Bulan Sya’ban adalah salah satu bulan utama dalam Islam. Rasulullah SAW memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain. Diriwayatkan bahawa selain Ramadhan, baginda SAW tidak pernah berpuasa penuh dalam bulan lain selain daripada bulan Sya’ban.
Bulan Sya’ban juga dikatakan bulan yang mencatat sejarah pengalihan arah qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Baitullah di Makkah.
Cuma persoalan yang sering diajukan oleh banyak pihak ialah berkenaan amalan membaca Yasin 3 kali pada malam Nisfu Sya’ban dan mengkhususkan doa panjang umur, murah rezeki dan mati dalam iman.
30 Julai lalu, Dr Yusuf Al Qardhawi ditanya mengenai hukum beramal dengan doa Nisfu Sya’ban serta sejauh mana kesahihan riwayat mengenai kelebihan Nisfu Sya’ban.
Dalam laman webnya, Qardhawi menjawab:
“Saya teringat sewaktu kecil, saya sering mengikuti (taqlid) orang ramai pada malam Nisfu Sya’ban bersembahyang dua rakaat untuk mohon panjang umur, dua rakaat lagi untuk mendapatkan kekayaan (murah rezeki) dan membaca surah Yasin. Sesudah itu kami solat lagi 2 rakaat dengan hajat yang lain pula...”
“Mengenai malam Nisfu Sya’ban ini, tidak ada satu hadith pun mengenainya yang mencapai taraf sahih. Ada juga beberapa hadith yang ‘dihasankan’ oleh sesetengah ulama’. Namun sebahagian yang lain menafikan kesahihannya... Kalaupun ia bertaraf hasan, maka sewajarnya ia diisi dengan doa dan istighfar kepada Allah.”
Qardhawi mengingatkan Qaedah Fiqh berkenaan ibadat yang menyebut, الأصل في العبادات، الحظر ‘Asal pada ibadat adalah dilarang (selagi mana tidak ada dalil memerintahkan supaya ia dilakukan).’ Justeru manusia tidak ada hak untuk menentukan bagaimana cara seharusnya mereka beribadat kepada Allah. Yang menentukan cara beribadat hanyalah Allah. Maka jika tidak ada dalil yang sahih, maka ditolak.
“Adapun bacaan doa yang dikhususkan pada malam tersebut, yang biasa dicetak dan diedarkan kepada orang ramai di pelbagai negara, sebenarnya ia tidak ada sebarang riwayat (daripada Rasulullah SAW). Doa itu tidak ada asalnya, salah dan bercanggah dengan nas serta tidak dapat diterima oleh akal.”
Qardhawi seterusnya menolak doa berkenaan kerana ayatnya bercanggah dengan hakikat sebenar. Disamping itu, olahan ayat-ayat dalam doa berkenaan tidak mengikut adab berdoa yang diajar oleh Islam yang memerlukan penjazaman permohonan.
Qardhawi turut memetik hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu berdoa, mohonlah dengan bersungguh-sungguh (jazam). Janganlah seseorang kamu berkata, “Wahai Tuhan, ampunkanlah aku jika Engkau mahu...”
Pada akhir jawapannya, Qardhawi menyeru umat Islam supaya melazimkan diri dengan doa yang warid daripada Rasulullah SAW serta doa-doa ma’thur kerana doa yang direka-reka oleh manusia biasa, sering berlaku kesilapan dan kekurangan, bahkan ada yang menyeleweng terus dari Islam.
Ia juga bukanlah lebih afdhal daripada doa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sedangkan beramal dengan doa yang warid itu bakal mendatangkan pahala dari dua arah; pahala mengikuti sunnah dan pahala zikir/doa.
Untuk keterangan lanjut boleh kunjungi web Dr Yusuf Al Qardhawi dengan mengklik di sini....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan