Dalam kes Hudud, kesalahan yang dihukum sebat ialah sabitan terhadap kes zina muhsan (100 kali) dan minum arak (40-80 kali). Hukuman ini sering digambarkan sebagai hukuman yang kejam dan primitif.
Selain daripada lemparan tuduhan orientalis, ia juga diburukkan oleh pandangan orang Islam yang jahil, termasuk penerbit filem yang memberikan gambaran salah tentang hukuman ini, seperti fileh Sumpah Semerah Padi dan lain-lain.
Mengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.
Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.
Sebatan juga, tidak boleh sampai mencederakan, dan hendaklah diagih-agihkan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.
Ia bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.
Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.
Dalam kes Kartika, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987, keberanian hakim untuk menjatuhkan hukuman yang paling hampir kepada Islam adalah usaha terpuji. Tetapi sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.
Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.
Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 dan 80 rotan, bukan 6 sebatan seperti yang diputuskan itu.
Haramnya arak ini, adalah tidak mengira tempat samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri. Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.
Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik dengan ilmu Islam supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Masyarakat bukan Islam juga perlu diperjelaskan tentang keburukan arak dan kebaikan hukum hakam Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan