Tika menelusuri ayat-ayat Allah di pagi Ramadhan ini, hati begitu tersentuh. Al Baqarah bermula dengan perincian pembahagian manusia kepada muttaqin, kafir dan munafiq. Diikuti dengan paparan sejarah awal manusia yang dicipta dari tanah, kepatuhan malaikat dan kekufuran iblis. Seterusnya peringatan dan amaran kepada Bani Israil….
Sesungguhnya membaca dengan bertammul pasti dapat mengetup pintu hati yang keras. Seawal ayat 40, Allah sudah mula menceritakan perihal kerasnya hati kaum Bani Isarel untuk menerima kebenaran. Banyak sekali kisah mereka di dalam Al Baqarah yang diselang-selikan dengan perkara-perkara lain. Hingga ke penghujungnya masih terdapat paparan kedegilan Bani Israil.
Masuk surah Ali Imran, ada juga kisah mereka. An Nisa' juga sama. Begitu jugalah dengan surah-surah yang lain. Hinggakan ada satu surah yang dinamakan surah Bani Israil atau surah Al Isra'.
Al Baqarah memaparkan bagaimana sikap 'banyak soal' mereka akhirnya menyusahkan mereka sendiri. Bagi menyelesaikan satu kes pembunuhan, Nabi Musa AS mengarahkan mereka menyembelih lembu. Mereka bertanya, "Lembu macam mana? Warna apa? Apa sifat-sifatnya...?"
Pertanyaan-pertanyaan itu bukan untuk mengetahui sifat sebenar lembu yang diperintahkan supaya disembelih, tetapi ia lahir dari sikap buruk mereka yang sengaja mahu menangguhkan pelaksanaan perintah rasul. Lantas pertanyaan itu menyusahkan mereka untuk mencari lembu yang disifatkan. Hampir-hampir mereka tidak menemuinya. Sedangkan andai mereka sembelih tanpa banyak soal, mereka boleh sembelih mana-mana lembu atas dunia ini.
Mereka juga menyusahkan nabi mereka dengan bermacam-macam hal termasuk meminta hidangan dari langit, meminta untuk melihat Allah dan meminta air di tempat yang mustahil ada air. Berhadapan dengan kaum yang degil ini, Allah membekalkan kepada nabi-nabi Bani Israil ini dengan mukjizat hissiah yang banyak.
Nabi Musa AS dianugerahkan tongkat yang banyak membantu. Apabila baginda melemparnya di hadapan Firaun, ia bertukar menjadi ular besar. Ketika memukul laut, ia terbelah dua memberikan laluan kepada baginda dan Bani Israil untuk menyelamatkan diri. Apabila dipukul pada sebongkah batu besar, terpancar 12 mata air yang setiap satu cukap untuk keperluan setiap qabilah Bani Israil.
Mengenangkan betapa banyaknya peninggalan kisah Musa dan Bani Israil ini, maka pada 3-5 Mac 2003, saya bersama beberapa orang sahabat dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir meneroka perjalanan ke Semenanjung Sinai hingga ke sempadan Palestin.
Sampai di sana, kami dapat saksikan sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah Nabi Musa yang masih elok dan jelas walaupun tanpa pemerhatian dan baik pulih pihak berkuasa. Kami mendaki gunung Jabal Musa yang terletak dipuncak Tur Sina, tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan menerima wahyu yang berupa kitab Taurat. Kami saksikan Wadi Arba'in dan bongkah batu yang dipukul oleh Nabi Musa hingga menerbitkan 12 mata air. Kami lihat kesan peninggalan peristiwa penyembahan Bani Isarail kepada patung lembu... dan banyak lagi perkara yang menunjukkan kedegilan Bani Israil kami saksikan di Semenanjung Sinai.
Ketika itu jiwa saya rasa terbakar. Di hadapan mata saya terbentang bumi suci Palestin dan bumi para anbiya' dijajah oleh rejim Zionis. Dan penjajahnya sedang berada di hadapan mata saya. Tapi apa yang saya mamtu lakukan...
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kem tentera Israel yang sudahpun ditawan oleh tentera Mesir dalam perang tahun 1973. Kem Bar Lev (Hebrew: קו בר לב, Kav Bar Lev; Arabic: خط برليف, Khaṭṭ Barlīf) dibina berhampiran Terusan Suez oleh tentera Israel untuk menghalang serangan tentera Mesir. Namun dalam Perang 10 Muharram (Amaliyat Badar / Perang 6 Oktober 1973) Mesir berjaya menguasai Sinai dan menghalau tentera Yahudi dari Bar Levf. Kini ia menjadi sebahagian tempat lawatan.
Apabila masuk ke kem berkenaan, ternyata apa yang disebut oleh Allah mengenai sifat pengecut dan takut mati kaum Yahudi tu adalah benar. Mereka membina kubu yang sangat kukuh. Bilik mesyuarat terletak di bawah tanah. Bilik ketua mereka juga di bawah tanah. Di atasnya disusun batu-batu yang sangat berat bagi menghalang serangan umat Islam.
Di dalam bilik persembunyian ketua mereka, saya lihat ada satu kertas tertampal pada dinding. Ada tulisan seakan-akan sebuah bait syair atau lirik lagu dalam bahasa Ibrani. Di bawahnya ada terjemahan bahasa Arab.
'Hatikfa' atau lagu Amal (نشيد الأمل) adalah lagu rasmi Zionis hingga tahun 1948. Ia disusun dengan ayat-ayat yang menggambarkan ketamakan dan kerakusan mereka untuk menguasai dunia. Antara lain, ia menyebut:
semangat Yahudi membara
"Telah lama kita kehilangan cita-cita
cita-cita lama
untuk kembali ke tanah air bapa-bapa kita
dan untuk kembali menguasai semua kota
yang pernah diduduki oleh Daud..."
Saya juga melihat bagaimana senjata-senjata berat yang ditinggalkan oleh mereka masih dalam keadaan baik dan dijadikan bahan tontonan pengunjung. Hampir kesemuanya adalah buatan Amerika Syarikat. Ertinya usaha Amerika bersekutu dan membantu Israel memerangi umat Islam bukan baru. Mereka memberi sokongan moral dan bantuan ketenteraan secara langsung.
Sebab itu Israel berani bertindak semahu-mahunya membunuh umat Islam di Palestin. Mereka tangkap ribuan pemuda Islam. Sebahagian mereka bunuh dan sebahagian lagi mereka siksa dan kurung. Ada juga yang dibunuh dan diambil organ dalamannya untuk dikomersialkan.
Bayangkan batu sebanyak itu disusun di atas kubu mereka bagi mengelak serangan tentera Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan