Selasa, Disember 16, 2008
View Of Cambodia
LINTAS LANGSUNG 8 (Sayonara)
Hari ini kami akan pulang ke Tanah Melayu. Tapi ikut jadual, flight akan terbang jam 5.35 ptg (4.35 ptg waktu Kemboja). Jadi kami masih ada banyak waktu lagi.
Maka pagi ini kami dibawa oleh Ibrahim ke sebuah pasaraya ternama tengah bandar Phnom Penh ini. Besar dan tinggi bangunannya. Tapi tak ada apa pun yang menarik perhatian kami. Selain harga barangan yang mahal, setiap barangan ditandakan harganya dengan nilai USD. Bankrap la tokey. Walaupun diberi masa sejam setengah di situ, namun belum pun sejam, kami semua dah keluar. Satu apapun tak beli.
Sekali lagi kami pergi ke pasar yang kami pergi semalam, Toul Tom Poung. Hajatnya nak beli beg, sebab barang-barang yang kami beli semalam dah tak ada tempat nak sumbat. Sebahagian kami membeli radio amatur. Harganya jauh lebih murah dari di Malaysia.
Hisyam lah yang paling banyak berperanan 'menghasut' ahli-ahli rombongan untuk beli hamba Allah tu. Sayapun beli juga. Walaupun belum reti nak guna, tapi insya Allah akan belajar dan kalau berpeluang, nak juga masuk exam ambil lesen.
Kemudian kami balik ke hotel untuk berkemas. Jam 12.30 tengahari kami check out dan menuju ke warung dekat Restoren Mekong Halal untuk makan tengahari yang terakhir. Berselera saya makan ikan salai di warong yang dikendalikan oleh dua tiga orang wanita bertudung penuh itu.
Kami kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Tanpa sebarang 'delay' tepat jam 5.35 petang, pesawat Air Asia mula meninggalkan kota Phnom Penh. Kami tiba di Terminal LCC, Sepang pada jam 7.30 petang.
Sekian, lintas langsung dari saya di Cambodia (siaran tertunda)....
________________________________________
Berikut gambar dua orang sahabat. Dulu sama2 belajar di Pondok Pasir Tumbuh. Seorang dari Malaysia, seorang dari kemboja. Kini Ustaz Mokhtar Pengetua Pondok An Nur, Penur, Kuantan. Ustaz Zainal Abidin Pengetua Pondok Al Muhajirin islami Kg Saom Ochrov Preynup, Sihanouk Ville, Kemboja.
LINTAS LANGSUNG 7 (Siaran Tertunda)
10 DISEMBER 2009
8.30 pagi (7.30 pagi waktu Kemboja)
Kami keluar mencari sarapan halal. Singgah di Restoren Mekong Halal. Restoren milik orang Islam, tapi pekerjanya rasa-rasanya belum Islam lagi. Setelah tengok katalognya, saya order Luk Lak Fried Rice. Tengok gambar tu, berselera juga. Tapi bila sampai, kurang sikit seleranya. Nasi goreng merah dengan daging kambing bakar. Agak keras dan liat. bantai je la...
Abang saya dan Ustaz Fazli makan di warung berdekatan. Mereka jumpa nasi ayam kampung, harga lebih murah, rasa lebih sedap.
Di restoren ini kami bertemu dua group dari Malaysia. Salah seorang dari mereka ialah exco kerajaan Kedah, Dr Ismail.
Destinasi kami seterusnya ialah memorial Choeung Ek, 17 km dari pusat bandar Phnom Penh. Ia sebuah memorial yang menyimpan bukti-bukti kekejaman tentera Khmer Rouge (Khmer Merah) pimpinan Pol Pot pada tahun 70-an.
Sepanjang berkuasa dari tahun 1975-1979, tentera Pol Pot telah membunuh lebih kurang 1.5 juta rakyat Kemboja, iaitu 1/5 dari keseluruhan rakyat. Dianggarkan 17,000 orang telah dibunuh di Choeung Ek, termasuklah cendikiawan, ahli politik dan ahli agama. Hingga kini 8,895 mayat telah ditemui di sini. Sebuah menara yang menempatkan 5,000 tengkorang mangsa kekejaman Pol Pot berdiri megah di situ.
Lelaki dan perempuan dibunuh beramai-ramai. Kanak-kanak ada yang dipegang kakinya dan dihempuk kepalanya ke pokok sampai mati. Ada juga bayi yang dilambung, kemudian askar yang lain menembaknya di udara. Mereka berpesta membunuh manusia.
Gambar-gambar dan cerita lanjut mengenai kekejaman Pol Pot dan Choeung Ek boleh anda lihat di sini dan sini.
11.15 pagi (10.15 pagi waktu Kemboja)
Kami meneruskan pengembaraan kami menjejaki sejarah Kemboja. Kami tiba di sebuah sekolah yang dijadikan penjara oleh Pol Pot. Toul Sleng kini dijadikan tempat lawatan.
Terdapat bilik-bilik kurungan kecil yang mempunyai katil besi tanpa tilam dan bantal untuk menempatkan sesiapa sahaja yang tidak disukai oleh rejim Khmer Merah. Sesiapa yang dikurung di situ akan dimeteri kakinya dengan besi dan dibiarkan terbaring disitu tanpa makan dan minum sampai mati.
Ada juga tempat menggantung manusia. Digantung kaku ke atas dan kepala dibenamkan di dalam tempayan yang penuhi air. Bagi mereka yang dianggap mempunyai kesalahan kecil, mereka akan dikurung di dalam bilik kurungan lain tetapi tidak boleh bersuara atau bercakap dengan karan sebelah. Jika ada bunyi, mereka semua akan disiksa.
Berbagai-bagai gambaran tempat siksaan dan gambar sebenar yang dipaparkan di situ. Daripada ribuan gambar tahanan yang dipaparkan di situ, hanya seorang dua sahaja yang keluar dalam keadaan hidup. Yang lainnya, sama ada mati dibunuh dalam tahanan, ataupun dibawa ke Choeung Ek untuk ditamatkan riwayat.
Banyak lagi cerita kekecaman Pol Pot yang disaksikan di sini. Namun sebenarnya ada pihak lain yang sama kejam atau lebih kejam dari Pol Pot. Kekejaman Pol Pot diketahui dunia kerana sejarahnya di simpan, dibukukan, dimuziumkan dan dipaparkan kepada pelancong.
Malangnya kekejaman Amerika Syarikat yang membunuh jutaan manusia di Vietnam, di Iraq, Afghanistan dan tempat-tempat lain adalah lebih dahsyat, tapi tidak dipaparkan sebagai kekejaman untuk tatapan umum.
Lebih malang, pihak yang menentang Amerika itu pula yang dituduh dan dilabel sebagai pengganas. Paling malang, media yang melabelkan umat Islam yang menentang Amerika itu sebagai pengganas adalah media milik umat Islam juga. Fikir-fikirkanlah....
1.00 ptg (12.00 tengahari waktu Kemboja)
Kami singgah di pasar Toul Tom Poung. Kami diberi peluang membeli belah kerana esok kami akan pulang ke Malaysia. Setelah lebih sejam bershoping, kami bergerak pulang ke hotel untuk solat, makan dan rehat.
6.30 ptg (5.30 ptg waktu Kemboja)
Kami keluar untuk menziarahi sebuah perkampungan umat Islam iaitu kampung Chemerai.Kami solat Maghrib dan Isyak di sebuah surau berdekatan dengan Masjid Mufti Kemboja.
Selepas solat dan menyampaikan sedikit sumbangan, kami menziarahi Masjid Mufti yang terletak bersebelahan. Rupa-rupanya pada malam berkenaan, satu konsert diadakan di masjid berkenaan. Artisnya ialah kumpulan nasyid dari Malaysia, Devotees.
Saya sempat berbual dengan anggota kumpulan berkenaan, Shauqi. Dia baru saja habis belajar di UKM. Rakan-rakannya yang lain ialah Adi Akmal (UIA), Muhammad (UKM) dan Halim (UIA). Menurut Shauqi, mereka banyak menerima tunjuk ajar daripada artis Yasin dan kini telahpun menerbitkan sebuah album di pasaran.
Khamis, Disember 11, 2008
LINTAS LANGSUNG 6
7.50 pagi (6.50 pagi)
Kami mengucap selamat tinggal kepada penduduk kampung yang telah memberikan layanan yang baik sepanjang kami berada di sini. Qadhi Husain Samún sempat bergambar dan mengucapkan selamat jalan kepada kami.
Di pertengahan jalan, kami ditahan oleh polis trafik. Pemandu kami mempunyai dokumen yang cukup. Tetapi dia terpaksa membayar sejumlah wang kepada polis berkenaan.
Selepas dua jam dalam perjalanan, kami tiba di Ma'had Al Muhajirin Al Islami (Pondok Ustaz Zainal Abidin) di Kg Saom Ochrov Preynup dalam wilayah Sihanouk Ville.
Pada masa yang sama, tiba sekumpulan warga Malaysia menaiki motosikal berkuasa tinggi. Mereka berkonvoi dari Malaysia sejak 5hb yang lalu melalui Thailand.
Sebuah masjid besar, dua buah bangunan asrama dan kelas berdiri megah di hadapan kami. Inilah sekolah agama paling besar yang kami temui di Kemboja setakat ini. Di dalam masjid kelihatan ratusan umat Islam penuh menanti dengan setia kunjungan kami. Satu majlis ringkas diadakan untuk memperkenalkan sekolah itu kepada kami dan memperkenalkan kami kepada penduduk tempatan dan juga pelajarnya.
Seramai 500 pelajar belajar di situ. Yang perempuan, semuanya berfurdah. Menrut Ustaz Zainal, pada 18/8 yang lalu berlaku satu kebakaran besar yang memusnahkan 53 buah pondok pelajar dan kerugian dianggarkan USD 20,000.
Kami melawat ke tapak kebakaran berkenaan. Derma kilat dilancarkan di kalangan kami 14 orang. Sebelum berangkat pulang kami menyampaikan sumbangan derma kilat berkenaan kepada Ustaz Zainal. Jumlahnya USD150 + RM50 + 120,000 Riel.
Kami makan tengahari di rumah Kolonal Ibrahim yang mengiringi kami sepanjang perjalanan. Kemudian solat Zohor di sebuah masjid yang sedang dalam pembinaan di Kg Banteav Prey.
2.00 petang (1.00 petang waktu Kemboja)
Kami meninggalkan kampung berkenaan dan bertolak pulang ke ibu kota Phnom Penh. Perjalanan kali ini agak lebih selesa kerana melalui jalan lain.
5.30 petang (4.30 waktu Kemboja)
Check in Hotel City Star. Kami berehat. Esok cadangnya nak ke penjara Toul Sleng dan Choeung Ek, monumen yang merakamkan kekejaman Rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.
Nantikan khabarnya....
LINTAS LANGSUNG 5
Kami pulang dari Kg Bangtaro (Kg Rashidah) ke Kg Kendal untuk bermalam di Masjid Al Aman (Madrasah Al Islah). Sebelum tidur malam tu, ramai juga yang ambil kesempatan terjun kolam untuk mandi, termasuklah Ust Mokhtar. Kolam itu adalah sumber air untuk berwudhuk dan mandi bagi pelajar-pelajar dan ahli jemaah masjid.
8 Disember 2008
5.15 pagi (4.15 waktu Kemboja)
Bangun Solat Subuh dan takbir raya. Pagi ini baru saya mandi kolam. Ambil sunat pagi raya. Selepas solat subuh tadi kami mendengar tazkirah Ustaz Mokhtar dan bertaaruf sesama kami. Ini kerana walaupun kami dah dua tiga hari bersama namun masih belum kenal mengenal antara satu sama lain.
Dari taaruf itu tahulah saya bahawa rombongan kami disertai oleh 5 orang wakil dari Pondok An Nur (termasuk Ustaz Mokhtar), 2 orang dari As Syafie dan selebihnya adalah wakil dari surau Al Muttaqin Selayang. Kami bergabung tenaga untuk menyampaikan sumbangan kepada umat Islam Kemboja yang terlalu jauh ketinggalan dari pelbagai segi.
Pagi itu kami bersembahyang Aidil Adha di masjid berkenaan dan sesudah solat, kami terus mula melaksanakan ibadah korban yang diamanahkan oleh sahabat-sahabat di Malaysia.
Seekor demi seekor lembu kami korbankan. Jumlah kesemuanya di masjid ini ialah sebanyak 6 ekor.
10.43 pagi (9.43 waktu Kemboja)
Kami bergerak ke Kg Mak Prang. Sampai di situ jam 11.17 (10.17) pagi. Kelihatan umat Islam begitu ramai menanti kehadiran kami. Sebelum menyembelih, kami naik ke masjid dahulu dan dijamu dengan buah-buahan tempatan. Menariknya terdapat sejenis buah yang tiada di Malaysia dipanggil buah susu. Rupanya seperti buah susu di Malaysia, tetapi isinya seperti buah nona.
Khabarnya masjid ini dibina dengan waqaf oleh seorang wanita Arab yang enggan mendedahkan identitinya.
Di sini beberapa ekor lembu kami korbankan. Disamping menyembelih, ahli rombongan kami yang lain sibuk mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak dan orang tua. Selesai jam 12.30 911.30) maka kami dijemput ke rumah bersebelahan masjid dan dijamu makan tengahari. Menu sangat istimewa, nasi dan daging rebuh (yang baru disembelih tad) disisah dengan sos Kemboja.
4.20 petang (3.20 waktu Kemboja)
Kami bergerak ke Kg Dong Tau bagi kali kedua untuk melakukan penyembelihan korban di situ. Berhampiran Masjid Ar Rahim, beberapa ekor lembu dikorbankan di situ.
5.40 petang (4.40 waktu Kemboja)
Kami pulang ke Kg Kendal untuk makan malam dan berehat. Pada malamnya, Ustaz Mokhtar diberi penghormatan menyampaikan ceramah kepada penduduk tempatan dengan diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Muhd Ali, mudir Madrasah Al Islah. Saya bertindak selaku pengerusi majlis.
Selesai ceramah, kami menyampaikan sumbangan kepada puluhan kanak-kanak yang hadir. Di Malaysia, selesai ceramah, orang bagi saguhati kepada penceramah, di sini selesai ceramah, penceramah yang bagi saguhati kepada pendengar.
Dalam ceramahnya, Ustaz Mokhtar banyak menyingkap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan dialog para malaikat dengan Allah SWT dalam hal ini.
Bersambung
Rabu, Disember 10, 2008
LINTAS LANGSUNG 4
Hari Ahad lalu kami tiba di Kampot, satu wilayah yang agak ramai penduduk Islam. Setelah menempuh perjalanan 4 jam kami sampai ke Kg Bai, Kampot. Di situ kami berehat seketika sebelum menuju ke destinasi seterusnya.
1.50 ptg (12.50 ptg waktu Kemboja)
Kami bergerak menuju ke Kg Dong Tau dengan melalui jalan tanah. Kampung ini didiami oleh 300 keluarga Islam. Kiri kanan jalan dipenuhi dengan sawah padi. Sepanjang perjalanan, mata kami tertumpu kepada deretan rumah tinggi yang usang dan sangat dhaif. Dengan jalan berdebu, tanpa kemudahan asas yang mencukupi, bagaimana agaknya kehidupan mereka...
Kami tiba di Masjid Ar Rahim, Kg Dong Tau lebih kurang 15 minit kemudian. Kedatangan kami disambut oleh Qadhi daerah berkenaan, Haji Husain Samun'dan beberpa puluh oirang penduduk kampung. Haji Husain tidak pernah berkunjung ke Malaysia, tetapi mampu bertutur di dalam bahasa Melayu dengan baik.
Masjid Ar Rahim yang dibina pada tahun 11/2/2005 itu mempunyai sebuah kolam óriginal tempat mengambil wudhuk. Di sekelilingnya adalah sawah padi. Di situ kami menunaikan solat Zohor dan Asar berjamaah.
Selesai solat satu majlis ramah mesra diadakan dengan penduduk kampung. Dalam kesempatan itu, rombongan kami menyampaikan sumbangan kepada 37 orang guru agama sekitar daerah ini. Setiap mereka memperoleh 60,000 Riel.
Kami kemudian dipersilakan ke rumah saudara Saleh Abd Wahab untuk menikmati jamuan maakan tengahari. Alangkah terperanjatnya kami melihat jamuan yang begitu hebat disediakan. Ketam bakar, udang bakar dan sotong bakar dihidang bersama nasi 'fresh'yang baru dituai.
5.20 ptg (4.20 ptg waktu Kemboja)
Kami berkunjung ke Madrasah An Nur yang terletak di Kg Kebal Romeas (sebut Romeh). Kebal Romeas bermaksud kepala badak. Tak tau la kenapa namanya macam tu.
Dikatakan seramai 125 orang murid belajar di sekolah yang mempunyai 7 orang guru itu. Di situ kami bertemu dengan seorang student UIAM yang baru pulang ke Kemboja untuk berhari raya.
6.40 ptg (5.40 ptg waktu Kemboja)
Tidak lama di situ, kami teruskan kunjungan kami ke Madrasah Al Islah di Kg Kendal. Ketibaan kami di Kg Kendal disambut oleh bendahari sekolah berkenaan, Ustaz Osman. Kami dijamu dengan minuman dan makanan tradisional Kemboja, iaitu lemang pisang dan air tuak.
Di sekolah ini terdapat beberapa buah asrama untuk anak yatim. Tak taulah kami ada atau tidak anak yatim lelaki. Tetapi yang kami nampak semuanya perempuan. Badan kecil, tapi umur mereka sudah menjangkau 17-18 tahun. Maka ahli rombongan kami yang agak gatal mulalah bergurau untuk terus menetap di situ.
Di Madrasah Al Islah ini terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Al Aman yang dibina oleh dermawan Arab Ahmad Al Yaqut. Asalnya tapak asrama itu lah masjid. Tapi telah dimusnahkan oleh tentera Polpot.
Selepas solat Isyak + Maghrib, kami bergerak ke destinasi seterusnya.
8.40 mlm (7.40 waktu Kemboja)
Di situ saya membuat bayaran kepada Ustaz Zahri untuk mendapatkan lembu tambahan 4 ekor lagi. 14 ekor telah saya bayar sewaktu di Malaysia.
Kami kemudian di bawa ke rumah di sebelah masjid untuk dijamu makan malam. Masya Allah, makanannya enak-enak belaka. Di samping itu makanan mereka ada ciri2 makanan sihat. Kebanyakannya bakar, rebus. Sebab itu orang Kemboja ini sihat-sihat belaka. Payah nak jumpa yang gemuk2.
Di hadapan rumah inilah terletaknya rumah Rashidah. Nantikan cerita selanjutnya....
Selasa, Disember 09, 2008
LINTAS LANGSUNG 3
Ahad, Disember 07, 2008
LINTAS LANGSUNG 2
7 Disember 2008
Kami sedang checkout dari hotel. Malam tadi masing2 bersahur di bilik. Hotel agak selesa. Dilengkapi pendingin hawa, heater, TV dan sebagainya. Siaran TV RTM 1 dapat dikuti yang melaporkan berita terkini berkenaan kejadian runtuhan Bukit Antarabangsa.
Bulan Oktober lalu, pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan yang agak angkuh, "Kita sudah berpengalaman dengan banjir tahun lepas. Dijangka tahun ini banjir akan lebih besar. Tetapi kita sentiasa berhadapan dengan sebarang kemungkinan kerana jentera kita sudah bersiap sedia!"
Tiba2 Allah hantar benda lain.... Fikir2kanlah.
Dua buah van Mercedes Benz sedang menunggu kami di luar hotel.
Perjalanan seterusnya ialah ke Wilayah Kampot. Kami difahamkan bahawa satu majlis meraikan kedatangan kami sedang diatur di wilayah berkenaan.
Beberapa orang ahli rombongan masih belum turun. Insya Allah kami akan bergerak sebentar lagi. Ikuti laporan seterusnya....
Sabtu, Disember 06, 2008
LINTAS LANGSUNG DARI PHNOM PENH 1
Niat kedatangan ke sini adalah bagi memenuhi hajat dan niat sebahagian umat Islam yang mengamanahkan wang ringgit mereka untuk saya lakukan ibadah korban untuk mereka diperkampungan umat Islam yang dhaif.
Kami seramai 14 orang. Sebahagian mewakili Pondok An Nur Kuantan dan sebahagian lagi mewakili Pusat Pendidikan Islam As Syafie Jengka.
Perjalanan sepatutnya bermula pada jam 3.15 petang tadi. Namun tergendala hingga ke 5.15 petang. Padang jam 5.00 petang kami diminta menaiki pesawat Air Asia AK852. Pesawat mula bergerak meninggalkan landasan pada jam 6.00 petang.
7.30 (6.30 waktu Kemboja) pesawat mendarat di Phnom Penh International Airport. Ketibaan kami disambut mesra oleh seorang pegawai polis beragama Islam, Ibrahim. Saya agak terperanjat melihat Ibrahim yang memakai pakaian preman turut memakai vest jenama Camel tertulis di belakangnya Yayasan Amal Malaysia. Barangkali ada pengunjung dari Malaysia yang menghadiahkannya sebelum ini.
Berdasarkan pemerhatian di airport berkenaan, jelas masyarakat Kemboja adalah masyarakat yang lemah lembut. Namun berlaku satu insiden yang kurang menyenangkan. Kami dihalang membawa masuk lebih kurang 40 naskhah Al Quran untuk disumbangkan kepada umat Islam di sini. Walaubagaimanapun, setelah dibantu oleh Ibrahim, mushaf2 berkenaan akan diserahkan kepada kami ketika pulang nanti.
Di luar, seorang ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Sulaiman (warga Kemboja) menunggu kami bersama seorang pemandu. Saya tanya namanya, dia jawab, "Nov Lucky." Dia kata itu nickname dia, nama sebenar Nov Som Nang. Ustaz Sulaiman boleh berbahasa Melayu. Nov tak pandai.
Saya tanya Nov apa agama dia. Dia kata Buddha. Kemudian dia perjelaskan, "My family is Buddhist, also me. But some time I am a Christian and another time I am a Muslim. But Hun Sen is totally Buddhist."
Saya tanya, "Why you are like that?" Dia jawab kalau aku bawa pelancong dari England, aku kena raikan dia dengan bersembahyang digereja dan kalau aku bawa orang Islam maka akupun kena jadi Islam macam engkorang.... Fikir-fikirkanlah.
Dalam van Mercedes Benz itu saya sempat bertanya tentang insiden pihak berkuasa menahan mushaf Al Quran tadi. Menurut Nov, diaorang hanya nak duit. Sebab diaorang tu jahat. Masih ada hubungan dengan Khmer... Macam-macam lagi lah dia maki polis Kemboja.
Menurut Ustaz Sulaiman pula, sememangnya semenjak dua menjak ni, kerajaan Kemboja memang berusaha menyekat kemasukan kitab-kitab agama Islam ke negara berkenaan. Dengan pelbagai isu keganasan yang timbul, mereka sudah mula melihat Islam sebagai ancaman.
Bandaraya Phnom Penh ini agak tenang diwaktu malam. Suasananya hampir sama macam Cairo. Sampah banyak juga. Tapi tak lah seteruk Karachi dan New Delhi. Tapi tak lebih baik dari KL dan Makkah. Melintas di subuah kawasan setinggan, kami lihat ramai kanak-kanak dengan selambenya main bola tepi jalan besar.
Sampai di sati persimpangan, kelihatan seorang budak duduk betul2 tepi jalan. Di sebelahnya seorang lelaki dewasa sedang baring atas jalan. Rupa-rupanya peminta sedekah.
Dari segi lalu lintas, jalan sebelah kanan, driver sebelah kiri. Macam Mesir lah. Kenderaan, macam-macam jenis atas jalan. Paling banyak, motosikal. Kebanyakannya ada pembonceng. Dan kebanyakan pembonceng adalah wanita, yang menjulurkan kakinya ke sebelah kanan.
Oleh kerana lama kat airport tadi, maka perut kami sudah mula berkeroncong. Maka kami dibawa ke sebuah restoren halal. Ia dimiliki oleh seorang warga Malaysia yang sudah berumahtangga dengan warga tempatan. Namanya Encik Md Nor. Di malaysia, dia ada macam-macam syarikat. Di Kemboja dia buka restoren atas nama isterinya, Mariyam. Restoren kecil ini dinamakan Malaysia Restaurant, bertempat di #15o, St 130, Phsarkandal 1 District, Khan Doun Penh, Phnom Penh.
En Md Nor ni sangat ramah, cuma servis restoren ni agak kurang baik. Lebih kurang sejam kami menunggu untuk dapatkan makanan. 9.15 (8.15 waktu Kemboja) kami sampai di situ, pukul 10.10 (9.10) baru boleh bergerak ke hotel. OK lah itu sekadar ujian. Harganya kira ok lah. Sepinggan nasi goreng ayam adalah 5,000 Riel. (USD1 = 4,100 Riel). Lebih kurang RM4.50.
10.20 (9.20) malam kami tiba di City Star Gues Hotel. Di sinilah kami solat, berehat dan mengumpul tenaga untuk pergerakan seterusnya hari esok. Di lobi hotel kelihatan ada 2 buah komputer. Saya tanya petugas di situ, berpa sejam. Dia kata 50 sen. Saya faham bahawa 50 sen itu adalah menikut kiraan dolar USA. Sebab orang sini memang berurusan menggunakan matawang dolr, khususnya ketika berurusan dengan pelancong luar.
Saya segera menunaikan solat jamak ta'khir di bilik dan kemudiannya bersegera turun untuk membuatkan sikit coretan di laman blog ini. Insya Allah besok kami semua akan berpuasa, puasa hari Arafah. Esok juga kami akan bergerak ke Wilayah Kampot.
Jam dah menunjukkan pukul 12.05 (11.05). Dah bertukar hari dah ni. Kena tidur dulu. Nanti kita sambung...
Rabu, November 12, 2008
FADHILAT SYUHADA'
Dalam berjihad seseorang itu dibenarkan iftar puasanya walaupun puasa Ramadhan. Tetapi pahala mereka lebih daripada orang yang berpuasa tanpa henti.
“Sabda Rasulullah SAW, “Apabila saudara-saudara kamu dibunuh di Uhud, Allah meletakkan ruh mereka dalam perut burung hijau yang sentiasa menelusuri sungai-sungai syurga, ia makan buah-buahan syurga dan pergi mendapatkan sarangnsarangnya (qanadil) dari emas tergantung di bawah bayangan arasy.”
“Apabila mereka (yang mati syahid itu) dapati betapa enaknya makanan, minuman dan tempat rehat mereka, mereka berkata, “Siapakah yang akan menyampaikan berita kepada saudara-saudara kita tentang kita, bahawa kita sedang hidup di syurga dengan mendapat rezeki. Supaya dengan itu mereka tidak akan berzuhud daripada jihad dan tidak akan undur daripada berperang.”
Lantas Allah berfirman, “Akulah yang akan menyampaikan khabar kalian kepada mereka.” Lalu Allah turunkan ayat: “Dan janganlah kamu menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, tetapi mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Ali Imran 169)
Riwayat yang hampir sama disebut di dalam Sohih Muslim hadith (1887). Imam Muslim meriwayatkan hadith ini menerusi 3 jalan. Masruq berkata:
Kata Ibnu Mas’ud, “Kami juga pernah bertanya Rasulullah SAW tentang perkara ini, lantas baginda bersabda:
“Ruh para syuhada’ itu di dalam perut burung hijau. Ia ada beberapa lampu yang tergantung di arasy. Ia berterbangan di syurga seberapa lama yang dikehendakinya. Kemudian ia menuju ke arah lampu yang tergantung itu. Lalu Tuhan memandang mereka dan bertanya: “Adakah kalian inginkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Apa lagi yang kami mahukan sedangkan kami bebas bergerak di dalam syurga ke mana saja yang kami mahu.”
“Tuhan bertanya lagi hingga tiga kali. Maka apabila mereka dapati mereka tetap ditanya juga, akhirnya mereka berkata, “Ya Tuhan kami, kami mohon supaya dikembalikan ruh ke jasad kami supaya (kami dapat berjihad lagi dan kemudiannya) kami dibunuh pada jalanmu sekali lagi.”
“Maka apabila Tuhan melihat mereka tidak ada lagi apa-apa hajat, merekapun ditinggalkan.”
Mereka yang telah merasai nikmat mati syahid pasti akan menginginkan supaya mereka dihidupkan kembali oleh Allah supaya mereka dapat terus berjuang dan kemudiannya dibunuh syahid sekali lagi. Perkara ini dijelaskan oleh Nabi SAW di dalam banyak hadith, antaranya yang diriwayatkan di dalam Sohih Muslim (1877) dan Sohih Bukhari (2817):
“Tidak ada sesiapapun yang masuk syurga ingin kembali semula ke dunia... kecuali orang mati syahid. Sesungguhnya (orang yang syahid) ingin kembali ke dunia dan dibunuh lagi 10 kali disebabkan mereka telah menyaksikan pelbagai karamah (dan pelbagai nikmat anugerah Allah kepada mereka).”
DEBU MENGHALANG NERAKA
Anugerah dan nikmat Allah kepada para syuhada' sememangnya amat berbaloi. Pengorbanan mereka adakalanya dianggap bodoh oleh sesetengah orang. Masakan tidak, ketika orang lain bersenang lenang memilih jalan rehat dan boleh bergembira dan bergelak tawa bersama ahli keluarga dan sahabat handai di rumah, mereka memilih jalan yang sukar. Dipenuhi ranjau dan duri.
“Tidak mungkin kaki-kaki yang berdebu pada jalan Allah, lalu disambar oleh api neraka.”
(2803 Al Bukhari dan 1876 Muslim)
Selasa, November 04, 2008
AIRPORT BARU JEDAH
Sebaik sahaja melihat model Lapangan Terbang Jeddah yang sedang dalam perancangan secara spontan, akan terpantul ayat, "Masya Allah... Canggihnya. Mesti best ni..."
Bangunannya memang canggih. Nampak macam kat planet lain. Bukan kat bumi. Bentuk binaannya nak kata macam bulan pun ada, macam rumah UFO pun ada. Dari satu sudut pula, lorong parking kapal terbang kelihatan macam gua moden yang sangat cantik. Untuk lihat model airport baru tu, kunjungi: http://www.kanapinasona.blogspot.com/
Tinggal lagi ada beberapa persoalan yang sukar dijawab. Bangunannya mungkin lebih baik dari binaan yang ada sekarang. Tapi bagaimana dengan orang yang akan menguruskanny... Adakah turut sama lebih baik, atau sama je macam yang ada sekarang.
Pengalaman menguruskan jemaah Umrah Andalusia pada Mei-Jun 2008 lalu amat memeritkan. Karenah birokrasi staf yang bertugas sungguh memalukan sebuah negara umat Islam.
Lepas solat Jumaat di airport King Abd Aziz Jedah, kami terus masuk. Nak dapatkan troli terpaksa bayar. Itu satu bab.
Sampai saja ke kaunter, seorang staf kurus terus minta suap SR200. Saya tanya, "Duit apa?" Dia kata "Duit untuk menyenangkan kerja engko... Engko bagi aku duit 200. Aku sattle semua barang engko walaupun over weight."
Saya kata, "Itu rasuah. Aku baru balik umrah. Tak kan aku dah nak buat dosa. Orang-orang aku ni datang sini semuanya buat umrah, buat ibadat. Bukannya melancong."
Si kurus kata memang la semua buat umrah. Apa herannya.
Dia kata, "Ya akhi, ini untuk kemudiahan engko. Engko boleh rehat kat dalam. Tak payah tunggu checking beg ini. Semua kami uruskan. Dan beg engko tak akan jadi berat."
"Belum timbang lagi mana tahu berat tak berat. Timbang la dulu. Yang lebih daripada berat maksima tu, kami keluarkan la," saya bertegas.
Mendengar ayat saya tu, dia makin berang, "Ooo awak lebih pandai dari saya ye... Ok tak pe awak tengok nanti!"
Saya mula rasa tak sedap hati dengan ayat, 'awak tengok nanti'. Pasti ada satu perkara yang dia nak kenakan.
Maka bermula lah dia checking barang dengan kasar dan dengan kaedah yang menjadikan beg-beg kami seramai 40 orang tu bertambah berat. Saya minta supaya dimasukkan beg-beg besar dulu supaya kalau over weight, kami akan jinjing beg-beg kecil. Dia tak peduli permintaan saya.
Mintak sticker untuk ditampalkan pada beg pun dia saja lengah-lengahkan. Ketika itu saya kurang sihat. Demam, batuk dan sebagainya. Namun kerana sudah diamanahkan untuk menguruskan jemaah tu, saya terpaksa uruskan juga.
Bila dah lebih, saya kata, stop. Yang lebih ni orang aku akan bawa tangan. Dia tak peduli. Dia masukkan juga beg-beg kecil tu. Akhirnya dia beritahu, "Over weight!" Saya tanya, "Berapa?" Dia kata, "Ribu-ribu."
Saya tanya lagi, berapa berat sebenar? Dia kata ribu2. Saya semakin pening. Memang saja dia nak peningkan saya. Saya salahkan dia yang tak nak dengar kata saya supaya hentikan timbangan beg kecil tadi. Dia tak ngaku salah.
Dia ugut kalau tak bayar (ribu2) maka beg kami semua akan dikeluarkan dan kami tak boleh balik. Lama di situ. Dia passing balik saya ke si kurus tadi. Si kurus tak nak layan, sebab saya tak mahu beri rasuah awal yang dia minta.
Dia suruh saya sattlekan dengan si hitam. Si hitam passing balik kat si kurus. Begitulah seterusnya sampai malam. Akhirnya saya pun dah pening. Tak tau nak buat apa. Kalau tak bayar, kami akan terkandas di situ.
Wakil muassasah datang. Kononnya nak tolong lah. Akhirnya wakil muasassah kata bayarlah kat dia SR400. Kami pun kumpulkan duit, dapatlah SR300 + RM100. Setelah bagi baru la lepas.
Pada kami kamii sudah berusaha sedaya upaya untuk mengelak rasuah. Namun kami dizalimi. Diperas ugut. Hak kami dinafikan. Kami terpaksa menyerahkan wang itu untuk mendapatkan hak kami.
Selesai satu bab.
Tiba-tiba masa tengah beratur kat imigresen, wakil muassasah pula datang minta duit. Saya tanya duit apa. Dia kata biasalah aku dah tolong engko takkan takde apa2.
Saya kata memang takde apa-apa. Saya bertegas. Akhirnya dia pergi.
Jadi jika kerajaan Arab Saudi nak buat airport baru yang canggih manggih sekalipun, kalau staf airport yang bertugas masih kekalkan perangai lama, tak ada makna la airport baru tu. Buang duit saja.
Fikir2kan...
Isnin, November 03, 2008
DARI PENUR KE AMERIKA SYARIKAT
Setelah 13 tahun, saya pergi sekali lagi dan... sangat mengkagumkan. Very fantastic... Pondok An Nur bagaikan sekolah dalam taman. Pemandangan yang indah. Lanskap yang cantik dan suasana yang tenang memberikan keselesaan kepada pelajar-pelajarnya.
Bagi yang ingin melihat keindahan An Nur, sila kunjungi: www.nuuratiq.org/v2/hijau.htm
Dalam kunjungan kali ini saya kebetulan bertemu dengan sahabat yang sudah lama tak bertemu, saudara Mohamed Hanifa Maidin. Dia juga dalam kunjungan ke rumah Ustaz Mokhtar. Oleh kerana lama tak bertemu, maka panjanglah jadinya perbualan kami. Bermula dari kes-kes mahkamah yang kami pernah handle di Seremban dahulu hinggalah ke isu ekonomi Amerika Syarikat.
Krisis ekonomi kali ini memang mewujudkan satu krisis keyakinan masyarakat dunia kepada sistem kapitalisme laissez-faire dan pasaran bebas ( free markets ). Sebenarnya sepertimana yang dikatakan oleh editor Newsweek, Fareed Zakaria sejarah sistem Kapitalisme penuh dengan krisis kredit, panik, kecairan sistem kewangan ,kemelesetan dan kegawatan ekonomi. Fareed juga bersetuju bahawa krisis ekonomi ini membawa makna bahawa era dominasi global Amerika kini mula berakhir.
Khamis, Oktober 30, 2008
HUKUM MENGHADIRI PERAYAAN ORANG KAFIR
Selasa, Oktober 14, 2008
Aidil Adha 1429H
Meliputi harga satu bahagian binatang korban atau aqiqah, sumbangan untuk umat Islam Kemboja, sumbangan untuk Pusat Pendidikan Islam As-Syafie, Jengka dan pengurusan.
Untuk penyertaan, sila hubungi penganjur: Pusat Pendidikan Islam As Syafie (PPIS) Bandar Jengka, Pahang. Tel: 019-9061651 atau 019-9855883 (Ustaz Faizul) atau hubungi wakil kami:019-9602045 (Ustaz Hazlan)
Keterangan lanjut: http://www.qurban08.blogspot.com/
Khamis, Oktober 09, 2008
AL GHAZALI DAN IBNU TAIMIYAH
“Salam ust. ana bru je baca buku tulisn ust ‘nostalgia syuhda palestin’. tahniah sungguh hebat. tp kenapa ust puji ibn taimiyah mujassimah tu (m/s 36). imam syafie kata mujassimah kafir – kitab najm almuhtady nukilan a’lim qurasyi. tk yah la ust agongkn dial g yg tlh rosakn aqidah org islam-abdullah”
Pertama, terima kasih kerana sudi membaca hasil tulisan saya yang kelima dalam bentuk buku. Moga memberi manfaat kepada pembaca.
Kedua, tentang persoalan Ibnu Taimiyah itu, memang saya ada sebut namanya dalam halaman 36 edisi Malaysia. Edisi Mesir dalam halaman lain. Halaman itu memaparkan pandangan tokoh-tokoh Islam mengenai amaliyyah istisyhadiyyah. Saya petik pandangan ramai tokoh silam dan tokoh semasa untuk dibuat perbandingan.
Dalam hal ini, saya tertarik dengan pendekatan universiti terulung dunia, Al Azhar. Dalam setiap kajian, Al Azhar mengutamakan kajian pendapat pelbagai pihak. Adakalanya pendapat Zahiriyah, Zaidiyah dan Imamiyyah juga dimasukkan dalam silibus, walaupun ketiga-tiga firqah ini ditolak oleh kebanyakan ulama’ kini (Zaidiyah dan Imamiyyah adalah 2 kumpulan Syiah yang masyhur). Lebih cantik lagi, biasanya Al Azhar menyenaraikan pandangan ulama’ dan penghujahan mereka mengikut senioriti. Umpamanya dalam membentangkan pandangan imam-imam mazhab, maka susunannya adalah mengikut senioriti imam-imam itu iaitu pertama, Imam Abu Hanifah, kemudian Imam Malik, kemudian Imam Syafie dan akhir sekali Imam Ahmad.
Semua ini didedahkan supaya umat Islam mendapat penjelasan lengkap tentang hujah, dalil, wajah istidlal dan kaedah yang diguna pakai oleh mazhab dan firqah tertentu dalam proses istinbat hukum lantas dapat membantu para ulama' mutaakhirin mentarjihkan pandangan yang paling tepat. Lebih dari itu, ada kalanya Al Azhar memasukkan juga pandangan dan hujah Nasara dan Yahudi untuk dibuat perbandingan.
Tulisan saya dalam Nostalgia Syuhada’ Palestin, tidaklah sampai ke tahap itu. Saya cuma menaqalkan pendapat tokoh-tokoh yang memberikan pandangan mereka tentang istisyhadiyyah. Itu sahaja. Dan saya tidakpun mentarjihkan mana-mana pendapat. Bahkan saya agak ‘terlupa’ untuk memasukkan sekali pandangan pemimpin-pemimpin Barat terhadap operasi itu. Sekadar perbandingan. Jadi tidak timbul soal memuji atau mengagongkan Ibnu Taimiyyah.
Ketiga, melabelkan Ibnu Taimiyyah dengan gelaran ‘mujassimah’ adalah sesuatu yang keterlaluan. Samalah dengan gelaran ‘berhala Quraisy’ yang diberikan oleh pengikut Syiah kepada Abu Bakar dan Umar (rujuk kitab Kasyful Asrar – Imam Khomeini).
Saya bukanlah pengikut setia Imam Ibnu Taimiyyah dan bukan juga penentangnya, walaupun para ulama’ mempunyai pelbagai pandangan tentang tokoh ini. Tetapi kita perlu beradab dengan manusia lain. Jangan cepat melabel hanya dengan kita baca satu dua buku yang penulisnya memang tak bersetuju dengan tokoh berkenaan.
Jangan cepat kita mengkafirkan Ali atau Mu’awiyyah. Kalaupun mereka ada silap dalam catatan sejarah, tetapi mereka adalah penulis wahyu, mereka sahabat Rasulullah SAW. Begitu juga dengan Ibnu Taimiyyah. Kalaupun ada pandangannya yang bercanggah dengan jumhur, tidakkah beliau juga ada jasa dalam menyebarkan ilmu-ilmu Islam dan dalam jihad mempertahankan tanah air umat Islam dari penjajahan Tatar.
Seterusnya untuk menilai seseorang itu, kita hendaklah menilai dari dirinya sendiri, bukan dari musuhnya. Menilai Ibnu Taimiyyah daripada tulisan Al Qurasyi adalah tidak tepat kerana Al Qurasyi sememangnya tidak bersetuju dan memberikan gambaran yang negatif tentang Ibnu Taimiyyah. Sudahkan anda membaca kitab-kitab besar Ibnu Taimiyah? Sudahkah diteliti kitab Majmuk Fatawa, Minhajus Sunnah, Fiqhun Nisa’ dan pelbagai kitab aqidahnya? Janganlah menilai PAS menerusi media milik Umno. Atau menilai Umno menerusi Harakah.
