menerima Islam lebih dahulu daripada orang Melayu.


Kaum Malebar umpamanya, telah memeluk Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Satu catatan ditemui dalam sebuah manuskrip Hindu Kuno yang tersimpan di India Office Library, London bernombor siri 2807/152-173 menjelaskan perkara tersebut. Perkara ini didedahkan oleh ulama' dan saintis Islam terkemuka, Dr Zaghlul Najjar dalam bukunya, Khawatir Fi Ma`iyyat Khatam al-Anbiya Wa al-Mursalin yang saya petik dari blog sahabat saya, Ustaz Hairul Nizam.


Manuskrip itu menceritakan kisah seorang raja negeri Malebar, di Barat Daya India bernama Chakrawati yang melihat bulan terbelah. Peristiwa berkenaan amat mengejutkan baginda. Kebetulan waktu beliau menyaksikan peristiwa itu adalah sama waktu dengan peristiwa mukjizat Rasulullah SAW membelah bulan ketika baginda berada di Makkah. Raja Chakrawati dapat melihatnya di India.


Ia terus menjadi persoalan dalam pemikiran raja ini. Hinggalah tiba sekumpulan pedagang Islam yang singgah di Malebar dalam perjalanan mereka ke Negeri China. Pedagang-pedagang ini menceritakan perihal Rasulullah SAW dan mukjizat baginda.





Mendengar khabar berkenaan, baginda Chakrawati sangat girang dan percaya apa yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang berkenaan adalah kisah benar. Baginda terus bertekad untuk bertemu sendiri Rasul Akhir Zaman ini. Urusan pemerintahan diserahkan kepada anakandanya. Baginda segera berangkat ke Semenanjung Tanah Arab.


Dengan izin Allah, Chakrawati dapat bertemu Rasulullah SAW dan baginda terus mengisytiharkan dirinya memeluk Islam. Beliau tinggal beberapa ketika bersama Rasulullah SAW untuk belajar seluk beluk agama Islam dengan niat menyebarkan Islam setelah pulang ke negerinya kelak.


Namun kehendak Allah mengatasi segala-galanya. Dalam perjalanan pulang, baginda menemui ajal di Zafar, Yaman. Walaupun tidak sempat pulang menemui rakyatnya, cerita tentang kisah menarik ini sampai ke pengetahuan rakyat Malebari yang akhirnya mendorong mereka menerima Islam beramai-ramai.


Rabu, Ogos 19, 2009

KULIAH MAGHRIB DITANGGUH, DAKWAH DITERUS

Hari ini adalah hari terakhir saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Tengku Sulaiman Ketari sebelum ketibaan bulan Ramadhan. Masjid Bkt Piatu, Isnin lepas dah buat penangguhan. Masjid Karak Setia semalam. Sememangnya apabila tiba bulan Ramadhan, kuliah Maghrib ditangguh untuk memberi laluan kepada aktiviti khusus bulan Ramadhan.

Sama ada esok atau lusa, Ramadhan akan menjelma. Semua umat Islam akan menunaikan ibadat puasa. Setelah letih seharian berpuasa, mereka akan berbuka. Selepas berbuka, solat Maghrib (walaupun ada juga yang terlentang depan tv). Lepas Maghrib baru pergi ke masjid.

Ke masjid tu, tujuannya untuk solat Tarawih. Kadang-kadang lupa kewajipan solat Fardhu Isyak. Habis Tarawih, mereka akan rasa puas dengan ibadat hari itu. Lalu diniatkan pula untuk berpuasa lagi 'esok hari'.

Itulah rutin kebanyakan kita. Semoga Allah menerima amalan kita.... Cuma masih terdapat segelintir yang melaksanakan itu semua hanya kerana mengikut tradisi, bukan kerana ibadat. Sekadar adat. Justeru, bila hendak diselitkan sedikit tazkirah, mulalah ada yang merasa seolah-olah 'terganggu ibadat' mereka.

Bagi mereka, Tarawih adalah segala-galanya. Jangan diganggu ibadah itu. Dirasakan seoalh-olah puasa tidak diterima Allah, jika Tarawih bercampur dengan aktiviti lain.

Suatu yang perlu disedari, solat Tarawih hukumnya sunat. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Wajibnya pula adalah pada tahap fardhu ain. Berapa ramai manusia yang melakukan ibadat solat ini tanpa bekalan ilmu yang sebenar. Natijahnya, ibadat mereka kosong dari redha Ilahi.

Justeru, biarpun kuliah Maghrib dihentikan buat sementara waktu, teruskanlah menuntut dan menyebar ilmu-ilmu Islam ini.

Kebelakangan ini satu perkembangan menarik yang berlaku terutama di bandar dan kota, apabila masjid dan pejabat-pejabat kerajaan sudah mula membuat pengisian tazkirah Zohor bagi memenuhi tuntutan ini. Begitu juga dengan kuliah Subuh. Ia dipergiatkan lagi dengan kehadiran Ramadhan ini.

Insya Allah Ramadhan kali ini, andai diberi ruang dan kesempatan oleh Allah, aktiviti saya juga akan diteruskan seperti biasa. Kuliah Maghrib off, tapi tazkirah Ramadhan dan kuliah subuh akan berjalan seperti biasa.

Malam 1 Ramadhan (Jumaat Malam Sabtu) ini, insya Allah pembuka tirai tazkirah Ramadhan di Surau Al Amin, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur. Saya belum tahu bagaimana coraknya. Tapi pada tahun-tahun lepas, tazkirah diadakan selepas jemaah selesai solat Tarawih.

Orang Bentong, insya Allah kita jumpa di Masjid Daerah (Masjid Bandar) dan Masjid Ketari selepas Zohor. Insya Allah kita berkongsi ilmu yang bakal disampaikan oleh Tuan Qadhi daerah, Dato' DO, Tuan YDP Majlis Perbandaran, Pengarah Kesihatan dan saya sendiri serta beberapa orang rakan yang lain.

Orang Shah Alam, insya Allah kita bertemu sebelum berbuka puasa pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos di Masjid Negeri. Orang Selayang, temu janji kita selepas Tarawih 30 Ogos. Orang USJ, insya Allah kuliah kita teruskan selepas solat Isyak 5 September di Surau Al Muttaqun USJ12.

Sahabat-sahabat di Subang Jaya, saya sudah lama tidak bertemu kalian dek kerana saya keuzuran, 2 kali tak datang kuliah. Ramadhan ini insya Allah kita bertemu di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya selepas solat Subuh 19 September akan datang.

Ramadhan.... Kami tunggu kehadiranmu...

Isnin, Ogos 17, 2009

ANTARA KHILAF DAN IKHTILAF


Umat Islam sekarang sedang berada dalam zaman fitnah. Berbagai kumpulan baru muncul membawa ideologi masing-masing. Hanya dengan sebab sedikit perbezaan dalam masalah furu', ada pihak yang sanggup membuka pintu perpecahan di kalangan umat Islam.

Perbezaan pendapat yang kecil, kadang-kadang menyebabkan berlaku pergaduhan dan pertempuran yang besar hingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Di Palestin contohnya, ketika dunia Islam berdukacita di atas pertembungan yang sering berlaku di antara kumpulan pejuang Islam Hamas dan golongan sosialis Fatah, tiba-tiba muncul kumpulan Abdul Latif yang lengkap bersenjata mengisytiharkan sebuah negara Islam.

Puncanya hanya kerana tidak puas hati Hamas masih membuka ruang perbincangan dengan Rejim Israel. Hasilnya berlakulah pertempuran sesama kaum muslimin yang menyebabkan 22 kematian pada Jumaat, 7 Ogos lalu.

Jika masing-masing faham soal ikhtilaf dalam Islam, faham mana perkara yang perlu kita bertegas dan mana perkara yang ada ruang toleransi, maka insya Allah perkara ini boleh dielakkan.

Imam As Syafie Rahimahullah, bercanggah pendapat dengan Imam Abu Hanifah dalam banyak perkara khususnya dalam masalah fiqh. Namun perselisihan ini terbina atas dasar ilmiah Ia tidak sampai menyebabkan berlakunya permusuhan di antara ke dua-dua orang tokoh ini.

Justeru, ketika berkunjung ke Iraq yang rata-rata penduduknya bermazhab Hanafi, Imam As Syafie menunaikan solat mengikut cara yang diajar oleh Abu Hanifah. Apabila ditanya, beliau menjawab, "Aku buat begini sebagai satu penghormati kepada penghuni kubur ini (Abu Hanifah)."

Ada juga masalah ikhtilaf fiqh ini yang memberikan kebaikan kepada ummah. Contohnya dalam bab melontar Jamrah Aqabah. Ada yang mengatakan boleh melontar selepas tergelincir matahari hari ke 10. Ada yang kata selepas subuh dan ada juga yang mengatakan kalau melontar pada sebelah malamnyapun tidak mengapa. Hikmahnya berlaku khilaf di sini ialah, cuba bayangkan apa akan jadi jika semua mazhab mengatakan hanya boleh melontar selepas tergelincir matahari. Apa akan terhadi? Sudah pasti berlaku pertembungan, tolok menolak dan sebagainya yang akan menyebabkan berlakunya kematian di kalangan umat Islam.

Justeru, bukan semua ikhtilaf itu buruk, jika ia digarap dengan betul.










Ahad, Ogos 16, 2009

ETIKA DAN ADAB BLOGGER

1. Memberi dan menyampaikan maklumat adalah kerja terpuji bagi membina dan membentuk minda para pembaca. Tetapi ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab dan etika. Bertanggungjawab dengan tulisan dan amanah dalam meriwayat.

Pertama: Ikhlas, jujur dan suci niat dalam apa jua bentuk tulisan justeru ia diperhati dan dinilai oleh Allah swt sekalipun serapat mana bilik komputer kita dikunci.


Kedua
: Tulis dan riwayat perkara yang benar. Jangan berbohong atau berdusta. Menyembunyikan fakta sebenar dan menukilkan andaian yang penuh hasad dan dusta. Kerana dosa dan neraka juga boleh menerima seorang penulis blog sebagaimana pahala dan syurga juga boleh menerima mereka. Bergantung bagaimana mereka ber"blog".


Ketiga
: Berbahasa dan berbudi dalam tulisan tentunya menjadikan hasil karya kita lebih bermutu dan meyakinkan. Kebenaran akan ternoda dengan kalimah dan tulisan yang kesat atau celupar dan berbau fitnah.


Keempat
: Tulisan yang bertanggungjawab ialah yang diketahui siapa penulisnya. Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredebiliti untuk dipercayai dan diyakini.


Kelima
: Penulisan menggambarkan karektor penulis. Penampilan gaya dan cara penulisan yang tenang, ceria, jelas dan benar akan membawa pembaca merujuk kepada kehebatan peribadi penulis. Lantaran itu, menulislah dengan jiwa yang tenang dan nurani yang suci nescaya tulisan itu akan meresap dengan tenang ke segenap jiwa pembaca dan membawa ketenangan kepada semua.


2. Ramai penulis mutaakhir ini selain terjebak sebagai penulis upahan untuk menjuarai kepentingan tertentu, terdapat juga penulis picisan yang tidak punya matlamat dalam menulis kecuali menabur fitnah dan menyalakan api permusuhan. Mereka langsung tidak memiliki etika penulisan bahkan tiada juga adab dalam menulis.


3. Mereka menulis seolah-olah mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan implikasi atau risiko yang bakal tercetus gara-gara tulisannya.
Mereka hanya mementingkan diri sendiri untuk mencapai sebuah kepuasan yang tidak pasti benar atau salah. Penting bagi mereka ialah puas. Mereka tidak peduli kadang-kadang sahabat handai dan rakan taulan sendiri remuk rendam perasaan angkara tulisannya.


4. Hati-hatilah sahabat sekelian, dalam kita menulis di sana
terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum kita publish sesuatu tulisan itu. Asasnya ialah bertanggungjawab terhadap tulisan tersebut dan ianya bertunjangkan kebenaran fakta dan nas.


5.
Berjiwa besarlah justeru tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa, jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan. Maka tulislah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik.


Pun begitu, sabarlah!
Terkadang tulisan yang baik dan benar ini akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi blogger seperti mereka yang penuh dengan hasad, fitnah, kata-kata kesat dan celupar serta sumpah seranah.


Petikan tulisan Ustaz Nasaruddin Tantawi

Selasa, Ogos 11, 2009

YANG ALLAH SURUH BUAT DAN YANG MANUSIA BARU TERFIKIR NAK BUAT

Bila timbul isu H1N1, ahli perubatan meminta kita menjaga kebersihan. Tangan kena selalu dibasuh. Kalau kita ikut amalan Islam, kan kita dah bersih. Bukan sekadar berseh, tapi suci. Caranya? dengan berwudhuk. Bukan sekadar basuh tangan, bahkan berkumur, basuh hidung, muka, kepala, telinga, kaki....
Bila timbul isu H1N1, ramai yang suka pakai mask (topeng keselamatan) bagi menapis udara yang bakal disedut ke dalam paru-paru. Dibimbangi, udara berkenaan mengandungi kuman dan virus yang boleh mendatangkan penyakit. Maka udara itu perlu ditapis....
Ikut Islam, lebih cantik dan lebih selamat pakai purdah. Khususnya bagi orang perempuan. Aurat tertutup dengan sempurna, maruah terpelihara, keselamatan terjamin, penyakit dijauhi....
Bila timbul isu H1N1, dah mula ada yang pergi jumpa bomoh. Jampi sana jampi sini. Maka dibuatlah upacara menjampi dan memuja minta dijauhkan penyakit dan wabak.
Bukankah di dalam Islam, Nabi SAW mengajar supaya selalu berdoa. Nak makan baca doa, nak tidur baca doa, nak jalan baca doa, naik kenderaan baca doa, nak ke tandas pun ada doanya.... Subhanallah... Alangkah cantiknya Islam.


Beberapa amalan untuk elak H1N1:
1. Sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk. Kalau batal, segera ambil wudhuk semula.

2. Banyakkan berdoa sebelum melakukan apa-apa sahaja pekerjaan:
باسم الله الذى لا يضر مع اسمه شيء فى الأرض ولا فى السماء وهو السميع العليم
3. Sebelum tidur, tadah tangan, tiup tapak tangan dan baca:
سورة الإخلاص - سورة الفلق - سورة الناس
Sapu ke seluruh tubuh. Ulang perbuatan di atas 3 kali.



* Minta maaf kepada tuan punya gambar di atas. Semuanya hanya gambar hiasan yang saya kutip dari internet. Mohon dihalalkan. Sekadar untuk lebih penghayatan mesejnya.

H1N1: ANTARA YANG TUTUP DAN YANG PATUT TUTUP



Rakyat Malaysia dan penduduk dunia kini sedang trauma dek kejutan serangan H1N1. Biarpun diperingkat awal, ada pihak yang berkata, "Kita memberi jaminan, Malaysia akan terselamat daripada wabak HiNi," namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Hingga semalam (10 Ogos) Kementerian Kesihatan telah mengesan 1983 di Malaysia dengan 32 kematian. Sudah banyak sekolah yang 'tutup', Universiti juga 'tutup'. Banyak acara yang menghimpunkan orang ramai dibatalkan.

Majlis Khatam Al Quran Sekolah-sekolah j-QAF di Pahang ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti. Sekolah tadika dan pra sekolah juga banyak yang menangguhkan pengajiannya.

Minggu lepas, adik saya menghubungi dari Kuantan bahawa dia terpaksa pulang ke kampung kerana UMP 'tutup'. Seminggu dia cuti.

Semalam pula, Ustaz Khairul Azmi, Mudir Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan menghubungi saya dan meminta saya pergi ke sekolahnya untuk menjemput pulang anak sulung saya. Katanya, "Sekolah terpaksa di'tutup' sebab dah ramai yang demam."

Tanpa mengesyaki sesuatu, saya terus memecut 130km ke Kuantan untuk mengambil anak saya. Sampai di sana saya lihat hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi pelajar yang belum pulang. Tiba-tiba anak saya keluar dari asrama dengan membimbit beg dengan muka yang sembab, mata bengkak dan wajah yang suram.

"Baru bangun tidur ke?" Ujar saya. "Demam," jawabnya ringkas. Rupa-rupanya anak saya adalah pelajar ke 18 yang demam di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Dalam perjalanan pulang, saya terfikir betapa hebatnya kuasa Allah. Segagah-gagah manusia mereka perlu akur kuasa Allah. Sebesar-besar 'U' mereka terpaksa tutup, bila datang ketentuan Allah.

Saya teringat kembali, pada sebelah paginya, saya berucap di perhimpunan pagi, menggalakkan murid-murid supaya memakai topeng keselamatan. Dengan kata lain, saya pun menyuruh murid menutup mulut dan hidung. Bukan sekadar sekolah dan universiti yang tutup, mulutpun kena tutup juga.

Tapi yang manusia terlupa, kenapa tidak tutup pusat maksiat dan mungkar. Kenapa tidak tutup kedai judi dan nombor ekor. Kenapa tidak tutup kepala. Kenapa tidak tutup aurat.

Kenapa tidak tutup keaiban orang lain. Kenapa tidak tutup mulut dar ghibah. Kenapa tidak tutup pusat judi dan kasino yang terletak hanya sekitar 40km dari rumah saya. Beberapa hari lagi akan diadakan sambutan Hari Kebangsaan. Belum pasti bagaimanakah corak sambutan tahun ini. Adakah terus kekal dengan konsert dan pergaulan bebas seperti tahun-tahun sudah....

Sewajarnya difikirkan bersama.


Sabtu, Ogos 08, 2009

PENJELASAN QARDHAWI TENTANG NISFU SYA'BAN


Bulan Sya’ban adalah salah satu bulan utama dalam Islam. Rasulullah SAW memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain. Diriwayatkan bahawa selain Ramadhan, baginda SAW tidak pernah berpuasa penuh dalam bulan lain selain daripada bulan Sya’ban.


Bulan Sya’ban juga dikatakan bulan yang mencatat sejarah pengalihan arah qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Baitullah di Makkah.


Cuma persoalan yang sering diajukan oleh banyak pihak ialah berkenaan amalan membaca Yasin 3 kali pada malam Nisfu Sya’ban dan mengkhususkan doa panjang umur, murah rezeki dan mati dalam iman.


30 Julai lalu, Dr Yusuf Al Qardhawi ditanya mengenai hukum beramal dengan doa Nisfu Sya’ban serta sejauh mana kesahihan riwayat mengenai kelebihan Nisfu Sya’ban.


Dalam laman webnya, Qardhawi menjawab:


“Saya teringat sewaktu kecil, saya sering mengikuti (taqlid) orang ramai pada malam Nisfu Sya’ban bersembahyang dua rakaat untuk mohon panjang umur, dua rakaat lagi untuk mendapatkan kekayaan (murah rezeki) dan membaca surah Yasin. Sesudah itu kami solat lagi 2 rakaat dengan hajat yang lain pula...”


“Mengenai malam Nisfu Sya’ban ini, tidak ada satu hadith pun mengenainya yang mencapai taraf sahih. Ada juga beberapa hadith yang ‘dihasankan’ oleh sesetengah ulama’. Namun sebahagian yang lain menafikan kesahihannya... Kalaupun ia bertaraf hasan, maka sewajarnya ia diisi dengan doa dan istighfar kepada Allah.”


Qardhawi mengingatkan Qaedah Fiqh berkenaan ibadat yang menyebut, الأصل في العبادات، الحظر ‘Asal pada ibadat adalah dilarang (selagi mana tidak ada dalil memerintahkan supaya ia dilakukan).’ Justeru manusia tidak ada hak untuk menentukan bagaimana cara seharusnya mereka beribadat kepada Allah. Yang menentukan cara beribadat hanyalah Allah. Maka jika tidak ada dalil yang sahih, maka ditolak.


“Adapun bacaan doa yang dikhususkan pada malam tersebut, yang biasa dicetak dan diedarkan kepada orang ramai di pelbagai negara, sebenarnya ia tidak ada sebarang riwayat (daripada Rasulullah SAW). Doa itu tidak ada asalnya, salah dan bercanggah dengan nas serta tidak dapat diterima oleh akal.”


Qardhawi seterusnya menolak doa berkenaan kerana ayatnya bercanggah dengan hakikat sebenar. Disamping itu, olahan ayat-ayat dalam doa berkenaan tidak mengikut adab berdoa yang diajar oleh Islam yang memerlukan penjazaman permohonan.


Antara adab berdoa, seseorang itu tidak boleh sandarkan doa itu kepada masyi’ah (المشيئة) dan syartiyyah (الشرطية) dengan maksud, “Jika Engkau,” “Kalau Engkau...” Jika terdapat lafaz seumpama ini, maka jelas ia doa yang bercanggah dengan adab-adab doa dalam Islam.


Qardhawi turut memetik hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu berdoa, mohonlah dengan bersungguh-sungguh (jazam). Janganlah seseorang kamu berkata, “Wahai Tuhan, ampunkanlah aku jika Engkau mahu...”


Pada akhir jawapannya, Qardhawi menyeru umat Islam supaya melazimkan diri dengan doa yang warid daripada Rasulullah SAW serta doa-doa ma’thur kerana doa yang direka-reka oleh manusia biasa, sering berlaku kesilapan dan kekurangan, bahkan ada yang menyeleweng terus dari Islam.


Ia juga bukanlah lebih afdhal daripada doa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sedangkan beramal dengan doa yang warid itu bakal mendatangkan pahala dari dua arah; pahala mengikuti sunnah dan pahala zikir/doa.


Untuk keterangan lanjut boleh kunjungi web Dr Yusuf Al Qardhawi dengan mengklik di sini....




Khamis, Ogos 06, 2009

Al Waqtu Kas Saif...

Hampir sebulan saya tak update blog. Agak sibuk sikit bulan ni. Setengah orang, bila sibuk macam ni dia kata, "Tak ada masa..."

Sebenarnya bukan tak ada masa. Allah bagi masa kepada semua manusia dengan kuantiti yang tepat dengan keperluan manusia itu. Tapi kita sendiri yang tak pandai menguruskan masa.

Orang Arab kata, الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك 'Masa seumpama pedang, jika engkau tidak potongnya, ia akan memotongmu.'

Dalam tempuh ini juga beberapa perkara telah berlaku. Saya dihubungi oleh beberapa orang sahabat lama yang sudah terputus hubungan sejak sekian lama. Saifudin Ngah, Rosmawati Abd Rahman, Jamaluddin Hj Muhammad dan lain-lain.

Kini saya dapat rasakan betapa cepatnya masa berlalu. Rupa-rupanya sudah 19-20 tahun saya tidak bertemu dengan mereka. Betapa ruginya saya tanpa menghasilkan sesuatu yang hebat. Rasa masih baru lagi meninggalkan alam kanak-kanak. Sedar tak sedar, anak saya sendiri sudah hampir meninggalkan alam kanak-kanaknya pula. Itulah kehidupan.

Akan tiba suatu hari nanti, saya akan pergi meninggalkan alam ini, seperti mereka yang telah lama pergi. Sudah ramai rakan-rakan seusia saya pergi ke alam barzakh, walaupun dalam usia yang masih muda. Ada yang meninggal kerana sakit kronik, ada yang kemalangan jalan raya, ada yang terkena 'peluru sesat' dan berbagai-bagi ragam lagi.

Mati ada berbagai-bagai cara, tapi hakikat yang pasti hanya SATU.
Iaitu semua manusia akan MATI.

Nak mati, kita akan mati.

Tak nak mati, pun kita akan pergi....