Selasa, Ogos 11, 2009

H1N1: ANTARA YANG TUTUP DAN YANG PATUT TUTUP



Rakyat Malaysia dan penduduk dunia kini sedang trauma dek kejutan serangan H1N1. Biarpun diperingkat awal, ada pihak yang berkata, "Kita memberi jaminan, Malaysia akan terselamat daripada wabak HiNi," namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Hingga semalam (10 Ogos) Kementerian Kesihatan telah mengesan 1983 di Malaysia dengan 32 kematian. Sudah banyak sekolah yang 'tutup', Universiti juga 'tutup'. Banyak acara yang menghimpunkan orang ramai dibatalkan.

Majlis Khatam Al Quran Sekolah-sekolah j-QAF di Pahang ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti. Sekolah tadika dan pra sekolah juga banyak yang menangguhkan pengajiannya.

Minggu lepas, adik saya menghubungi dari Kuantan bahawa dia terpaksa pulang ke kampung kerana UMP 'tutup'. Seminggu dia cuti.

Semalam pula, Ustaz Khairul Azmi, Mudir Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan menghubungi saya dan meminta saya pergi ke sekolahnya untuk menjemput pulang anak sulung saya. Katanya, "Sekolah terpaksa di'tutup' sebab dah ramai yang demam."

Tanpa mengesyaki sesuatu, saya terus memecut 130km ke Kuantan untuk mengambil anak saya. Sampai di sana saya lihat hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi pelajar yang belum pulang. Tiba-tiba anak saya keluar dari asrama dengan membimbit beg dengan muka yang sembab, mata bengkak dan wajah yang suram.

"Baru bangun tidur ke?" Ujar saya. "Demam," jawabnya ringkas. Rupa-rupanya anak saya adalah pelajar ke 18 yang demam di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Dalam perjalanan pulang, saya terfikir betapa hebatnya kuasa Allah. Segagah-gagah manusia mereka perlu akur kuasa Allah. Sebesar-besar 'U' mereka terpaksa tutup, bila datang ketentuan Allah.

Saya teringat kembali, pada sebelah paginya, saya berucap di perhimpunan pagi, menggalakkan murid-murid supaya memakai topeng keselamatan. Dengan kata lain, saya pun menyuruh murid menutup mulut dan hidung. Bukan sekadar sekolah dan universiti yang tutup, mulutpun kena tutup juga.

Tapi yang manusia terlupa, kenapa tidak tutup pusat maksiat dan mungkar. Kenapa tidak tutup kedai judi dan nombor ekor. Kenapa tidak tutup kepala. Kenapa tidak tutup aurat.

Kenapa tidak tutup keaiban orang lain. Kenapa tidak tutup mulut dar ghibah. Kenapa tidak tutup pusat judi dan kasino yang terletak hanya sekitar 40km dari rumah saya. Beberapa hari lagi akan diadakan sambutan Hari Kebangsaan. Belum pasti bagaimanakah corak sambutan tahun ini. Adakah terus kekal dengan konsert dan pergaulan bebas seperti tahun-tahun sudah....

Sewajarnya difikirkan bersama.


1 ulasan:

Unknown berkata...

betul tu.tepat sekali kata-kata saudara...org perempuan sibuk2 nak tutup mulut dan hidung,tapi takde pulak nak tutup badan yg terdedah!