Persoalan seterusnya adakah benar Ibnu Taimiyyah bawa fahaman mujassimah. Mujassimah merujuk kepada fahaman mengatakan Allah mempunyai jisim dan tubuh yang sama dengan makhluk. Bertangan dua, bermata dua, berhidung, berkaki, bertangan dan sebagainya. Adakah terdapat ayat seperti itu dalam kitab-kitab Ibnu Taimiyyah. (Sekali lagi diingat, jangan rujuk buku orang yang memusuhi Ibnu Taimiyyah).
Apa yang dimasyhurkan oleh Ibnu Taimiyyah ialah, “Kita beriman kepada Allah dan sifat-sifatNya sepertimana yang Dia khabarkan sendiri di dalam Al Quran tanpa sebarang tasybih, takyif, ta’wil, ta’til...”
Dengan kata lain, jika Allah menyebut YAD (Tangan) ertinya Allah itu memang ada tangan, kerana Allah sendiri yang sebut begitu. Tetapi tidak boleh di tasybih (diserupakan dengan tangan makhluk), tidak boleh takyif (menentukan bagaimana rupanya tangan itu), tidak boleh ta’wil (dengan mengatakan tangan itu maksudnya benda lain) dan tidak boleh ta’til (iaitu menafikan terus kewujudannya).
Jika adanya tasybih dan takyif, maka barangkali itu boleh dikatakan sebagai fahaman mujassimah. Jika tiada, maka itulah caranya salafussoleh beriman kepada Allah. Cuma di zaman mutaakhir sedikit, para ulama’ banyak menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat ini guna untuk mempermudahkan berhujah dengan golongan zindiq dan free thinker di zaman mereka.
Sememangnya sejak dahulu para ulama’ berkhilaf tentang maksud YAD sama ada ia sememangnya bermaksud ‘tangan’ atau boleh dita’wilkan dengan maksud ‘kuasa’. Begitu jugalah dengan ayat-ayat berkaitan istiwa’, nuzul, wajah dan sebagainya. Maka selama mana ia menjadi masalah khilafiyah, maka janganlah kita terlalu taasub dengan sesuatu pendapat hingga menafikan pendapat orang lain dan menuduh orang lain sebagai mujassimah, kafir dan sebagainya.
Sememangnya ramai ulama’ yang mengeluarkan fatwa yang agak gharib dan janggal berbanding pendapat jumhur. Tetapi janganlah ulama’ itu dihina dan dipersenda. Hatta sahabat juga ada yang mengeluarkan fatwa yang ditolak oleh jumhur. Termasuklah Ibnu Abbas sendiri. Banyak pendapatnya tidak dipersetujui oleh Jumhur. Tetapi Jumhur tetap menjadikan Ibnu Abbas sebagai rujukan meeka dalam kes-kes lain dan mereka tidak menghentam Ibnu Abbas.
Saya teringat peristiwa 18 tahun lalu, ketika mula menjejakkan kaki di Pakistan dalam perantauan mencari ilmu. Pelajar Malaysia di Karachi ketika itu berbalah sesama mereka kerana muncul dua golongan. Satu menyeru supaya tidak berpegang kepada mazhab dan satu lagi berpegang kepada mazhab.
Satu golongan mengagongkan Ibnu Taimiyah dan satu lagi mengagongkan Imam Al Ghazali. Yang mengagongkan Al Ghazali, menghentam Ibnu Taimiyah. Yang mengagongkan Ibnu Taimiyah menghentam Al Ghazali. Hinggakan ada yang sanggup membakar kitab Ihya Ulumiddin kerana mendakwa Al Ghazali banyak meriwayatkan hadith dhaif di dalamnya. Maka kitab itu perlu dibakar.
Sememangnya para ulama yang mentahqiq kitab berkenaan menemui banyak hadith dhaif dan sebahagiannya mencapai taraf maudhu. Namun adakah hanya disebabkan itu, maka keseluruhan isi kitab yang amat besar jasanya itu perlu ditolak dan dibakar?
Kita tak pernah tengak wajah Ibnu Taimiyyah dan Al Ghazali. Jangan hina mereka. Kalaupun ada silap mereka, Al Quran mengajarkan supaya kita berdoa keampunan untuk mereka. "Ya Allah, ampunilah kami dan saudar-saudara kami yang lebih dahulu beriman sebelum kami dan janganlah jadikan di dalam hati kami perasaan tidak baik terhadap orang-orang yang beriman..."
Samalah halnya dengan Ibnu Taimiyyah. Janganlah disebabkan satu dua fatwanya yang kita tidak setuju menyebabkan kita lupa kepada jasanya menghidupkan sunnah jihad menentang kuffar yang ketika itu sudah dilupakan oleh umat Islam, gelaran Syaikhul Islam yang diberikan oleh ulama sezamannya. Janganlah kita lupa fitnah-fitnah golongan munafiqin di zamannya, janganlah lupa hukuman penjara 2 tahun 3 bulan yang dikenakan ke atasnya sebelum meninggal dunia di situ dan sempat mengkhatamkan bacaan Al Quran 81 kali dalam tempoh berkenaan.
Bandingkan pula dengan jihad kita, jasa kita, berapa banyak kitab yang kita tulis, sudah berapa lama kita kena penjara kerana perjuangan Islam dan sudah berapa banyak dosa yang kita buat.
Perlu diingat, para ulama' muktabar zaman inipun menjadikan Al Ghazali dan Ibnu Taimiyah sebagai rujukan mereka walaupun ada perkara yang mereka tidak setuju dengan kedua-dua tokoh ini. Syeikh Yusuf Al Qardhawi, Dr Wahbah Az Zuhaili, Dr Abdullah Azzam, Abul Hasan Ali An Nadawi dan lain-lain semuanya merendah diri terhadap AL Ghazali dan Ibnu Taimiyyah. Bahkan Ali An Nadawi turut menulis sebuah buku tentang biografi Ibnu Taimiyah.
Belajarlah beradab dengan ulamaè dan ingatlah sepotong hadith Nabi SAW yang diiwayatkan oleh Imam At Tarmizi bahawa antara 15 perkara yang bakal mengundang bala Allah ialah, apabila umat akhir zaman mencela ulama' terdahulu...