Ahad, Ogos 30, 2009

JANGAN MAKI 'TUHAN' MEREKA



Allah berfirman di dalam Surah Al An'am ayat 108 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang meeka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (yang sebenar) lah kembalinya mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."

Sebagai orang yang berada di atas landasan aqidah yang benar, kita sekali-kali tidak redha dengan sembahan yang lain selain daripada Allah. Semua benda yang dianggap Tuhan sama ada batu berhala, hantu syaitan, dewa-dewa, bahkan manusia yang disembah selain Allah adalah merupakan taghut yang bakal mnjadi bahan bakaran di dalam neraka (Al Baqarah 24 dan 257).

Dalam pada itu dari segi dakwah, kita tidak dibenarkan mngutuk dan memaki pihak yang dianggap 'tuhan' itu secara nyata. Ayat 108 dari Surah Al An'am di atas menjelaskan sebab larangan berkenaan. Iaitu sebagai satu sadduz-zara'i' (سد الذرائع) bagi mengelak keburukan yang lebih besar. Mereka asalnya hanya melakukan satu mungkar, iaitu menyembah berhala sahaja.

Tetapi dengan sebab kita memaki 'tuhan' mereka, maka mereka akan melakukan kemungkaran kedua iaitu memaki Allah dengan melampau. Justeru perbuatan memaki dan menghina sembahan mereka adalah satu kerja buruk berbentuk provokasi yang akan menimbulkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

Pastinya kita pula akan melenting apabila orang lain menghina Allah. Orang yang beriman tidak akan merasa gentar untuk berjuang dan berjihad mempertahankan kesucian nama Allah. Biarpun terpaksa menumpahkan darah, mereka akan sanggup mengharunginya. Andai mati, mereka dianugerah syahid. Kalau menang, mereka mendapat kemuliaan.

Tetapi dalam kes ini, penghinaan itu berpunca dari kita sendiri. Kita yang menyebabkan mereka menghina Allah. Inilah satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Kes terbaru yang berlaku di Selangor Jumaat lalu agak menggemparkan. Beberapa orang berbangsa Melayu beragama Islam mengheret dan memijak kepala lembu berdarah di atas jalan raya sebagai tanda bantahan mereka terhadap pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Sememangnya mereka berhak membuat bantahan. Tetapi cara bantahan mereka itu bercanggah dengan ayat 108 surah Al An'am.

Sepatutnya mereka bertindak dengan aksi yang boleh memberikan kesedaran kepada kaum lain terhadap kebatilan mereka. Malangnya tindakan yang mereka lakukan akan menjauhkan mad'u daripada Islam. Bahkan menyebabkan mereka akan marah, melenting dan sekaligus membalas 'serangan' dengan memaki Islam.

Serentak dengan itu juga Islam mendapat persepsi yang buruk dalam pemikiran mereka. Islam akan dilihat ganas dan lebih primitif dari sembahan yang primitif.

Keadaan ini perlu diperbetulkan semula secepat mungkin. Jika dibiarkan, fikir-fikirkanlah apa yang bakal berlaku seterusnya.


Jumaat, Ogos 28, 2009

ZALIMNYA HUKUM MANUSIA

Manusia memerah otak memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah. Seringkali jawapan yang diberikan oleh otak manusia tersasar dari yang sepatutnya.

Dalam usaha menyelesaikan jenayah, manusia memerah otang mencari jalan untuk mengatasinya. Lain negara lain caranya, lain undang-undangnya dan lain kaedah menghukumnya.

Bila dicadangkan penyelesaian dengan kaedah yang ditetapkan oleh Allah, ramai yang kata itu zalim, kejam! Mereka lupa hukum Allah mempunyai ruh NAKALAN MINALLAH yang mampu menyelesaikan masalah yang manusia hadapi. Ia nampak menggerunkan, tetapi minima keperitannya, besar pengajarannya kepada manusia lain.

Hukum ciptaan manusia, nampak canggih tapi menyiksakan, kejam dan tidak mendatangkan pengajaran kepada manusia lain. Yang paling utama, ia tiada ruh NAKALAN MINALLAH (pencegahan dari Allah).
Lihat gambar di atas. Ia adalah kesan hukuman sebat yang dilaksanakan di sebuah penjara. Fikirkanlah:

1. Yang membuat hukum itu ialah manusia yang tidak sunyi dari salah dan silap. Bukan dari Allah yang Maha Mengetahui.

2. Sebatannya hanya 10-15 kali atau 20 kali sahaja. Tetapi kecederaannya sangat serius. Ia dipukul pada satu tempat dari pukulan pertama hingga terakhir. Ini bercanggah dengan kaedah Islam.

3. Pesalah disebat di dalam penjara. Siapa yang nak ambil iktibar. Siapa yang akan insaf. Pesalah itu sendiripun tidak akan insaf. Bahkan akan timbul pula perasaan dendam terhadap pelaksana hukuman.

4. Pesalah diaibkan dengan didedahkan auratnya. Islam menyuruh hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah lengkap berpakaian menutup aurat.

5. Fikirkan pula alat yang digunakan dan kekuatan hayuanannya.

Terlalu jauh hukuman ini dari keadilan Islam. Bagaimana sesebuah negara itu akan mendapat pemeliharaan Allah apabila undang-undangnya menyimpang jauh dari panduan Allah.

DATUK ISMAIL KAMUS MENINGGAL DUNIA?


Malam tadi massage box saya hampir penuh dek sms yang saya terima dari rakan-rakan berbunyi:

"Al Fatihah untuk Ustaz Ismail Kamus yang baru menemui Allah sebentar tadi... Satu kehilangan besar buat agama dan negara. Semoga Allah mencucuri rahmat kepadanya. Tolong foward..."


Seperti biasa, apabila menerima sms seperti ini, saya tidak akan segera forward kepada orang lain. Saya akan selidiki dahulu untuk mengesahkan berita yang diterima. Setelah menghubungi beberapa orang kenalan, saya dapati Ustaz Ismail Kamus sekarang sedang mengerjakan umrah di Makkah dan beliau sedang sihat dan 'segar bugar' di sana.

Pengajarannya, fikir-fikirkanlah sendiri.

Apa yang ingin diutarakan di sini ialah, apabila berlaku kematian seorang tokoh ulama' kita sering mengungkapkan kalimah, "Satu kehilangan besar buat umat Islam..." Lantas kita memuji, mengungkit jasa besar ulama' berkenaan, mendedahkan ketinggian ilmunya, kehebatan firasatnya, keikhlasannya, keberaniannya dan sebagainya.

Malangnya ungkapan berkenaan terpantul dari mulut kita setelah tokoh berkenaan meninggal dunia. Ketika masih hidup, kita tak pedulipun kepada tokoh ini. Ketika Ishak Baharum masih hidup, berapa ramai umat Islam yang tak hadirpun ke masjid ketika tokoh itu berceramah di kampung mereka. Tapi setelah beliau meninggal dunia, masing-masing mengeluh kehilangan tokoh ulamak yang hebat.

Justeru, sementara para ulama' yang hebat-hebat ini masih hidup, rebutlah peluang untuk menumpang ilmu mereka. 'Burulah' kuliah dan ceramah Datuk Dr Harun Din, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman, Datuk Ismail Kamus dan lain-lain.

Kesemua mereka sudah berada dihujung usia. Entah esok entahkan lusa, mereka akan meninggalkan kita. Kalaupun tidak sehebat mereka, namun di hadapan Allah nanti kita boleh sedikit berbangga, "Ya Allah, tika hidupku di dunia dahulu aku sering mengunjungi dan mengikuti majlis ilmu para wali-Mu...."



Khamis, Ogos 27, 2009

CARA SEBATAN DALAM ENAKMEN SYARIAH PAHANG


“Tangguh Hukuman: Penjara Tiada Tukang Sebat”


“Tangguh Hukum Kartika Hingga Ada Tukang Sebat Syariah”


Demikian tajuk berita kebanyakan media cetak Rabu lalu dalam mengulas penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika. Utusan hari ini pula menyiarkan berita seperti iklan jawatan kosong:


“Kes Kartika: Tukang sebat syariah dicari”


Setiap kali timbul isu pelaksanaan Undang-Undang Islam, pihak berkenaan akan berdalih mengatakan kita tiada tenaga pakar dalam bidang syariah untuk melaksanakannya. Hakikatnya kita bukan kekurangan tenaga, tetapi kita tidak memanfaatkan tenaga yang ada.


Para ulama’ ramai. Graduan lulusan bidang syariah dari universiti dalam dan luar negara juga ramai. Mencapai angka puluhan ribu. Tetapi ilmu yang mereka pelajari tidak dimanfaatkan untuk pelaksanaan Undang-undang Islam.

Dalam kes sebat, undang-undang telah memperincikan kaedah dan cara sebatannya. Tidak perlu pakar. Ia sudah termaktub di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 mengenai cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut:

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.

ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.


Apa yang jelas, isu Kartika memperlihatkan betapa tidak seriusnya pihak berkenaan dalam mendaulatkan Undang-undang Islam.


Beberapa tahun lalu, ketika kumpulan pro IFC dan Artikel 11 mendesak supaya kerajaan meminda perkara berkaitan undang-undang Syariah di Malaysia, semua pihak melenting dan marah. Umat Islam menentang keceluparan kumpulan itu. Pemimpin kerajaan juga ramai yang menyuarakan kekesalan dan bertekad untuk mempertahankan kedaulatan Islam.


Namun dalam masa yang sama, enakmen berkaitan Islam terpinggir dan tidak dipedulikan. Peraturan dan undang-undang digubal dan diwartakan. Tetapi tidak ada sebarang persediaan untuk dilaksanakan. Hinggakan tukang sebatpun tak ada! Sedangkan undang-undang dan peraturannya sudah wujud sejak 7 tahun lalu (2002).


Lihat sahaja undang-undang berkaitan jalan raya. Sebaik sahaja dikuatkuasakan peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kerusi belakang, JPJ terus mengadakan ‘road block’ di seluruh negara. Puluhan ribu RM diperoleh pihak kerajaan hasil saman yang dikeluarkan. Siang dan malam TV dan radio siarkan iklan dan kempen pemakaian tali keledar belakang.


Dahulu, ketika peraturan memasang lampu motosikal di siang hari dikuatkuasakan, road block yang sama dan saman yang sama dikeluarkan. Berapa ramai pakcik di kampung-kampung yang disaman hanya kerana tidak menyalakan lampu di siang hari.


Begitulah seriusnya mereka melaksanakan undang-undang. Tetapi apabila tiba giliran peraturan dan undang-undang Islam, masyarakat awam langsung tidak tahu kewujudan undang-undang itu. Pelaksana undang-undang juga tidak tahu bagaimana hendak kuat-kuasakan.


Alangkah malangnya undang-undang Islam. Hanya tinggal di dalam Kitab. Buat tatapan pelajar pondok dan siswa universiti.



(* Gambar hiasan seorang wanita belum berkahwin dijatuhi hukum sebat 100 rotan di Aceh kerana sabit kesalahan zina)

KAEDAH SEBAT DALAM UNDANG2 ISLAM


Dalam kes Hudud, kesalahan yang dihukum sebat ialah sabitan terhadap kes zina muhsan (100 kali) dan minum arak (40-80 kali). Hukuman ini sering digambarkan sebagai hukuman yang kejam dan primitif.

Selain daripada lemparan tuduhan orientalis, ia juga diburukkan oleh pandangan orang Islam yang jahil, termasuk penerbit filem yang memberikan gambaran salah tentang hukuman ini, seperti fileh Sumpah Semerah Padi dan lain-lain.

Mengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga, tidak boleh sampai mencederakan, dan hendaklah diagih-agihkan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Ia bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Dalam kes Kartika, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987, keberanian hakim untuk menjatuhkan hukuman yang paling hampir kepada Islam adalah usaha terpuji. Tetapi sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 dan 80 rotan, bukan 6 sebatan seperti yang diputuskan itu.

Haramnya arak ini, adalah tidak mengira tempat samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri. Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik dengan ilmu Islam supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Masyarakat bukan Islam juga perlu diperjelaskan tentang keburukan arak dan kebaikan hukum hakam Islam.

Justeru, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi.


Selasa, Ogos 25, 2009

KENAPA MASIH BERDOLAK DALIK LAKSANA HUKUM ALLAH

Tersentuh juga hati apabila setiap hari terbaca berita kesediaan untuk Kartika Sari Dewi Shukarnor dihukum sebat kerana kesalahan minum arak di Kuantan. Beliau sudah insaf dan sedar kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau mahu hukuman ini menjadi pengajaran kepada dirinya dan seluruh umat Islam. Beliau mahu bertaubat. Beliau mahu dihukum di dunia kerana tidak sanggup berhadapan dengan hukuman Allah di akhirat kelak.
Justeru apabila hakim menjatuhkan hukuman, beliau meminta hukuman itu dilaksanakan segera dan seboleh-bolehnya ia dilaksanakan di khalayak ramai.

Ramai yang mempersoalkan adakah hukuman 6 kali sebatan itu bertepatan dengan kehendak syarak. Sememangnya ia tidak tepat dengan kehendak syarak kerana:
1. Ia hanya 6 sebatan, sedangkan dalam kesalahan jenayah syar'iah, Islam menetapkan hukuman sebatan 80 rotan bagi kesalahan minum arak.

2. Kaedah sebatan yang dilaksanakan di Malaysia sekarang adalah terlalu mendera dengan menggunakan rotan yang besar dan hayunan yang kuat serta dirotan hanya pada satu tempat, sedangkan undang-undang syarak menetapkan hukuman yang lebih bersifat mendidik dan memberi pengajaran.

3. Hukuman yang dilaksanakan sekarang tidak memelihara aurat pesalah. Sedangkan hukuman Islam dijalankan di atas pakaian yang lengkap.
Walaubagaimanapun hakim telah menggunakan maksima peruntukan yang ada dan had hukuman yang boleh dijatuhkan olehnya untuk menjatuhkan hukuman yang paling hampir dengan syariat Islam.

Sepatutnya pihak yang mempersoalkan itu bertanya, adakah hukuman sebelum ini bertepatan dengan syarak. Hukuman yang berbentuk denda beberapa ratus atau ribu ringgit. Lagi jauh dan langsung tidak ada dalam Kitab Allah.

Dan sepatutnya pihak berkenaan juga perlu mendesak supaya hukuman Islam itu dilaksanakan secara sempurna bagi mempamerkan keadilan Islam.

Desakan dan asakan demi asakan diterima oleh pihak bekuasa agama di Pahang yang akhirnya menyaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengarahkan hukuman ditangguh.
Saya bimbang, sikap berdolak dalik dalam melakanakan hukuman ini akan memberikan gambaran buruk tentang undang-undang Islam. Lebih malang lagi jika Kartika sendiri berbalik hati dek sikap berdolak dalik ini.

Ahad, Ogos 23, 2009

KENANGAN BERKUNJUNG KE SEMPADAN PALESTIN


Tika menelusuri ayat-ayat Allah di pagi Ramadhan ini, hati begitu tersentuh. Al Baqarah bermula dengan perincian pembahagian manusia kepada muttaqin, kafir dan munafiq. Diikuti dengan paparan sejarah awal manusia yang dicipta dari tanah, kepatuhan malaikat dan kekufuran iblis. Seterusnya peringatan dan amaran kepada Bani Israil….



Sesungguhnya membaca dengan bertammul pasti dapat mengetup pintu hati yang keras. Seawal ayat 40, Allah sudah mula menceritakan perihal kerasnya hati kaum Bani Isarel untuk menerima kebenaran. Banyak sekali kisah mereka di dalam Al Baqarah yang diselang-selikan dengan perkara-perkara lain. Hingga ke penghujungnya masih terdapat paparan kedegilan Bani Israil.

Masuk surah Ali Imran, ada juga kisah mereka. An Nisa' juga sama. Begitu jugalah dengan surah-surah yang lain. Hinggakan ada satu surah yang dinamakan surah Bani Israil atau surah Al Isra'.

Al Baqarah memaparkan bagaimana sikap 'banyak soal' mereka akhirnya menyusahkan mereka sendiri. Bagi menyelesaikan satu kes pembunuhan, Nabi Musa AS mengarahkan mereka menyembelih lembu. Mereka bertanya, "Lembu macam mana? Warna apa? Apa sifat-sifatnya...?"

Pertanyaan-pertanyaan itu bukan untuk mengetahui sifat sebenar lembu yang diperintahkan supaya disembelih, tetapi ia lahir dari sikap buruk mereka yang sengaja mahu menangguhkan pelaksanaan perintah rasul. Lantas pertanyaan itu menyusahkan mereka untuk mencari lembu yang disifatkan. Hampir-hampir mereka tidak menemuinya. Sedangkan andai mereka sembelih tanpa banyak soal, mereka boleh sembelih mana-mana lembu atas dunia ini.

Mereka juga menyusahkan nabi mereka dengan bermacam-macam hal termasuk meminta hidangan dari langit, meminta untuk melihat Allah dan meminta air di tempat yang mustahil ada air. Berhadapan dengan kaum yang degil ini, Allah membekalkan kepada nabi-nabi Bani Israil ini dengan mukjizat hissiah yang banyak.

Nabi Musa AS dianugerahkan tongkat yang banyak membantu. Apabila baginda melemparnya di hadapan Firaun, ia bertukar menjadi ular besar. Ketika memukul laut, ia terbelah dua memberikan laluan kepada baginda dan Bani Israil untuk menyelamatkan diri. Apabila dipukul pada sebongkah batu besar, terpancar 12 mata air yang setiap satu cukap untuk keperluan setiap qabilah Bani Israil.

Mengenangkan betapa banyaknya peninggalan kisah Musa dan Bani Israil ini, maka pada 3-5 Mac 2003, saya bersama beberapa orang sahabat dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir meneroka perjalanan ke Semenanjung Sinai hingga ke sempadan Palestin.

Sampai di sana, kami dapat saksikan sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah Nabi Musa yang masih elok dan jelas walaupun tanpa pemerhatian dan baik pulih pihak berkuasa. Kami mendaki gunung Jabal Musa yang terletak dipuncak Tur Sina, tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan menerima wahyu yang berupa kitab Taurat. Kami saksikan Wadi Arba'in dan bongkah batu yang dipukul oleh Nabi Musa hingga menerbitkan 12 mata air. Kami lihat kesan peninggalan peristiwa penyembahan Bani Isarail kepada patung lembu... dan banyak lagi perkara yang menunjukkan kedegilan Bani Israil kami saksikan di Semenanjung Sinai.




Kami turut mengunjungi Taba dan Teluk Aqabah yang menjadi sempadan Palestin, Jordan dan Arab Saudi. Pintu sempadan dikawal ketat oleh pihak berkuasa Mesir. Kelihatan di sebelah sana, tentera Yahudi mundar mandir mengawal pintu di sebelah Palestin. Di atas bukit bersebelahan terdapat dua pos kawalan. Satu mengibarakan bendera Mesir dan satu lagi mengibarkan bendera bintang bucu 6 Zionis Israel.

Ketika itu jiwa saya rasa terbakar. Di hadapan mata saya terbentang bumi suci Palestin dan bumi para anbiya' dijajah oleh rejim Zionis. Dan penjajahnya sedang berada di hadapan mata saya. Tapi apa yang saya mamtu lakukan...

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kem tentera Israel yang sudahpun ditawan oleh tentera Mesir dalam perang tahun 1973. Kem Bar Lev (Hebrew: קו בר לב, Kav Bar Lev; Arabic: خط برليف, Khaṭṭ Barlīf) dibina berhampiran Terusan Suez oleh tentera Israel untuk menghalang serangan tentera Mesir. Namun dalam Perang 10 Muharram (Amaliyat Badar / Perang 6 Oktober 1973) Mesir berjaya menguasai Sinai dan menghalau tentera Yahudi dari Bar Levf. Kini ia menjadi sebahagian tempat lawatan.

Apabila masuk ke kem berkenaan, ternyata apa yang disebut oleh Allah mengenai sifat pengecut dan takut mati kaum Yahudi tu adalah benar. Mereka membina kubu yang sangat kukuh. Bilik mesyuarat terletak di bawah tanah. Bilik ketua mereka juga di bawah tanah. Di atasnya disusun batu-batu yang sangat berat bagi menghalang serangan umat Islam.

Di dalam bilik persembunyian ketua mereka, saya lihat ada satu kertas tertampal pada dinding. Ada tulisan seakan-akan sebuah bait syair atau lirik lagu dalam bahasa Ibrani. Di bawahnya ada terjemahan bahasa Arab.

'Hatikfa' atau lagu Amal (نشيد الأمل) adalah lagu rasmi Zionis hingga tahun 1948. Ia disusun dengan ayat-ayat yang menggambarkan ketamakan dan kerakusan mereka untuk menguasai dunia. Antara lain, ia menyebut:


"Telah lama bersarang di dalam hati
semangat Yahudi membara

untuk menguasai rumah-rumah Timur

bersama kemunculan mata-mata Zionis."

"Telah lama kita kehilangan cita-cita
cita-cita lama
untuk kembali ke tanah air bapa-bapa kita
dan untuk kembali menguasai semua kota
yang pernah diduduki oleh Daud...
"

Saya juga melihat bagaimana senjata-senjata berat yang ditinggalkan oleh mereka masih dalam keadaan baik dan dijadikan bahan tontonan pengunjung. Hampir kesemuanya adalah buatan Amerika Syarikat. Ertinya usaha Amerika bersekutu dan membantu Israel memerangi umat Islam bukan baru. Mereka memberi sokongan moral dan bantuan ketenteraan secara langsung.

Sebab itu Israel berani bertindak semahu-mahunya membunuh umat Islam di Palestin. Mereka tangkap ribuan pemuda Islam. Sebahagian mereka bunuh dan sebahagian lagi mereka siksa dan kurung. Ada juga yang dibunuh dan diambil organ dalamannya untuk dikomersialkan.


Bayangkan batu sebanyak itu disusun di atas kubu mereka bagi mengelak serangan tentera Mesir.

Khamis, Ogos 20, 2009

KISAH MAMAK MASUK ISLAM ZAMAN NABI


Kebanyakan kaum Mamak yang tinggal di Malaysia berasal dari beberapa daerah di India. Ada yang datang dari Tamil Nadu, Kerala, Malebar dan lain-lain. Tidak ramai yang tahu sejarah mereka menerima Islam. Yang pasti, mereka menerima Islam lebih dahulu daripada orang Melayu.


Kaum Malebar umpamanya, telah memeluk Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Satu catatan ditemui dalam sebuah manuskrip Hindu Kuno yang tersimpan di India Office Library, London bernombor siri 2807/152-173 menjelaskan perkara tersebut. Perkara ini didedahkan oleh ulama' dan saintis Islam terkemuka, Dr Zaghlul Najjar dalam bukunya, Khawatir Fi Ma`iyyat Khatam al-Anbiya Wa al-Mursalin yang saya petik dari blog sahabat saya, Ustaz Hairul Nizam.


Manuskrip itu menceritakan kisah seorang raja negeri Malebar, di Barat Daya India bernama Chakrawati yang melihat bulan terbelah. Peristiwa berkenaan amat mengejutkan baginda. Kebetulan waktu beliau menyaksikan peristiwa itu adalah sama waktu dengan peristiwa mukjizat Rasulullah SAW membelah bulan ketika baginda berada di Makkah. Raja Chakrawati dapat melihatnya di India.


Ia terus menjadi persoalan dalam pemikiran raja ini. Hinggalah tiba sekumpulan pedagang Islam yang singgah di Malebar dalam perjalanan mereka ke Negeri China. Pedagang-pedagang ini menceritakan perihal Rasulullah SAW dan mukjizat baginda.





Mendengar khabar berkenaan, baginda Chakrawati sangat girang dan percaya apa yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang berkenaan adalah kisah benar. Baginda terus bertekad untuk bertemu sendiri Rasul Akhir Zaman ini. Urusan pemerintahan diserahkan kepada anakandanya. Baginda segera berangkat ke Semenanjung Tanah Arab.


Dengan izin Allah, Chakrawati dapat bertemu Rasulullah SAW dan baginda terus mengisytiharkan dirinya memeluk Islam. Beliau tinggal beberapa ketika bersama Rasulullah SAW untuk belajar seluk beluk agama Islam dengan niat menyebarkan Islam setelah pulang ke negerinya kelak.


Namun kehendak Allah mengatasi segala-galanya. Dalam perjalanan pulang, baginda menemui ajal di Zafar, Yaman. Walaupun tidak sempat pulang menemui rakyatnya, cerita tentang kisah menarik ini sampai ke pengetahuan rakyat Malebari yang akhirnya mendorong mereka menerima Islam beramai-ramai.


Rabu, Ogos 19, 2009

KULIAH MAGHRIB DITANGGUH, DAKWAH DITERUS

Hari ini adalah hari terakhir saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Tengku Sulaiman Ketari sebelum ketibaan bulan Ramadhan. Masjid Bkt Piatu, Isnin lepas dah buat penangguhan. Masjid Karak Setia semalam. Sememangnya apabila tiba bulan Ramadhan, kuliah Maghrib ditangguh untuk memberi laluan kepada aktiviti khusus bulan Ramadhan.

Sama ada esok atau lusa, Ramadhan akan menjelma. Semua umat Islam akan menunaikan ibadat puasa. Setelah letih seharian berpuasa, mereka akan berbuka. Selepas berbuka, solat Maghrib (walaupun ada juga yang terlentang depan tv). Lepas Maghrib baru pergi ke masjid.

Ke masjid tu, tujuannya untuk solat Tarawih. Kadang-kadang lupa kewajipan solat Fardhu Isyak. Habis Tarawih, mereka akan rasa puas dengan ibadat hari itu. Lalu diniatkan pula untuk berpuasa lagi 'esok hari'.

Itulah rutin kebanyakan kita. Semoga Allah menerima amalan kita.... Cuma masih terdapat segelintir yang melaksanakan itu semua hanya kerana mengikut tradisi, bukan kerana ibadat. Sekadar adat. Justeru, bila hendak diselitkan sedikit tazkirah, mulalah ada yang merasa seolah-olah 'terganggu ibadat' mereka.

Bagi mereka, Tarawih adalah segala-galanya. Jangan diganggu ibadah itu. Dirasakan seoalh-olah puasa tidak diterima Allah, jika Tarawih bercampur dengan aktiviti lain.

Suatu yang perlu disedari, solat Tarawih hukumnya sunat. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Wajibnya pula adalah pada tahap fardhu ain. Berapa ramai manusia yang melakukan ibadat solat ini tanpa bekalan ilmu yang sebenar. Natijahnya, ibadat mereka kosong dari redha Ilahi.

Justeru, biarpun kuliah Maghrib dihentikan buat sementara waktu, teruskanlah menuntut dan menyebar ilmu-ilmu Islam ini.

Kebelakangan ini satu perkembangan menarik yang berlaku terutama di bandar dan kota, apabila masjid dan pejabat-pejabat kerajaan sudah mula membuat pengisian tazkirah Zohor bagi memenuhi tuntutan ini. Begitu juga dengan kuliah Subuh. Ia dipergiatkan lagi dengan kehadiran Ramadhan ini.

Insya Allah Ramadhan kali ini, andai diberi ruang dan kesempatan oleh Allah, aktiviti saya juga akan diteruskan seperti biasa. Kuliah Maghrib off, tapi tazkirah Ramadhan dan kuliah subuh akan berjalan seperti biasa.

Malam 1 Ramadhan (Jumaat Malam Sabtu) ini, insya Allah pembuka tirai tazkirah Ramadhan di Surau Al Amin, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur. Saya belum tahu bagaimana coraknya. Tapi pada tahun-tahun lepas, tazkirah diadakan selepas jemaah selesai solat Tarawih.

Orang Bentong, insya Allah kita jumpa di Masjid Daerah (Masjid Bandar) dan Masjid Ketari selepas Zohor. Insya Allah kita berkongsi ilmu yang bakal disampaikan oleh Tuan Qadhi daerah, Dato' DO, Tuan YDP Majlis Perbandaran, Pengarah Kesihatan dan saya sendiri serta beberapa orang rakan yang lain.

Orang Shah Alam, insya Allah kita bertemu sebelum berbuka puasa pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos di Masjid Negeri. Orang Selayang, temu janji kita selepas Tarawih 30 Ogos. Orang USJ, insya Allah kuliah kita teruskan selepas solat Isyak 5 September di Surau Al Muttaqun USJ12.

Sahabat-sahabat di Subang Jaya, saya sudah lama tidak bertemu kalian dek kerana saya keuzuran, 2 kali tak datang kuliah. Ramadhan ini insya Allah kita bertemu di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya selepas solat Subuh 19 September akan datang.

Ramadhan.... Kami tunggu kehadiranmu...

Isnin, Ogos 17, 2009

ANTARA KHILAF DAN IKHTILAF


Umat Islam sekarang sedang berada dalam zaman fitnah. Berbagai kumpulan baru muncul membawa ideologi masing-masing. Hanya dengan sebab sedikit perbezaan dalam masalah furu', ada pihak yang sanggup membuka pintu perpecahan di kalangan umat Islam.

Perbezaan pendapat yang kecil, kadang-kadang menyebabkan berlaku pergaduhan dan pertempuran yang besar hingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Di Palestin contohnya, ketika dunia Islam berdukacita di atas pertembungan yang sering berlaku di antara kumpulan pejuang Islam Hamas dan golongan sosialis Fatah, tiba-tiba muncul kumpulan Abdul Latif yang lengkap bersenjata mengisytiharkan sebuah negara Islam.

Puncanya hanya kerana tidak puas hati Hamas masih membuka ruang perbincangan dengan Rejim Israel. Hasilnya berlakulah pertempuran sesama kaum muslimin yang menyebabkan 22 kematian pada Jumaat, 7 Ogos lalu.

Jika masing-masing faham soal ikhtilaf dalam Islam, faham mana perkara yang perlu kita bertegas dan mana perkara yang ada ruang toleransi, maka insya Allah perkara ini boleh dielakkan.

Imam As Syafie Rahimahullah, bercanggah pendapat dengan Imam Abu Hanifah dalam banyak perkara khususnya dalam masalah fiqh. Namun perselisihan ini terbina atas dasar ilmiah Ia tidak sampai menyebabkan berlakunya permusuhan di antara ke dua-dua orang tokoh ini.

Justeru, ketika berkunjung ke Iraq yang rata-rata penduduknya bermazhab Hanafi, Imam As Syafie menunaikan solat mengikut cara yang diajar oleh Abu Hanifah. Apabila ditanya, beliau menjawab, "Aku buat begini sebagai satu penghormati kepada penghuni kubur ini (Abu Hanifah)."

Ada juga masalah ikhtilaf fiqh ini yang memberikan kebaikan kepada ummah. Contohnya dalam bab melontar Jamrah Aqabah. Ada yang mengatakan boleh melontar selepas tergelincir matahari hari ke 10. Ada yang kata selepas subuh dan ada juga yang mengatakan kalau melontar pada sebelah malamnyapun tidak mengapa. Hikmahnya berlaku khilaf di sini ialah, cuba bayangkan apa akan jadi jika semua mazhab mengatakan hanya boleh melontar selepas tergelincir matahari. Apa akan terhadi? Sudah pasti berlaku pertembungan, tolok menolak dan sebagainya yang akan menyebabkan berlakunya kematian di kalangan umat Islam.

Justeru, bukan semua ikhtilaf itu buruk, jika ia digarap dengan betul.










Ahad, Ogos 16, 2009

ETIKA DAN ADAB BLOGGER

1. Memberi dan menyampaikan maklumat adalah kerja terpuji bagi membina dan membentuk minda para pembaca. Tetapi ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab dan etika. Bertanggungjawab dengan tulisan dan amanah dalam meriwayat.

Pertama: Ikhlas, jujur dan suci niat dalam apa jua bentuk tulisan justeru ia diperhati dan dinilai oleh Allah swt sekalipun serapat mana bilik komputer kita dikunci.


Kedua
: Tulis dan riwayat perkara yang benar. Jangan berbohong atau berdusta. Menyembunyikan fakta sebenar dan menukilkan andaian yang penuh hasad dan dusta. Kerana dosa dan neraka juga boleh menerima seorang penulis blog sebagaimana pahala dan syurga juga boleh menerima mereka. Bergantung bagaimana mereka ber"blog".


Ketiga
: Berbahasa dan berbudi dalam tulisan tentunya menjadikan hasil karya kita lebih bermutu dan meyakinkan. Kebenaran akan ternoda dengan kalimah dan tulisan yang kesat atau celupar dan berbau fitnah.


Keempat
: Tulisan yang bertanggungjawab ialah yang diketahui siapa penulisnya. Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredebiliti untuk dipercayai dan diyakini.


Kelima
: Penulisan menggambarkan karektor penulis. Penampilan gaya dan cara penulisan yang tenang, ceria, jelas dan benar akan membawa pembaca merujuk kepada kehebatan peribadi penulis. Lantaran itu, menulislah dengan jiwa yang tenang dan nurani yang suci nescaya tulisan itu akan meresap dengan tenang ke segenap jiwa pembaca dan membawa ketenangan kepada semua.


2. Ramai penulis mutaakhir ini selain terjebak sebagai penulis upahan untuk menjuarai kepentingan tertentu, terdapat juga penulis picisan yang tidak punya matlamat dalam menulis kecuali menabur fitnah dan menyalakan api permusuhan. Mereka langsung tidak memiliki etika penulisan bahkan tiada juga adab dalam menulis.


3. Mereka menulis seolah-olah mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan implikasi atau risiko yang bakal tercetus gara-gara tulisannya.
Mereka hanya mementingkan diri sendiri untuk mencapai sebuah kepuasan yang tidak pasti benar atau salah. Penting bagi mereka ialah puas. Mereka tidak peduli kadang-kadang sahabat handai dan rakan taulan sendiri remuk rendam perasaan angkara tulisannya.


4. Hati-hatilah sahabat sekelian, dalam kita menulis di sana
terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum kita publish sesuatu tulisan itu. Asasnya ialah bertanggungjawab terhadap tulisan tersebut dan ianya bertunjangkan kebenaran fakta dan nas.


5.
Berjiwa besarlah justeru tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa, jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan. Maka tulislah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik.


Pun begitu, sabarlah!
Terkadang tulisan yang baik dan benar ini akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi blogger seperti mereka yang penuh dengan hasad, fitnah, kata-kata kesat dan celupar serta sumpah seranah.


Petikan tulisan Ustaz Nasaruddin Tantawi

Selasa, Ogos 11, 2009

YANG ALLAH SURUH BUAT DAN YANG MANUSIA BARU TERFIKIR NAK BUAT

Bila timbul isu H1N1, ahli perubatan meminta kita menjaga kebersihan. Tangan kena selalu dibasuh. Kalau kita ikut amalan Islam, kan kita dah bersih. Bukan sekadar berseh, tapi suci. Caranya? dengan berwudhuk. Bukan sekadar basuh tangan, bahkan berkumur, basuh hidung, muka, kepala, telinga, kaki....
Bila timbul isu H1N1, ramai yang suka pakai mask (topeng keselamatan) bagi menapis udara yang bakal disedut ke dalam paru-paru. Dibimbangi, udara berkenaan mengandungi kuman dan virus yang boleh mendatangkan penyakit. Maka udara itu perlu ditapis....
Ikut Islam, lebih cantik dan lebih selamat pakai purdah. Khususnya bagi orang perempuan. Aurat tertutup dengan sempurna, maruah terpelihara, keselamatan terjamin, penyakit dijauhi....
Bila timbul isu H1N1, dah mula ada yang pergi jumpa bomoh. Jampi sana jampi sini. Maka dibuatlah upacara menjampi dan memuja minta dijauhkan penyakit dan wabak.
Bukankah di dalam Islam, Nabi SAW mengajar supaya selalu berdoa. Nak makan baca doa, nak tidur baca doa, nak jalan baca doa, naik kenderaan baca doa, nak ke tandas pun ada doanya.... Subhanallah... Alangkah cantiknya Islam.


Beberapa amalan untuk elak H1N1:
1. Sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk. Kalau batal, segera ambil wudhuk semula.

2. Banyakkan berdoa sebelum melakukan apa-apa sahaja pekerjaan:
باسم الله الذى لا يضر مع اسمه شيء فى الأرض ولا فى السماء وهو السميع العليم
3. Sebelum tidur, tadah tangan, tiup tapak tangan dan baca:
سورة الإخلاص - سورة الفلق - سورة الناس
Sapu ke seluruh tubuh. Ulang perbuatan di atas 3 kali.



* Minta maaf kepada tuan punya gambar di atas. Semuanya hanya gambar hiasan yang saya kutip dari internet. Mohon dihalalkan. Sekadar untuk lebih penghayatan mesejnya.

H1N1: ANTARA YANG TUTUP DAN YANG PATUT TUTUP



Rakyat Malaysia dan penduduk dunia kini sedang trauma dek kejutan serangan H1N1. Biarpun diperingkat awal, ada pihak yang berkata, "Kita memberi jaminan, Malaysia akan terselamat daripada wabak HiNi," namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Hingga semalam (10 Ogos) Kementerian Kesihatan telah mengesan 1983 di Malaysia dengan 32 kematian. Sudah banyak sekolah yang 'tutup', Universiti juga 'tutup'. Banyak acara yang menghimpunkan orang ramai dibatalkan.

Majlis Khatam Al Quran Sekolah-sekolah j-QAF di Pahang ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti. Sekolah tadika dan pra sekolah juga banyak yang menangguhkan pengajiannya.

Minggu lepas, adik saya menghubungi dari Kuantan bahawa dia terpaksa pulang ke kampung kerana UMP 'tutup'. Seminggu dia cuti.

Semalam pula, Ustaz Khairul Azmi, Mudir Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan menghubungi saya dan meminta saya pergi ke sekolahnya untuk menjemput pulang anak sulung saya. Katanya, "Sekolah terpaksa di'tutup' sebab dah ramai yang demam."

Tanpa mengesyaki sesuatu, saya terus memecut 130km ke Kuantan untuk mengambil anak saya. Sampai di sana saya lihat hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi pelajar yang belum pulang. Tiba-tiba anak saya keluar dari asrama dengan membimbit beg dengan muka yang sembab, mata bengkak dan wajah yang suram.

"Baru bangun tidur ke?" Ujar saya. "Demam," jawabnya ringkas. Rupa-rupanya anak saya adalah pelajar ke 18 yang demam di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Dalam perjalanan pulang, saya terfikir betapa hebatnya kuasa Allah. Segagah-gagah manusia mereka perlu akur kuasa Allah. Sebesar-besar 'U' mereka terpaksa tutup, bila datang ketentuan Allah.

Saya teringat kembali, pada sebelah paginya, saya berucap di perhimpunan pagi, menggalakkan murid-murid supaya memakai topeng keselamatan. Dengan kata lain, saya pun menyuruh murid menutup mulut dan hidung. Bukan sekadar sekolah dan universiti yang tutup, mulutpun kena tutup juga.

Tapi yang manusia terlupa, kenapa tidak tutup pusat maksiat dan mungkar. Kenapa tidak tutup kedai judi dan nombor ekor. Kenapa tidak tutup kepala. Kenapa tidak tutup aurat.

Kenapa tidak tutup keaiban orang lain. Kenapa tidak tutup mulut dar ghibah. Kenapa tidak tutup pusat judi dan kasino yang terletak hanya sekitar 40km dari rumah saya. Beberapa hari lagi akan diadakan sambutan Hari Kebangsaan. Belum pasti bagaimanakah corak sambutan tahun ini. Adakah terus kekal dengan konsert dan pergaulan bebas seperti tahun-tahun sudah....

Sewajarnya difikirkan bersama.


Sabtu, Ogos 08, 2009

PENJELASAN QARDHAWI TENTANG NISFU SYA'BAN


Bulan Sya’ban adalah salah satu bulan utama dalam Islam. Rasulullah SAW memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain. Diriwayatkan bahawa selain Ramadhan, baginda SAW tidak pernah berpuasa penuh dalam bulan lain selain daripada bulan Sya’ban.


Bulan Sya’ban juga dikatakan bulan yang mencatat sejarah pengalihan arah qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Baitullah di Makkah.


Cuma persoalan yang sering diajukan oleh banyak pihak ialah berkenaan amalan membaca Yasin 3 kali pada malam Nisfu Sya’ban dan mengkhususkan doa panjang umur, murah rezeki dan mati dalam iman.


30 Julai lalu, Dr Yusuf Al Qardhawi ditanya mengenai hukum beramal dengan doa Nisfu Sya’ban serta sejauh mana kesahihan riwayat mengenai kelebihan Nisfu Sya’ban.


Dalam laman webnya, Qardhawi menjawab:


“Saya teringat sewaktu kecil, saya sering mengikuti (taqlid) orang ramai pada malam Nisfu Sya’ban bersembahyang dua rakaat untuk mohon panjang umur, dua rakaat lagi untuk mendapatkan kekayaan (murah rezeki) dan membaca surah Yasin. Sesudah itu kami solat lagi 2 rakaat dengan hajat yang lain pula...”


“Mengenai malam Nisfu Sya’ban ini, tidak ada satu hadith pun mengenainya yang mencapai taraf sahih. Ada juga beberapa hadith yang ‘dihasankan’ oleh sesetengah ulama’. Namun sebahagian yang lain menafikan kesahihannya... Kalaupun ia bertaraf hasan, maka sewajarnya ia diisi dengan doa dan istighfar kepada Allah.”


Qardhawi mengingatkan Qaedah Fiqh berkenaan ibadat yang menyebut, الأصل في العبادات، الحظر ‘Asal pada ibadat adalah dilarang (selagi mana tidak ada dalil memerintahkan supaya ia dilakukan).’ Justeru manusia tidak ada hak untuk menentukan bagaimana cara seharusnya mereka beribadat kepada Allah. Yang menentukan cara beribadat hanyalah Allah. Maka jika tidak ada dalil yang sahih, maka ditolak.


“Adapun bacaan doa yang dikhususkan pada malam tersebut, yang biasa dicetak dan diedarkan kepada orang ramai di pelbagai negara, sebenarnya ia tidak ada sebarang riwayat (daripada Rasulullah SAW). Doa itu tidak ada asalnya, salah dan bercanggah dengan nas serta tidak dapat diterima oleh akal.”


Qardhawi seterusnya menolak doa berkenaan kerana ayatnya bercanggah dengan hakikat sebenar. Disamping itu, olahan ayat-ayat dalam doa berkenaan tidak mengikut adab berdoa yang diajar oleh Islam yang memerlukan penjazaman permohonan.


Antara adab berdoa, seseorang itu tidak boleh sandarkan doa itu kepada masyi’ah (المشيئة) dan syartiyyah (الشرطية) dengan maksud, “Jika Engkau,” “Kalau Engkau...” Jika terdapat lafaz seumpama ini, maka jelas ia doa yang bercanggah dengan adab-adab doa dalam Islam.


Qardhawi turut memetik hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu berdoa, mohonlah dengan bersungguh-sungguh (jazam). Janganlah seseorang kamu berkata, “Wahai Tuhan, ampunkanlah aku jika Engkau mahu...”


Pada akhir jawapannya, Qardhawi menyeru umat Islam supaya melazimkan diri dengan doa yang warid daripada Rasulullah SAW serta doa-doa ma’thur kerana doa yang direka-reka oleh manusia biasa, sering berlaku kesilapan dan kekurangan, bahkan ada yang menyeleweng terus dari Islam.


Ia juga bukanlah lebih afdhal daripada doa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sedangkan beramal dengan doa yang warid itu bakal mendatangkan pahala dari dua arah; pahala mengikuti sunnah dan pahala zikir/doa.


Untuk keterangan lanjut boleh kunjungi web Dr Yusuf Al Qardhawi dengan mengklik di sini....




Khamis, Ogos 06, 2009

Al Waqtu Kas Saif...

Hampir sebulan saya tak update blog. Agak sibuk sikit bulan ni. Setengah orang, bila sibuk macam ni dia kata, "Tak ada masa..."

Sebenarnya bukan tak ada masa. Allah bagi masa kepada semua manusia dengan kuantiti yang tepat dengan keperluan manusia itu. Tapi kita sendiri yang tak pandai menguruskan masa.

Orang Arab kata, الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك 'Masa seumpama pedang, jika engkau tidak potongnya, ia akan memotongmu.'

Dalam tempuh ini juga beberapa perkara telah berlaku. Saya dihubungi oleh beberapa orang sahabat lama yang sudah terputus hubungan sejak sekian lama. Saifudin Ngah, Rosmawati Abd Rahman, Jamaluddin Hj Muhammad dan lain-lain.

Kini saya dapat rasakan betapa cepatnya masa berlalu. Rupa-rupanya sudah 19-20 tahun saya tidak bertemu dengan mereka. Betapa ruginya saya tanpa menghasilkan sesuatu yang hebat. Rasa masih baru lagi meninggalkan alam kanak-kanak. Sedar tak sedar, anak saya sendiri sudah hampir meninggalkan alam kanak-kanaknya pula. Itulah kehidupan.

Akan tiba suatu hari nanti, saya akan pergi meninggalkan alam ini, seperti mereka yang telah lama pergi. Sudah ramai rakan-rakan seusia saya pergi ke alam barzakh, walaupun dalam usia yang masih muda. Ada yang meninggal kerana sakit kronik, ada yang kemalangan jalan raya, ada yang terkena 'peluru sesat' dan berbagai-bagi ragam lagi.

Mati ada berbagai-bagai cara, tapi hakikat yang pasti hanya SATU.
Iaitu semua manusia akan MATI.

Nak mati, kita akan mati.

Tak nak mati, pun kita akan pergi....