“Tangguh Hukuman: Penjara Tiada Tukang Sebat”
“Tangguh Hukum Kartika Hingga Ada Tukang Sebat Syariah”
Demikian tajuk berita kebanyakan media cetak Rabu lalu dalam mengulas penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika. Utusan hari ini pula menyiarkan berita seperti iklan jawatan kosong:
“Kes Kartika: Tukang sebat syariah dicari”
Setiap kali timbul isu pelaksanaan Undang-Undang Islam, pihak berkenaan akan berdalih mengatakan kita tiada tenaga pakar dalam bidang syariah untuk melaksanakannya. Hakikatnya kita bukan kekurangan tenaga, tetapi kita tidak memanfaatkan tenaga yang ada.
Para ulama’ ramai. Graduan lulusan bidang syariah dari universiti dalam dan luar negara juga ramai. Mencapai angka puluhan ribu. Tetapi ilmu yang mereka pelajari tidak dimanfaatkan untuk pelaksanaan Undang-undang Islam.
Dalam kes sebat, undang-undang telah memperincikan kaedah dan cara sebatannya. Tidak perlu pakar. Ia sudah termaktub di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 mengenai cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut:
i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.
iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
viii. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.
ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.
x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.
Apa yang jelas, isu Kartika memperlihatkan betapa tidak seriusnya pihak berkenaan dalam mendaulatkan Undang-undang Islam.
Beberapa tahun lalu, ketika kumpulan pro IFC dan Artikel 11 mendesak supaya kerajaan meminda perkara berkaitan undang-undang Syariah di Malaysia, semua pihak melenting dan marah. Umat Islam menentang keceluparan kumpulan itu. Pemimpin kerajaan juga ramai yang menyuarakan kekesalan dan bertekad untuk mempertahankan kedaulatan Islam.
Namun dalam masa yang sama, enakmen berkaitan Islam terpinggir dan tidak dipedulikan. Peraturan dan undang-undang digubal dan diwartakan. Tetapi tidak ada sebarang persediaan untuk dilaksanakan. Hinggakan tukang sebatpun tak ada! Sedangkan undang-undang dan peraturannya sudah wujud sejak 7 tahun lalu (2002).
Lihat sahaja undang-undang berkaitan jalan raya. Sebaik sahaja dikuatkuasakan peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kerusi belakang, JPJ terus mengadakan ‘road block’ di seluruh negara. Puluhan ribu RM diperoleh pihak kerajaan hasil saman yang dikeluarkan. Siang dan malam TV dan radio siarkan iklan dan kempen pemakaian tali keledar belakang.
Dahulu, ketika peraturan memasang lampu motosikal di siang hari dikuatkuasakan, road block yang sama dan saman yang sama dikeluarkan. Berapa ramai pakcik di kampung-kampung yang disaman hanya kerana tidak menyalakan lampu di siang hari.
Begitulah seriusnya mereka melaksanakan undang-undang. Tetapi apabila tiba giliran peraturan dan undang-undang Islam, masyarakat awam langsung tidak tahu kewujudan undang-undang itu. Pelaksana undang-undang juga tidak tahu bagaimana hendak kuat-kuasakan.
Alangkah malangnya undang-undang Islam. Hanya tinggal di dalam Kitab. Buat tatapan pelajar pondok dan siswa universiti.
(* Gambar hiasan seorang wanita belum berkahwin dijatuhi hukum sebat 100 rotan di Aceh kerana sabit kesalahan zina)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan