Jumaat, Disember 17, 2010

PERISTIWA DALAM BULAN MUHARRAM

Terdapat banyak catatan sejarah berkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram, khususnya pada 10 haribulan. Antaranya:

1. Nabi Adam bertaubat.
2.
Nabi Idris diangkat ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan setelah berlayar dalam banjir selama 6 bluna.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan dari api Namrud.
5. Allah turunkan Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub sembuh dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan

10. Nabi Musa membelah laut.
11. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
12. Nabi Isa diangkat ke langit.


Selasa, November 09, 2010

Amalan di bulan ZULHIJJAH

Berikut adalah antara beberapa amalan yang sangat digalakkan supaya dilaksanakan dalam bulan Zulhijjah ini:

1. Membaca Quraan
2. Berpuasa
3. Solat bjamaah dan solat sunat
4. Taubat nasuha
5. Banyak berdoa
6. Menghubung silaturrahim, taat ibubapa 7.Buat baik pada makhluk Allah
8. Sedekah
9. Banyak zikir tasbih, tahmid, takbir, tahlil dll
10. Menjaga anggota bdn dr melakukn pkra haram (lidah,mata,telinga, kemaluan)
11. Puasa hari Arafah(9zulhijjah).

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasululah SAW bersabda:

"Tiada amalan soleh pd hari-hari 10 yg lebih afdhal (banyak pahala) daripada hari ini (1-10 Zulhijjah) lalu shabat RA btanya: Walaupun berjihad fi sabilillah? Sabda Nabi: Walaupun berjihad fi sabilillah kecuali sesorg yg keluar berjihad dengan diri dan hartanya tanpa ia kembali (mati syahid)." (HR Bukhari.no 969)

Isnin, November 08, 2010

Apa Ada Pada Multaqa

Bunyinya hebat... Multaqa...

Ia agak baru dalam negara kita. Dulu kita biasa dengan kalimah muktamar, syura, muzakarah, ijtima' dll.

Kalau tak silap saya, kalimah multaqa ini dimasyhurkan oleh Nakhaie Ahmad. Beliau menganjurkan multaqa ulama' Malaysia sebagai pesaing kepada Persatuan ulama' Malaysia (PUM).

Mendengar ungkapan MULTAQA... Bunyinya hebat. Asalnya ia hanya ungkapan Arab yang membawa maksud pertemuan beberapa pihak. Namun setelah dimedialisasikan dan diadvertise sebegitu rupa, maka ia nampak sangat formal.

Ia menggambarkan pertemuan dan percambahan pemikiran yang disertai oleh para cendekiawan dan ulama'. Ia bagaikan kalimah keramat yang menggambarkan kematangan, keilmuan dan hikmah.

Namun bila Multaqa Guru-guru Agama pada hari ini, saya rasa sangat hampa. Program dimulakan dengan ceramah oleh Shamsuddin Moner, pengurus besar operasi YADIM. Tajuknya canggih, "Cabaran Umat Islam Dalam Pembangunan Ummah."

Namun isinya langsung tak ada kena mengena dengan tajuk. Ia lebih ke arah bermain dengan sentimen politik kepartian. Menghentam setengah pihak dan mengampu pihak yang satu lagi.

Dengan memainkan semangat keMelayuan dan kebangsatan bangsa Melayu di zaman penjajah, guru-guru agama cuba diheret untuk turut seiring dengan penubuhan Umno pada 1946.

Kaedah penyampaiannya dengan lagak seorang penceramah kempen pilihanraya kecil amat tidak sesuai dengan statusnya sebagai seorang yang memegang ijazah kedoktoran.

Diselang seli pula dengan lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam kursus BTN, guru-guru agama ini diarahkan berdiri dan menyanyi bersama penceramah.

Tidak puas hati dengan pendekatan penceramah, kelihatan beberapa orang ustazah merungut di belakang dewan. "Kalau kami tahu begini, baik tak payah datang. Banyak lagi kerja nak kena buat."

Para ustaz pula seorang demi seorang bangun dan keluar dewan. Hingga akhirnya bilangan mereka yang melepak di kedai mamak berhampiran kelihatan lebih ramai dari yang setia duduk di dalam dewan hingga akhirnya.

Sepatutnya Multaqa seumpama ini dimanfaatkan oleh guru-guru agama untuk bermuhasabah, berbincang pelbagai perkara berkaitan pendidikan. Terlalu banyak isu-isu dalam Pendidikan Islam yang perlu diselesaikan.

Isu KSSR yang bakal dimulakan tahun hadapan, isu ketidakcukupan waktu untuk aktiviti tasmik, bestari solat dan lain-lain.

Multaqa ini juga sepatutnya dijadikan medan membincangkan masalah ribuan pelajar sekolah menengah yang tidak tahu membaca Al Quran, yang tidak solat dan terlibat dengan pelbagai masalah sosial.

Malangnya ini tidak berlaku. Multaqa hanya tinggal multaqa...

Khamis, Oktober 14, 2010

KONSERT YAHUDI DI BUKIT JALIL MALAM INI

Sekali lagi saya malas nak ulas isu yang ditimbulkan. Sudah banyak pihak buat bantahan terhadap Konsert Raja Gay baru, Adam Mitchel Lambert di Stadium Bukit Jalil malam ini (14 Oktober 2010).

Dah menyampah nak sebut betapa umat Islam perlu menghormati bulan-bulan Haji. Ketika Tabung Haji sibuk menghantar jemaah Haji ke Makkah, ada pula pihak lain yang dok sibuk menguruskan pentas, menyediakan penginapan, menyediakan tiket, memasang sound system dan sebagainya sebagai persediaan menyambut budak San Diego itu. Jangan lupa, malam konsert ini ialah malam Jumaat, penghulu segala hari dalam Islam. Malam umat Isam biasanya mengadakan majlis bacaan Yasin di masjid dan surau.

Malas dah nak cadangkan konsert alternatif seperti konsert Maher Zain yang seusia dengan Lambert di Shah Alam. Dah berbuih mulut ulama' memberikan panduan mana satu hiburan yang dibenarkan dalam Islam dan mana satu hiburan yang mengundang kutukan Allah, para malaikat dan seluruh makhluk.

Puas dah berforum bincang hiburan alternatif yang mendidik jiwa. Teringat saya beberapa tahun lalu apabila UM menjemput saya sebagai salah seorang panel forum membincangkan hiburan dan muzik dalam Islam. Forum itu sempena pesta konvo. Dalam dewan kami berforum. Di luar dewan mereka berhibur. Untuk apa jemput kami berforum? Sekadar nak penuhkan ruang tentatif program.

Bukan baru konsert bodoh di UM tu. Sejak zaman Ust Ridwan M Nor, pihak UM dok berhambat dengan siswa siswi yang membantah konsert liar. Sudah puluhan pelajar dipukul dengan belantan polis, digari dan ditangkap hanya kerana mereka menentang perkara mungkar di halaman U.


Kenalkah anda siapa Adam Lambert? Bekas juara American Idol ini adalah seorang Yahudi yang dilahirkan di Indiana pada tahun 1982. Majalah The Times mengisytiharkannya sebagai artis Amerika pertama yang tampil dengan imej gay.

Beliau bukan seorang Yahudi biasa. 'Kenajisan'nya bukan hanya kerana beliau membawa imej pondan jadian. Bahkan beliau seorang yang mendokong perjuangan Zionis yang menindas umat Islam Palestin.

Beliau pernah ke Palestin pada tahun 2005 untuk menyanyi di majlis memperingati kematian Yitzak Rabin. Lambert ketika itu menyanyikan lagu "Shir LaShalom" yang merupakan lagu yang sedang dinyanyikan oleh Yitzhak Rabin ketika beliau dibunuh.

Dia turut terlibat dalam penerbitan album muzikal Yahudi The Ten Commandments: The Musical yang memaparkan propaganda Yahudi sejak zaman Firaun di Lembah Nil dan Semenanjung Sinai. Lambert memegang watak Joshua dalam filem tersebut.

Lambert juga dikira sebagai seorang Tok Lebai Yahudi kerana sering terlibat dalam upacara keagamaan Yahudi seperti sambutan Yom Kippur di kuil Arts di San Diego dan lain-lain.

Semalam beberapa stesen TV di Malaysia menyiarkan sedutan konsert budak tu yang diadakah tah kat mana tak tau. TV Malaysiapun turut sama menanam saham tolong promot konsert tu... Persembahannya cukup kurang ajar. Dengan gaya seorang gay yang sedang meraba dada hingga ke bawah perut seorang perempuan yang 'berpakaian tetapi telanjang'.

So, apa nak tunggu lagi wahai Puspal. Kalian diberi amanah dan digajikan untuk menapis kemasukan artis luar negara ke Malaysia. Takkanlah tak tahu maklumat yang disenaraikan di atas. Dengan sekali taip nama Lambert, berjuta maklumatnya akan keluar dalam Google.com. Takkan tu pun bongok sangat tak reti buat.

Sori la.... bahasa agak kasar kali ini.... mungkin juga dianggap bahasa yang biadab. Tapi rasanya, memang bongok orang yang menganjurkan, meluluskan dan menghadiri konsert biadab di Bukit Jalil malam ini.



Selasa, Oktober 12, 2010

AHMAD MASLAN, MARILAH ZIARAH LADANG KAMI

Ucapan Ahmad Maslan baru-baru ini menggambarkan tiga, perkara. Pertama, hanya FELDA sahaja yang reti urus ladang, tanam sawit, getah, membaja, meracun menuai hasil dan memasarkannya.

Kedua, peneroka FELDA tak reti, bodoh dan tiada ilmu tentang pengurusan ladang, tak tahu cara tanam sawit, getah. Bahkan peneroka tak pandai membersihkan ladang, peneroka hanya membiarkan ladang mereka ditumbuhi semak samun, membiarkan babi berkampung di celah-celah batang sawit. Lebih teruk lagi, peneroka yang sudah lebih 30 tahun menguruskan ladang itu juga tak tahu bagaimana nak mengatasi masalah babi, ular sawa dan kumbang.

Ketiga, peneroka dilabel sebagai golongan yang tidak pandai menguruskan wang. Pantang dapat wang, mereka akan enjoy. Tindakan peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah disifatkan sebagai menyalah gunakan wang simpanan tabung tanam semula mereka.

Saya tidak berminat untuk membuang masa menjawab tohmahan-tohmahan ini. Namun secara jujur, Ahmad Maslan perlu turun sendiri ke tanah rancangan Felda tanpa diiringi oleh pegawai Felda atau pengerusi JKKR. Secara peribadi saya mempelawa Ahmad Maslan menziarahi ladang getah ayah saya yang bersih dan subur di Jengka. Ahmad Maslan perlu saksikan sendiri dengan biji matanya kolam ikan seluas 50 X 70 kaki di tengah-tengah ladang itu. Saya mempelawa Ahmad Maslan menikmati jagung rebus dan pisang bakar yang menjadi hasil titik peluh bapa dan ibu saya di tengah ladang berkenaan. Saya ingin mempelawa Ahmad Maslan memegang pisau toreh dan menoreh pokok getah bapa saya dan memegang cop sawit untuk mengecop buah sawit bapa saya yang telah banyak berjasa.

Saya mempelawa Ahmad Maslan meluangkan sedikit waktu singgah sebentar ke rumah bapa saya untuk membelek-belek paysheet Felda yang disimpan oleh bapa saya selama 30 tahun dan dibandingkan dengan penyata-penyata penghantaran sawit ke kilang serta resit jualan getah bapa saya.

Saya juga ingin berpesan kepada Ahmad supaya membawa mesin kira untuk mengira jumlah pendapatan bapa saya sejak mula pokok getah dan sawit mengeluarkan hasil. Saya juga ingin saudara Ahmad membelek-belek album saya, album ibu dan adik-adik serta abang dan kakak saya. Betapa hasil tanam semula secara persendirian bapa kami telah membawa kami ke seluruh pelusuk dunia. Hampir ke semua adik beradik kami sudah berpeluang ke luar negara.

Sawit dan getah tanam sendiri itu telah berjaya menghantar ibu saya ke Makkah untuk menunaikan umrah pada 2007 bersama anak dan cucunya. Sawit dan getah itu juga telah menghantar kami adik saya ke Syria, Jordan, Arab Saudi, Yaman, Aceh dan Kemboja dalam pelbagai misi. Adik-adik yang belajar di Jordan, Syria dan Aceh dapat belajar dengan baik dengan wang poket hasil daripada getah dan sawit tanam semula sendiri ini. Bahkan pada tahun lalu, kami sekeluarga berpeluang menziarahi adik yang sedang belajar di Aceh.

Silalah berkunjung ke rumah jiran-jiran kami yang turut mengusahakan sendiri ladang getah dan sawit mereka. Saksikanlah bagaimana mereka berjaya menghantar anak-anak mereka ke universiti dalam dan luar negara, mereka menunaikan umrah bagaikan orang KL yang sering berkunjung ke tanah suci.

Saya khabarkan semua ini bukan untuk berbangga, kami duit banyak. Tetapi untuk menangkis bedilan peluru penabur Ahmad Maslan kononnya peneroka yang tanam semula secara sendiri tidak berjaya, ladang terbiar dan 'kuasa pemerentahannya' diserah kepada babi, kumbang dan ular sawa. Kita sememangnya diajar supaya merendah diri. Tetapi kadang-kadang keangkuhan seseorang perlu dijawab dengan nada yang kelihatan angkuh.

Sekali lagi saya mempelawa Ahmad datang ke Jengka untuk saksikan semua ini dan seterusnya bandingkan dengan ladang peneroka yang menyerahkan kepada Felda untuk diuruskan. Jangan lupa, setelah disaksikan semua itu, Ahmad boleh pulang ke KL dan singgah di Jalan Semarak, sebelah UTM, tempat saya pernah menuntut ilmu suatu waktu dahulu. Buat apa di situ?

Ahmad pergilah ke ibu pejabat Felda itu dan bukalah fail hutang peneroka Felda yang tanam semula dengan Felda. Nilailah sudah setinggi mana hutang peneroka yang rata-rata sudah berusia 65 tahun ke atas itu. Adakah sempat hutang ratusan ribu ringgit itu dilunaskan sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.

Opps... Terlupa pula. Ketika sampai di tanah rancangan, Ahmad jangan lupa bertemu dengan sub-cont yang dapat kerja membersihkan ladang. Ajak mereka pergi ke ladang yang mereka 'bersihkan'. Atau suruh mereka berlakon membersihkan ladang, walaupun selama ini mereka kerja sambil lewa. Suruh mereka kutip buah relai, walaupun selama ini buah relah hanya menjadi santapan burung, tikus dan ular sawa. Suruh mereka potong pelepah sawit yang menjulur ke bawah membalut batang kerana sudah lama tidak dipotong.

Jangan lupa wahai Ahmad, tanya sub cont itu berapa banyak RM yang mereka dapat, berpa banyak yang pengerusi JKKR dapat. Bagaimana bayarannya, adakah tepat waktu atau tertangguh-tangguh hingga menyebabkan mereka malas nak bersihkan ladang Felda.

Ahmad juga perlu bertemu dengan pengurus Felda di tanah rancangan dan tanya mereka sudah berapa ramai peneroka yang tanam dengan Felda bertindak merampas balik ladang mereka setelah tidak berpuas hati terhadap cara ladang mereka diurus. Tanya mereka kenapa peneroka ini bertindak membuat report polis dan seterusnya merampas ladang mereka sendiri dari pengurusan yang mereka dakwa membiarkan ladang mereka semak dan tidak memungut hasil secara bersistematik.

KESIMPULAN

Sesungguhnya amat membuang masa jika saya menjawab dalam blog ini terhadap tuduhan Ahmad Maslan. Tetapi sekiranya beliau menerima jemputan anak peneroka ini, semuanya akan terungkai.... Dan ketika itu Ahmad wajib membuat satu sidang media dengan hanya 7 kalimah, ''Saya tarik balik tuduhan saya kepada peneroka.''

Saat itu, saya akan berkata, ''Saya maafkan awak wahai Ahmad Maslan.''











Ahad, Oktober 10, 2010

Fenomena MAHER ZAIN


Secara tiba-tiba dunia dikejutkan dengan kemunculan budak Arab Sweden yang mampu menarik minat jutaan manusia terhadap suaranya. Maher Zain, anak kelahiran Lubnan berusia 28 tahun itu mencatat kedudukan nombor satu dalam Carta Amazon‘s World Music dan nombor sembilan dalam Carta R&B.

Sehingga jam 10 pag ini (10.10.2010) lagu "Insya Allah" versi muzik video di Youtube ditonton oleh 2.34 juta pengunjung. Konsert Maher diberi sambuatan sangat luar biasa sambutan hebat di Algeria, Australia, Belgium, Kanada, Mesir, England, Perancis, Belanda, Sweden dan Amerika Syarikat. Kebolehannya menggabung jalin beberapa bahasa di dalam liriknya dengan gaya sebutan yang menarik antara penyebab belia cepat diterima.

Malaysia tidak ketinggalan dilanda "demam Maher". Nama Maher tidak terlepas menjadi sebutan masyarakat. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tidak kira golongan lelaki atau wanita asyik bercerita tentang lelaki ini. Cerita tentang Maher menjadi antara topik perbincangan utama dalam laman sosial facebool, twiter dan lain-

Penghasilan album sulungnya, Thank You Allah didorong satu penghijrahan besar dalam dirinya yang sebelum ini bukanlah seorang muslim yang taat pada agama.

“Tiga tahun lalu, hidup saya terlalu jauh dengan Allah S.W.T akibat terpesong dengan cara hidup sosial yang terlalu bebas apabila sering mengunjung kelab malam.

“Hinggakan saya terus hanyut dan menjadi alpa sehingga lupa bagaimana membaca surah Al-Fatihah sebelum dibukakan hati ini untuk berubah dan kembali ke jalan benar.

“Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menebus dosa-dosa silam dengan mencari rakan yang tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sering pergi ke masjid,” katanya dengan penuh kesedaran.

Namun tegas Maher, pada masa sama dia tidak boleh melupakan bidang muzik sebagai salah satu medium untuk menyampaikan mesej-mesej positif kepada orang lain agar mereka tidak terpesong seperti mana yang dilaluinya sebelum ini.

Malangnya ketika Maher bakal membuat persembahan di Shah Alam dengan tema Terima Kasih Allah, di Bukit Jalil pula si Yahudi Gay dijemput membuat persembahan kurang ajarnya di sana. Adam Lambert, Yahudi yang terlibat memerangi umat Islam Palestin diberi kebenaran berkonsert pada malam berkenaan....

Rabu, Oktober 06, 2010

MEREKA YANG PALING DAHSYAT MEMUSUHI ISLAM

Malam ini kuliah di Masjid Ketari (Masjid Tengku Sulaiman Bentong). Setelah hampir 6 tahun membaca tafsir di situ, maka pada malam ini akan bermulalah tafsiran ayat pertama dari juzuk ke 7, iaitu ayat 82 hingga 86 Surah Al Maidah.


Ia merupakan ayat-ayat yang sangat penting dalam membicarakan tentang permusuhan dan persahabatan kaum lain dengan umat Islam. Dalam ayat 82, Allah menjelaskan bahawa golongan yang paling dahsyat dalam memusuhi orang-orang yang beriman ialah kaum Yahudi dan golongan musyrikin.


لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا


Demi sesungguhnya kamu akan dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang mensyirikkan (Allah).”

Sememangnya kejahatan golongan Yahudi tidak ada tolok bandingnya dalam catatan sejarah. Bermula dengan pendustaan mereka terhadap nabi-nabi Allah yang diutus dari kalangan bangsa mereka sendiri, hinggalah kepada usaha jahat mereka membunuh para nabi dan cubaan-cubaan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.


Ibnu Murdawaih meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW pernah bersabda: ما خلا يهودى بمسلم قط إلا همّ بقتله “Apabila seorang Yahudi bersama dengan seorang Islam, maka pastinya dia akan berazam untuk membunuh orang Islam itu.”


Mereka juga telah mengkhianati perjanjian yang mereka buat dengan Nabi SAW ketika mendirikan kerajaan Islam Madinah. Mereka bekerjasama dengan kaum Musyrikin untuk memerangi Nabi dan umat Islam di Madinah. Peperangan Ahzab (Khandaq) menyaksikan pengkhianatan paling nyata.


Para mufassirin menyatakan bahawa sepanjang dakwah Rasulullah SAW, baginda terpaksa berhadapan dengan musuh yang paling jahat dan paling kuat mengganggu baginda iaitu Yahudi di Madinah dan kaum musyrikin di Makkah dan Taif.


Seterusnya Allah menjelaskan bahawa golongan yang paling baik dan mesra dengan orang-orang yang beriman ialah kaum Nasara.

وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى


“Dan kamu akan dapati golongan yang paling dekat mawaddahnya dengan orang-orang beriman ialah mereka yang berkata, sesungguhnya kami adalah kaum Nasara...”


Ini adalah kerana mereka mendapat bimbingan daripada para ulama’ mereka yang digelar sebagai Qissisin dan para ahli ibadat yang dikenali sebagai Ahbar yang sentiasa merendah diri. Mereka adalah pengikut Nabi Isa yang berpegang kepada Injil. Hati mereka sangat mulia menyebabkan apabila mereka mendengar perkhabaran Al Quran mengenai Isa AS, mereka bisa menitiskan air mata. Mereka lantas berikrar menyatakan keimanan kepada Allah serta berazam untuk menjadi orang-orang yang soleh (ayat 83 dan 84).


Atas dasar ini, maka Islam menetapkan jika berlaku peperangan antara orang Islam dan Kristian, maka tidak dibenarkan merobohkan gereja dan rumah ibadat mereka. Memusnahkan rumah ibadat hanya akan meningkatkan permusuhan, kebencian dan dendam kesumat. Sebaliknya apabila dihormati rumah ibadat mereka, mudah-mudahan akan terbuka pintu hati mereka untuk menerima Islam.


Ini yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Apabila tawanan Kristian diberi layanan yang baik, akhirnya mereka secara sukarela memeluk Islam, termasuk anak kepada ketua mereka yang terbunuh iaitu Adi bin Hatim At To’i.


Kebanyakan para mufassirin berkata, ayat-ayat ini turun menceritakan perihal Ashamah yang menjadi raja Habasyah dengan gelaran Najasyi. Baginda memberi layanan yang baik kepada para sahabat Rasulullah SAW yang meminta suaka politik daripadanya. Apabila Jaafar bin Abi Talib membaca surah Maryam di hadapannya, Najasyi menangis dan turun dari singgahsananya.


Said bin Jubair berkata, Najasyi mengutus 30 orang pembesarnya bertemu dengan Rasulullah SAW. Apabila baginda membaca surah Yasin di hadapan mereka, mereka menangis dan berkata, “Hampir-hampir sama ayat-ayat ini dengan apa yang diturunkan kepada Isa.”


Imam At Tabari berkata, ayat-ayat ini bukan sahaja untuk Najasyi, bahkan semua golongan Nasara yang baik dan yang menerima Islam.



َتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ {5/82} وَإِذَا سَمِعُواْ مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ {5/83} وَمَا لَنَا لاَ نُؤْمِنُ بِاللّهِ وَمَا جَاءنَا مِنَ الْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَن يُدْخِلَنَا رَبَّنَا مَعَ الْقَوْمِ الصَّالِحِينَ {5/84} فَأَثَابَهُمُ اللّهُ بِمَا قَالُواْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ جَزَاء الْمُحْسِنِينَ {5/85} وَالَّذِينَ كَفَرُواْ وَكَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ {5/86}

Selasa, Oktober 05, 2010

Tulusnya Hati Sahabat

Malam tadi kuliah di Masjid Bukit Piatu. Kitab Riadhus Solihin jilid 2. Antara yang dibaca:

Dalam satu riwayat, Abu Talhah, seorang Ansar yang kaya dan memiliki hartanah yang luas. Salah satunya ialah kebun kurma yang subur dikenali sebagai kebun Bairuha'. Kebun itu menghadap Masjid Nabawi di Madinah. Di celahan rimbunan tumbuh-tumbuhan, terdapat mata air. Airnya sangat bersih dan dingin. Nabi SAW pernah berkelah di situ dan minum airnya.

Inilah hartanah yang paling disayangi oleh Abu Talhah. Namun apabila Allah menurunkan ayat, "Kamu selamanya tidak akan dapat mencapai tahap kebajikan hinggalah kamu menginfaqkan barang yang kamu sayang..." lantas Abu Talhah bertemu dengan Rasulullah SAW dan menyatakan hasratnya untuk mewaqafkan kebun Bairuha'... Kisahnya agak panjang. Tapi yang penting, pengajarannya.

Alangkah mulianya dan alangkah tulusnya hati sahabat! Turun saja satu ayat Al Quran, terus mereka menghayatinya. Mereka terus amalkan....

Dan alangkah degilnya umat akhir zaman ini. Al Quran sudah sempurna turunnya. Syariat Islam sudah sempurna dibawa oleh baginda. Namun ramai umat Islam akhir zaman ini yang berani mempertikaikan hukum Al Quran...

Jumaat, September 24, 2010

SYAWAL... DAN DARAH SYUHADA'


Bulan Syawal merakamkan peristiwa yang yang sangat penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Peperangan Uhud. Peperangan ini berlaku pada tahun ke-3H.

Sebelum itu, umat Islam yang baru 2 tahun mendirikan Negara Islam di Madinah telah mengejut dunia apabila berjaya mengalahkan pasukan tentera musyrikin yang jauh lebih kuat dan lebih besar bilangannya di medan Badar. Kekalahan kaum musyrikin pada 17 Ramadhan tahun ke 2H itu amat memalukan mereka. Perasaan sedih, malu, dendam, rasa terhina dan dihina itu menyelubungi mereka selama setahun dan akhirnya mendorong mereka merancang untuk bertindak membalas dendam ke atas Rasulullah SAW dan umat Islam di Madinah.

Mereka bertindak merampas harta-harta dagang milik saudagar Makkah untuk membiayai peperangan menentang umat Islam. Kemudian mereka meminta pemidato-pemidato serta para penyair dan artis untuk untuk meniupkan semangat menentang Islam menerusi pidato, syair dan nyanyian mereka. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil yang mereka harapkan; seramai 3,000 orang bala tentera yang lengkap bersenjata, 3,000 ekor unta, 200 ekor kuda penyerang dan 700 baju berantai berjaya dikumpulkan untuk memerangi kota Madinah Al Munawwarah. Mereka juga mengumpulkan wanita-wanita cantik untuk mengiringi dan memberikan tiupan semangat kepada tentera musyrikin.

Abu Sufyan bin Harb diangkat menjadi komandan tertinggi dengan dibantu oleh Khalid ibnul Walid dan Ikrimah Abu Jahl sebagai ketua pasukan berkuda. Manakala bendera diserah kepada Bani Abdud-Dar. Dengan pasukan yang begitu hebat, mereka bergerak menuju ke Madinah dengan begitu angkuh dan sombong untuk memerangi Allah dan rasul-Nya.

Muslimin sekalian… Di pihak umat Islam, sebaik sahaja menerima berita berkenaan, kota Madinah diletak dalam keadaan berjaga2. Setiap orang membawa senjata sepanjang masa hinggakan ketika masuk ke masjid untuk menunaikan sembahyang juga mereka membawa senjata. Tiga orang Ansar ditugaskan untuk mengawal dan menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Di waktu malam mereka bertiga tidur bersama senjata di hadapan pintu rumah Rasulullah SAW. Setiap lorong di Madinah dan jalan masuk ke kota itu dikawal rapi kerana bimbang musuh akan datang secara mengejut.

Dalam pada itu Rasulullah SAW mengumpulkan ahli Majlis Mesyuarat Tertinggi Tentera Islam untuk bermesyuarat membincangkan peperangan yang bakal meletus. Setelah mengadakan perbincangan terperinci akhirnya Rasulullah SAW menerima pandangan para sahabat supaya keluar menentang musuh di luar kota Madinah dan tidak hanya menunggu sehingga musuh masuk ke kota itu.

Rasulullah SAW kemudiannya menyampaikan khutbah Jumaat dengan penuh semangat menyeru umat Islam supaya bangun berjihad mempertahankan Islam dan kota Madinah. Ucapan berkenaan menaikkan semangat umat Islam dan penduduk Madinah. Mereka berkumpul di Masjid Nabawi menanti Rasulullah SAW dan Abu Bakar srta Umar yang sdang berada di dalam rumah baginda. Sebaik sahaja Rasulullah SAW keluar, mereka mndapati baginda sudah lengkap berpakaian perang dengan berserban dan dua lapis baju berantai serta membawa pedang. Baginda bersabda: “Tidak sepatutnya bagi seorang nabi, apabila sudah memakai baju berantai (untuk keluar berperang) lalu dia membukanya kembali. Biarlah sehingga Allah menentukan keputusan di antaranya dan musuhnya."

Seterusnya tentera Islam yang berjumlah 1,000 orang bergerak keluar daripada Kota Madinah Al Munawwarah untuk bertempur dengan 3,000 tentera musyrikin. 100 orang daripada mujahidin Islam memakai baju besi, 50 orang berkuda. Pasukan Islam turut disertai oleh beberapa orang kanak-kanak yang telah diuji kekuatan mereka oleh Rasulullah SAW. Ketika baginda membenarkan seorang kanak-kanak bernama Rafi’ bin Khadij menyertai peperangan, seorang lagi kanak-kanak bernama Samrah bin Jundub memprotes dengan katanya, “Wahai Rasulullah, walaupun saya lebih kecil daripada Rafi’, tetapi saya lebih kuat daripadanya.” Lalu Rasulullah SAW menyuruh mereka berdua beradu tenaga dan akhirnya Jundub berjaya mengalahkan Rafi’, maka Rasulullah SAW membenarkan Jundub ikut serta dalam peperangan. Demikianlah bersemangatnya umat Islam ketika itu termasuk kanak-kanak yang ingin turut serta berjihad menentang musuh Islam.

Tentera Islam kemudiannya bermalam di satu tempat bernama Syaikhan. Keesokan harinya, setelah mentari pagi menyinsing mereka dapati mereka sudah begitu hampir dengan kedudukan musuh sehingga dapat melihat antara satu sama lain. Ketika itu orang-orang munafiq pimpinan Abdullah bin Ubay yang turut serta bersama tentera Islam mula merasa takut. Di saat itu Abdullah bin Ubay dan pengikutnya telah menzahirkan sifat nifaq mereka dengan mengajak tentera Islam supaya berundur. Mereka berjaya mempengaruhi 300 orang tentera Islam untuk kembali ke Madinah. Maka tinggallah 700 orang mujahidin yang ikhlas bersama-sama Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan 3,000 tentera musyrikin.

Sebelum memulakan pertempuran Rasulullah SAW mengarahkan 50 orang pasukan pemanah pimpinan Abdullah bin Jubair naik ke atas sebuah bukit kecil di hadapan gunung Uhud untuk menghalang serangan mengejut pasukan berkuda musyrikin dari belakang. Mereka dilarang meninggalkan bukit berkenaan sehinggalah menerima arahan daripada Rasulullah SAW.

Di bawah pula baginda menugaskan pasukan Munzir bin Amru di bahagian sayap kanan dan Zubair bin Awwam di sayap kiri. Baginda kemudiannya menyampaikan ucapan memberikan semangat kepada tentera Islam. Antaranya, sambil menghunuskan pedangnya baginda bersabda, “Siapakah di antara kalian yang mahu menunaikan hak pedang ini?” Beberapa orang sahabat termasuk Umar, Ali dan Zubair bangun untuk merebut pedang Rasulullah SAW. Tetapi baginda tidak menyerahkan pedangnya sehinggalah bangun seorang sahabat yang bernama Abu Dujanah dan bertanya, “Ya Rasulullah, apakah dia hak pedang ini?” Baginda menjawab, “Iaitu kamu menggunakannya untuk menetak musuh sehingga dia menjadi bengkok.” Abu Dujanah berkata, “Sayalah yang mengambilnya dan menunaikan haknya.”

Setelah pedang itu diserahkan kepada Abu Dujanah, dia melilitkan kain merah di kepalanya dan berjalan dengan megah. Lilitan kain merah menandakan seseorang itu akan bertempur sehingga mati. Melihat kelakuan Abu Dujanah, Rasulullah SAW bersabda, “Cara berjalan seperti itu adalah dimurkai Allah, kecuali dalam keadaan seperti sekarang.”

Apabila kedua-dua pihak hampir bertembung, seorang panglima quraisy, Talhah bin Abi Talhah Al ‘Abdari tampil dengan menonggang unta mencabar tentera Islam beradu tenaga. Cabarannya disahut oleh Zubair bin Awwam yang terus melompat di atas belakang unta yang ditonggang Talhah. Talhah yang terkenal sebagai panglima quraisy yang gagah berani akhirnya mati menyembah bumi setelah dibunuh oleh Zubair dari atas belakang unta.

Rasulullah SAW yang menyaksikan perlawanan yang sangat menarik itu terus melaungkan takbir, “Allahu Akbar!” dan diikuti oleh tentara Islam. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat. Dalam waktu yang singkat tentera musyrikin menjadi begitu lemah. Seorang demi seorang pemegang bendera dibunuh oleh tentera Islam.

Para pahlawan Islam yang berbekalkan iman yang cintakan mati syahid terus memburu musuh habis-habisan laksana air bah memecah empangan. Abu Dujanah yang menerima pedang Rasulullah SAW, telah menunaikan hak pedang itu. Beliau membunuh setiap musuh yang melintas di hadapannya. Sehinggalah beliau gugur sebagai salah seorang syuhada’. Tentera musyrikin akhirnya bertempiaran lari meninggalkan segala harta yang mereka bawa. Tentara Islam sangat gembira dengan kemenangan ini dan mereka mula mengumpulkan harta yang ditinggalkan.

Saudaraku kaum Muslimin sekalian... Sesungguhnya umat Islam sering berhadapan dengan ujian apabila berada di ambang kemenangan. Harta yang ditinggalkan musuh menjadi penyebab tertewasnya umat Islam.

Apabila melihat tentera Islam di bawah sedang mengumpulkan harta peninggalan itu, 50 orang pemanah yang berada di atas bukit mula merasa resah dan mereka juga ingin mengutip harta berkenaan. Walaupun dilarang oleh ketua mereka Abdullah bin Jubair, mereka tidak mengendahkannya dan terus turun daripada bukit. Mereka lupa kepada pesanan Rasulullah SAW supaya jangan meninggalkan bukit walau apapun berlaku. Tinggallah Abdullah dan 9 orang lagi yang masih berkawal di atas bukit.

Melihatkan kelalaian ini, tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid bin Al Walid segera mengambil kesempatan dengan menyerang daripada belakang. Kesemua 10 orang pemanah yang masih tinggal di atas bukit dibunuh oleh mereka. Serangan yang tidak disangka-sangkakan oleh umat Islam ini menyebabkan mereka tidak mampu bertahan. Pertolongan Allah sudah dihentikan lantaran keengkaran sebahagian mereka terhadap hukum Rasulullah. Seorang demi seorang sahabat rebah ke bumi.

Di saat-saat genting itu Rasulullah SAW menjadi sasaran serangan musuh. Mereka mengerumuni baginda yang ketika itu hanya dikawal oleh 9 orang sahabat. Seorang demi seorang pengawal berkenaan dibunuh. Namun yang hidup terus mempertahankan Rasulullah SAW. Ada di antara mereka yang menjadikan belakangnya sebagai perisai menghalang anak panah yang dihalakan ke batang tubuh Rasulullah. Akhirnya benteng musyrikin yang melengkongi Rasulullah berjaya ditembusi oleh beberapa orang sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Ali, Abu Ubaidah, Mus’ab bin Umair dan seorang muslimah bernama Nusaibah bin Kaab. Dengan semangat kepahlawanan Islam, mereka berjaya menyelamatkan Rasulullah SAW. Kepala dan pipi Rasulullah SAW berdarah, giginya patah. Baginda bersabda, “Allah sangat murka pada hari ini kepada kaum yang melukakan muka RasulNya.” Baginda diam seketika dan kemudian bersabda:

اللهم اهد قومي فإنهم لا يعلمون
“Ya Allah, berilah petunjuk hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka melakukan demikian kerana mereka tidak mengerti kebenaran.”

Sementara Malik bin Sinan pula menghisap dan menahan darah Rasulullah SAW lalu baginda bersabda, “Sesiapa yang darahnya bersentuh dengan darahku maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka.”

Di saat cemas itu, Rasulullah SAW berjaya mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorangmuyrik yang bernama Ubai bin Khalaf. Amat besarlah azab Allah ke atas orang yang membunuh rasul dan orang yang dibunuh oleh rasul!

Peperangan ini juga menyaksikan kekejaman tentera Quraisy yang mencincang tubuh para syuhada’ yang sudah tidak bernyawa. Muka mereka dicincang dan dikelar sehingga tidak dapat dikenali lagi. Manakala bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah bin Abd Muttalib ditebuk dadanya dan dikeluarkan jantungnya untuk dimamah oleh Hindun.

Sesungguhnya peristiwa Uhud mengajar kita beberapa perkara, antaranya:

Pertama: Kemenangan umat Islam adalah bergantung kepada sejauh mana mereka taat perintah Allah dan RasulNya. Apabila mereka sudah tidak taat kepada Rasulullah SAW, maka Allah tidak akan menolong mereka.

Kedua:
Seseorang pemimpin hendaklah menghidupkan budaya musyawarah dan perbincangan bagi mengambil sesuatu ketetapan.


Ketiga:
Kecantikan wanita, seni muzik dan sebagainya sering digunakan oleh musuh Islam untuk merosakkan manusia. Ini dapat dilihat daripada tindakan kaum Musyrikin yang mempergunakan golongan ini meniupkan semangat menentang Islam.


Keempat:
Peperangan ini menyaksikan sifat mulia Rasulullah SAW. Walaupun baginda dicederakan, namun baginda masih berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah dan petunjuk kepada kaumnya yang menentangnya.

(Artikel ini adalah petikan koleksi Khutbah Jumaat saya yang diposting pada tahun 2005)
http://ibnu-ismail.blogspot.com/2005/11/iktibar-peristiwa-uhud.html





Khamis, September 23, 2010

BILA FELDA NAK DAPAT IJAZAH?


Apabila media arus perdana dan media alternatif serta media pembangkang berkelahi soal Felda Bankrap, saya sedikitpun tak berminat nak ambil tahu dan nak ulas. Tika itu, bagi saya, "Lantak kau lah Felda, kau nak untung ke, kau nak bankrap ke, suka hati kau lah. Aku dengan dunia aku, pendapatan aku tak terjejaspun. Aku tak minat nak belek fail Felda untuk tahu dia untung atau rugi!"

Saya juga tidak mengkaji, menyelidik dan menyiasat sama ada Felda untung atau rugi. Namun bagi saya yang penting ialah warga Felda. Warga Felda yang saya maksudkan ialah kami, para peneroka Felda, anak-anak peneroka (Gen2) dan zuriat mereka yang terus bermastautin di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Ketika bapa-bapa kami memohon ke tanah rancangan Felda, mereka tidak disyaratkan memiliki segulung ijazah mahupun diploma. Matlamat Tun Razak ketika itu ialah hendak memberi tanah yang mencukupi kepada rakyat yang belum bertanah supaya mereka boleh bercucuk tanam dan mendapatkan hasil yang baik untuk menyara hidup keluarga. Ini yang disebut oleh beliau dalam parlimen hingga terbentuknya apa yang dikenali sebagai Akta GSA pada tahun 1960.

Kerajaan-kerajaan negeri diminta memberikan kerjasama membenarkan para peneroka mengusahakan tanah ini, dan setelah habis Bayaran Kembali (BK) maka Felda hendaklah merekomen kepada pihak berkuasa tempatan supaya diberikan geran hak milik kepada para peneroka. (Hingga kini masih ramai peneroka yang belum menerima hak milik walaupun telah berbelas-belas tahun melunaskan BK- malas nak ulas isu ni).

KEKEJAMAN FELDA

Bapa-bapa kami dijemput ke tengah hutan rimba ini untuk menghidupkannya menjadi penempatan manusia dan ladang komoditi yang bakal memberikan keuntungan kepada negara.

Saya masih ingat dalam usia 5 tahun, setiap pagi bapa dikerahkan ke ladang untuk roll-call. Ada yang tidak sempat solat subuh kerana jika tiada waktu rollcall, maka elaun sara hidup (sebenarnya hutang) yang hanya sebanayk RM65-75 itu akan dipotong. Bagaikan buruh paksa mereka diperlakukan. Mereka patuh dan taat. Mereka diperhambakan kerana mereka bukan graduan universiti.

Pengurusan Felda berjanji sekiranya pokok getah yang mereka tanam itu besar kelak, ia akan diserahkan kepada peneroka yang menanamnya. Saya masih ingat bagaimana ratusan pokok yang diusahakan oleh ibu dan bapa saya, akhirnya diberikan kepada orang lain. Saya masih ingat bagaimana ibu saya menangis teresak-esak apabila melihat deretan pokok yang ditanamnya, dijaga, dibaja kini menjadi milik orang lain selepas sukatan dilakukan.

Bapa saya diberikan satu lot getah yang tak ada jalan masuk. Namun wang pengurusan jalan ladang tetap dikenakan kepada bapa saya (tercatat dalam pay sheet). Walaupun hanya RM10 sebulan, tetapi selama 30 tahun dipotong tanpa sebatang jalanpun yang menghubungkan ke ladang bapa saya.Kami terpaksa menelusuri teres getah orang lain untuk sampai ke ladang kami.

PENIPUAN

Setelah pokok getah dan sawit mengeluarkan hasil, peneroka Felda sangat gembira kerana selama ini mereka hanya makan wang sara hidup sahaja. Kegembiraan mereka menyebabkan Felda mengeksploitasinya untuk membuat berbagai-bagai jenis potongan yang tidak difahami oleh mereka sendiri (adakah Felda berbuat begitu kerana bukan graduan universiti?)

Dari wang potongan ini, setiap kali datang hari raya Felda akan mempersembahkan lakonan tetap tahunannya, "FELDA BERI DUIT RAYA KEPADA PENEROKA." Kami adik beradik dengan geram berkata, "Taik kucinglah Felda, duit abah tu. Bukan duit Felda!"

Ya, bapa kami tidak ada ijazah. Tapi bapa kami bukan bodoh. Bukan lembu yang boleh dicucuk hidung. Sekarang ratusan ribu anak peneroka sudah berijazah. Malangnya Felda masih lagi dengan lakonan bodohnya, "Felda bagi duit raya kepada peneroka Felda."

Tak cukup dengan pelbagai jenis potongan, Felda turut mnurunkan gred perahan kelapa sawit ke tahap yang sangat rendah. Kilang swasta biasanya boleh memberikan sehingga 22 dan 24. Tapi kilang Felda hanya memberi 18 dan 19 sahaja. Sedangkan sawit Felda adalah sawit yang berkualiti tinggi, makannya cukup, bajanya berkala, siraman hujan mencukupi hingga makmal mengesahkan ia berkualiti perahan sebanyak 26.

Dianggarkan penipuan nilai greding sekitar 6 angka yang mewakili setiap gred itu bernilai lebih kurang RM30 bagi satu tan. Jika dikurangkan 6 gred, jumlah penipuan Felda bagi setiap tan ialah RM180. Jika peneroka menghantar sejumlah 10 tan kelapa sawit sebulan, maka Felda telah mencuri wang bapa-bapa kami sebanyak RM1,800. Setahun lebih RM20,000.

Bayangkan berapa banyak wang yang sudah dicuri oleh Felda sejak puluhan tahun yang lalu dari 90,511 orang peneroka Felda. Sebab itu di para yang pertama saya katakan saya langsung tak ambil peduli kalau orang nak kata Felda Bankrap atau Felda untung. Kalau untungpun, untung dengan cara haram, dengan cara memeras hasil keringat peneroka yang tidak berijazah.

Ketika membenarkan tuntutan saman peneroka Felda Kemahang 3, hakim Datuk James Wong berkata, "Kamu (Felda) adalah bapa. Sepatutnya kamu tunjukkan perangai yang baik kepada anak-anak kamu. Tapi sekarang kamu sudah menipu anak kamu."

Adakah penipuan ini tidak benar? Adakah Felda kalah bicara hanya kerana seorang dari 7 peguamnya yang hebat-hebat tak hadir sekali dalam tempuh 7 tahun perbicaraan itu. Jika tidak benar, mengapakah sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan Felda bersalah menipu dan mengarahkan supaya membayar ganti rugi sebanyak RM 11 juta, tiba-tiba kilang Felda di Jengka serta merta menaikkan griding kepada 20-22? Takut kena saman lagi ke?

Saya difahamkan di gugusan Bera, lebih kurang 1,000 orang peneroka sudah bersiap sedia dengan afidavit masing-masing untuk menyaman Felda di atas penipuan mereka selama ini. Peneroka bukan bodoh lagi. Anak peneroka bukan lembu dan kambing yang dibutakan mata. Kami akan teruskan perjuangan membela nasib bapa-bapa kami yang ditipu oleh Felda hanya kerana bapa-bapa kami tidak berpelajaran tinggi.

Malangnya Felda masih berterusan bertindak bagaikan orang yang langsung tidak berpelajaran. Bila Felda nak dapat ijazah?


Sabtu, September 18, 2010

PETRONAS JUAL BENDA HARAM?

Saya hairan bagaimana Petronas terlibat menjual benda-benda yang membahayakan, yang bercanggah dengan undang-undang dan yang diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sudah beberapa orang pengusaha stesen minyak Petronas saya temui. Kesemua mereka mengeluh dan melahirkan rasa tidak puas hati.

Semua orang tahun bahawa kawasan pam minyak adalah kawasan larangan merokok dan mereka yang melanggar larangan ini boleh didenda. Tetapi yang peliknya bagaimana kedai Mesra di stesen-stesen minyak ini boleh menjual rokok dan pemetik apinya sekali. Bukankah ia amat berbahaya sekali. Saya masih ingat peristiwa seorang peneroka Felda yang hangus terbakar sebahagian badannya akibat disambar api rokok seorang pelanggan ketika sedang mengisi minyak. Setelah dua minggu tidur meniarap di atas katil di Hospital Mentakab, beliau akhirnya menghenbuskan nafas terakhir.

Pengusaha-pengusaha stesen minyak yang saya temui mengeluh dengan menyatakan, "Kami tak mahu jual rokok, tapi Petronas syaratkan kepada kami supaya menjual apa sahaja yang dihantar."

Saya tak faham kenapa Petronas sanggup menggadai nyawa dan keselamatan pelanggan hanya untuk mendapatkan keuntungan jualan rokok.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Petronas memaksa pengusaha-pengusaha stesen minyak supaya menjual benda haram. Ini kerana sejak 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis fatwa di beberapa buah negeri memfatwakan rokok sebagai haram. Keharaman rokok juga diputuskan oleh badan-badan berkaitan fatwa di Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain.

Sebagai sebuah syarikat yang dmiliki oleh negara umat Islam, sewajarnya Petronas membersihkan perniagaannya dan perniagaan pengusaha-pengusaha stesen minyaknya dari perkara-perkara haram dan syubhah.

Rabu, September 15, 2010

SURAT MB KELANTAN MENGENAI ISU PEMBUNUHAN SOSILAWATI

1. Saya mengucapkan takizah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosialawati Lawiya, jutawan kosmetik yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya. Dari jauh, saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia menyambut Hari Raya Idulfitiri.

2. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Selain itu, saya menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.

5. Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW. 

6. Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti.

Salam takziah dari saya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

6 Syawwal 1431H / 15 September 2010

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Selasa, September 07, 2010

KELAINAN YANG KETARA RAMADHAN KALI INI

Agak berbeza dengan tahun-tahun lepas. Kebanyakan masjid yang dahulunya tiada tazkirah kali ini sudah mula mengorak langkah menganjurkan tazkirah. Masjid Ketari umpamanya, yang biasanya mengadakan solat tarawih 20 rakaat, pada tahun ini melakukan satu penambahbaikan dengan mengundang 5 orang penceramah bagi membuat pengisian tazkirah pada 5 malam. Malam yang diadakan tazkirah solat tarawih dipendekkan kepada 8 rakaat sahaja. Selepas selesai witir, tazkirah dimulakan.

Ada juga suara ’gharib’ yang mengkiritik dengan mengatakan penganjuran tazkirah ini mengecewakan mereka yang berhasrat untuk mendua-puluhkan tarawih. Ada yang membid’ahkannya. Lebih dari itu ada yang bersuara, ”Tidak cukupkah 11 bulan yang lalu... lalu nak tambah lagi dalam bulan Ramadhan ini?” Apapun suara yang mengkritik, tak apalah. Moga Allah bagi hidayah kepada mereka.

Penggunaan teknologi terkini dalam berkomunikasi dalam bulan Ramadhan kali ini juga sesuatu yang agak menarik. Sahabat saya Saudara Azrul Azlan Iskandar Mirza yang merupakan seorang pensyarah di USIM dan menjadi imam surau Muttaqun Taman Chengal, Seremban hampir setiap hari mewar-warkan nama muzakkir (penceramah) menerusi facebook. Biarpun pengasas facebook seorang Yahudi, namun Azrul telah memanfaatkannya untuk kepentingan Islam.

Sekalung tahnuah kepada saudara Azrul yang bersungguh-sungguh menjayakan tazkirah tahun ini dengan persiapan awalnya telah dimulakan sejak dua tiga bulan lalu. Kalau tak silap saya beliau menghubungi saya untuk menempah tarikh tazkirah Ramadhan ini sebaik sahaja saya pulang radi menunaikan umrah Jun lalu.

Itu mungkin suasana masyarakat kelas pertama. Tetapi satu perkembangan menarik dalam Ramadhan kali ini bagaimana masyarakat di kampung dan di tanah rancangan Felda juga meneroka perkembangan yang sama. Sahabat saya imam masjid Felda Kg Awah, Temerloh, yang dikenali sebagai Imam Lan turut memanfaatkan blog dan facebook untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan aktiviti masjid. Pagi tadi beliau mewar-warkan di dalam facebooknya, ”Adalah dimaklumkan kpd sahabat fb sekalian, solat idil fitri 1431H bg Felda Kg Awah akan dilangsungkan jam 8.30 pagi dan dijangka ruang solat tidak dapat menampung kebanjiran jamaah yang datang. Oleh itu.....”

Kalau dahulu, pengumuman seumpama ini dibuat menggunakan pembesar suara selepas solat Tarawih atau ditaip dan ditampal pada papan kenyataan. Syabas Imam Lan Jaafar! Mantop!

Kad raya elektronik juga sesuatu yang unik bagi tahun ini. Ia sudah muncul sejak beberapa tahun lalu. Namun penggunaannya sangat ketara bagi tahun ini. Tahun lepas tiap hari saya terpaksa men’delete’ sms raya yang dikirim. Namun tahun ini hampir tiada sms seumpama itu. Tatapi peti facebook, twiter dan mail Yahoo serta gmail pula yang berserabut menerima kunjungan kad-kad ucapan selamat hari raya secara maya.

Semuanya nampak greats... dan very wonderfull... Cuma satu yang saya fikirkan, hamper kesemua platform yang digunakan ini adalah milik Yahudi. Bila agaknya umat Islam dapat disatukan di bawah satu platform sendiri. Khabarnya Iran sudah mula mengorak langkah membina enjin pencari (search) yang dikenali sebagai YaHaq! Saya belum cuba explore lagi. Tapi ia satu permulaan yang baik. Allahu Akbar!

Ada juga juga enjin pencari yang dinamakan MuslimSe.com. Tapi tak tahulah sejauh mana keupayaannya.

Ahad, September 05, 2010

TV3 WAJAR BERTAUBAT!

Dahulu sibuk dengan kongsi raya, kini cuba diterapkan pulak unsur-unsur dan kepercayaan agama lain ke dalam iklan hari raya. Berikut artikel dari Pahang Daily Online yang mengulas mengenai iklan berkenan:

Susulan artikel tentang iklan raya TV3 yang dikatakan menghina Islam yang disiarkan oleh stesyen televisyen itu sekarang ini, maka banyaklah rungutan yang telah diterima daripada para pembaca yang langsung tidak menyedarinya. Malahan, mungkin bagi mereka yang selalu tiada di rumah, iklan tersebut memang tidak diketahui langsung. Susulan pendedahan ini juga, semakin ramai umat Islam menghantarkan bantahan di laman facebook bantahan yang turut kami sertakan. Malahan juga difahamkan, banyak pihak mahu supaya pihak TV3 terutamanya CEO Datuk Farid Ridzuan (foto), memohon maaf atas keterlanjuran ini. Malah, tidak kurang juga mereka yang akan mengadakan demontrasi dan membuat laporan polis terhadap insiden ini. Ternyata TV3 sengaja "menjolok sarang tebuan", disaat isu agama dan perkauman sering dipaparkan mereka pula yang cuba melakukan onar. Apakah perlu aduan rakyat dibuat terhadap TV3 agaknya. Apakah Karam Singh Walia bisa membuat ulasan tentang masalah ini?. Semua ini kini bermain difikiran rakyat. Maka, disini kami ingin paparkan satu maklumat terbaru tentang motif iklan tersebut disiarkan oleh TV3. Ternyata ada pihak-pihak tertentu yang ingin mendakyahkan umat Islam terutaman kanak-kanak dan remaja Melayu supaya menerima agama lain dalam hidup mereka terutamanya Kristian dan Buddha. Justeru itulah kita tidak hairan terdapat paparan yang jelas dan memunyai kaitan langsung dengan motif tersebut. Antara pembongkaran dasyat yang telah dikenal pasti ialah:-

Scene1, Budak Lelaki Melayu Tilik Buku

Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia denganbertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung... di sebelah kanan tingkap yang terbuka.


Budak lelaki Melayu ini melihat buku di pondok buruk beratap rumbia

1.Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu
2.Buku - Bible
3.Pondok Buruk Beratap Rumbia - Kemiskinan
4.Malam Yang Gelap - Islam yang mundur
5.Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) - Lucifer@Iblis
6.Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM
7.Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran

Scene2 - Close Up Muka Surat Bergambar Beca

Scene2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted).


Mukasurat tulisan jawi diterbalikkan sebagai satu penghinaan Al-Quran

Muka surat bergambar beca merah lambang kenderaan Santa Claus

1.Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity)
2.Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan
3.Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus
4.North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal)
5.Pokok Krismas - Simbol Paganism

Scene3 , Keluarnya Bintang-Bintang Kecil Beraura

Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya darigambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk.


Budak Melayu lihat beca merah datang bersama lelaki bersongkok putih

1.Bintang-bintang kecil beraura -
Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran, kemodenan etc.
2.Lelaki Rambut Putih Dan Bersongkok Putih -
POPE - Ketua Agama Kristian
3.Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan Masuk Kristian

Scene4, Budak Melayu Masuk Ke Dalam Beca

Budak Lelaki Melayu dengan seorang Budak Perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Scene ini memaparkan kejayaan memurtadkan (merosakkan) Bangsa Melayu) 1.Budak Lelaki Dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu. - yusrizan usop

[Disamping scene-scene yang dinyatakan, ternyata gambaran beberapa orang mengacau dodol dan keluarnya pelita dari kelopak bungat Teratai pula jelas menunjukkan cahaya datang dari Tuhan Brahma (Budhha) untuk menerangi alam ini. Semua ini jelas menunjukkan yang ada agenda jahat pihak berkenaan untuk memesongkan minda umat Islam di negara ini. Maka itu, adalah jelas supaya pihak TV3 memohon maaf secara terbuka dan menghentikan penyiaran iklan tersebut dengan segera. Jika tidak, sudah pasti rakyat akan marah dengan apa yang dipaparkan. Apapun, semoga kejadian ini menjadi pengajaran berguna buat semua terutamanya TV3 agar lebih peka dan sensitif dengan isu agama seperti ini. Jika selama ini mereka banyak menyiarkan isu yang dimainkan oleh pihak lain, kini akhirnya perkara yang sama terkena atas batang hidung merek sendiri pula. Jangan sampai umat Islam di negara ini memboikot pula TV3 nanti!].

Petikan dari Pahang Daily Online
(http://pahangdaily.blogspot.com/2010/09/panas-motif-iklan-raya-tv3-terbongkar.html)

PEMBEBASAN BUKAN PENAKLUKAN


Balik dari surau tadi rasa agak letih. Apa tidaknya, buka puasa tak ikut sunah, minum air berais dekat setengah jag.

Lepas tu kena imamkan tarawih dan witir. Habis tu kena bagi tazkirah pulak. Cadangnya tadi balik rumah terus nak tidur. Jam dah 11 lebih masa tu.

Tiba-tiba anak pasang tv. Chanel 106. Cerita Rayaatul Haq (Flag Of Truth) sedang ditayangkan. Filem ini memaparkan kisah benar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Umar.

Siri pada malam ini memaparkan adegan dua peperangan iaitu Perang Al Qadisiyyah yang membuka laluan kepada kejatuhan Yazdajir, Raja Farisi yang menyembah api. Kedua peperangan menentang tentera Rom yang menguasai Palestin.

Filem ini sungguh menarik khususnya bagi mereka yang menguasai bahasa Arab. Malangnya terjemahan (sari kata) agak kurang baik. Khususnya dalam menterjemah istilah-istilah perjuangan Islam.

Sebagai contoh istilah الفتح di terjemahkan sebagai 'penaklukan'. Salah satu dialog: هذا النصر طريق إلى فتح الفرس Ia diterjemah sebagai: "Kemenangan di Al Qadisiyyah membuka jalan penaklukan Farsi." Berulang-kali kalimah Al Fathu itu diterjemah sebagai menakluk.

Ini adalah terjemahan yang sangat salah. Konsep jihad dalam Islam bukan untuk 'menakluk' sebaliknya untuk membebaskan manusia dari menjadi hamba kepada sesama makhluk untuk menjadi hamba hanya kepada Allah. Sebab itu Istilah yang digunapakai oleh para mu'arrikhin 'AL FATHU' (pembukaan/pembebasan) dan bukannya ISTI'MAR (penjajahan/penaklukan).

Peristiwa Fathu Makkah umpamanya, Nabi SAW dan para sahabat dari Madinah datang ke Makkah dan mengambil alih kekuasaan di Makkah. Di suatu sudut ia kelihatan seperti menakluk kerana orang luar (Madinah) merampas kuasa orang tempatan (Makkah). Tetapi di sudut Islam, ia adalah satu proses memerdekakan Makkah dari penjajahan pemimpin tempatan yang menjajah akidah manusia.

Justeru, ayat di dalam filem itu perlu diterjemahkan sebagai, "Kemenangan di Al Qadisiyyah membuka jalan untuk membebaskan Farsi."



Rabu, September 01, 2010

SALAH CHANNEL DA...

10 isu yang umat Islam sering keliru dan tak tahu mana yang patut diutamakan.

1. Ramai yang marah budak-budak datang masjid buat bising... Tapi tak marah orang dewasa yang duduk diam di rumah, tak mau datang masjid.

2. Mereka sibuk berbicara apa hukum ORG KAFIR masuk masjid, TAPI mereka tak pernah bicara apa hukum ORG ISLAM tak mau ke masjid.

3. Mereka sibuk bincang hal ORG KAFIR dedah aurat dlm surau, TAPI mereka tak cakna ORG ISLAM yang dedah aurat di merata tempat.

4. Mereka marah ORG KAFIR baca ayat Quran dan baca tak ikut tajwid, namun mereka hanya senyum melihat ORG ISLAM tak mau baca Quran dan yang baca tunggang langgang.

5. Mereka melenting bila ORG KAFIR nak sebut nama Allah, sayangnya mereka tak sensitif langsung bila ORG ISLAM menghina ayat-ayat dan hukum Allah.

6. Mereka sibuk membid'ahkan orang buat tazkirah antara tarawih, tapi mereka tak kisah orang lepak minum kopi dan hisap rokok antara tarawih.

7. Mereka sibuk bertanya batal tak wudhu' jika sentuh tangan isteri, tapi mereka tak kisah dosa bersalaman dengan bini orang.

8. Mereka dok tanya orang pusat zakat adakah wang hasil pelaburan mereka boleh dizakatkan, mereka tak tanya pun adakah pelaburan mereka itu diharuskan.

9. Mereka sanggup bersesak-sesak di masjid untuk solat Aidilfitri yang hukumnya sunat tapi mereka tak mau tunaikan solat fardhu di masjid walaupun masjid lengang dan lapang.

10. Lama masa diambil di pasar raya untuk membelek2 label makanan untuk mencari logo halal jakim. Namun mereka dengan lahapnya aply personal loan, pembiyaan kereta/rumah dan kad kredit dll tanpa bertanya 'logo halalnya'. Yang ditanya hanya berapa persen interest... Tak ditanyapun aqadnya syar'I atau tidak.

Hayati kisah ini...

Seorang télah bermusafir dari Iraq menuju ke Madinah. Berbulan-bulan lamanya. Niatnya satu; hendak bertemu Imam Malik untuk mendapatkan penjelasan mengenai hukum darah nyamuk... Sampai di Madinah, beliau terus bertemu Imam Malik dan bertanyakan soalan berkenaan. Imam Malik tidak terus menjawab. Sebaiknya berkata, "Kamu datang sejauh ini semata-mata nak tanya hukum darah nyamuk. Kenapa kamu tidak tanya hukum darah Husain (cucu Rasulullah SAW) yang dibunuh di negeri kamu?"

Fikir-fikirkan...

Selasa, Ogos 31, 2010

BERSAMA IMAM (B) MASJIDIL AQSA

Jumaat lalu (17 Ramadhan) saya bersama keluarga bergerak ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memenuhi jemputan menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan. Kebetulan kami di Pahang bercuti sempena Nuzul Al Quran.

Tazkirah diadakan pada sebelah petang, iaitu sekitar jam 6.00 lebih hingga waktu berbuka. Seusai menyampaikan tazkirah, imam masjid berkenaan, Ustaz Firdaus Al Hafiz maklumkan beliau sedang menunggu kehadiran tetamu ‘besar’ iaitu mantan imam Masjidil Aqsa. Dalam fikiran siapa tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan imam Masjidil Aqsa itu.

Beberapa minit sebelum waktu berbuka tiba-tiba muncul sebuah kenderaan MPV. Beberapa orang keluar darinya. Antara mereka seorang tua berpakaian serba putih. Bahkan janggut dan rambutnya juga sudah beruban penuh. Ya, tidak syak lagi. Beliau ialah Syeikh Mahmud Siyam, mantan rektor Universiti Islam Ghaza. Beliau juga pernah menjawat jawatan imam di Masjidil Aqsa.

Selepas kebangkitan Intifadhah Palestin pada tahun 1989, beliau tidak dibenarkan kembali ke Palestin. Beliau dicop sebagai seorang pemimpin pejuang Palestin yang membahayakan kekuasaan rejim Zionis Israel. Dengan kata lain, orang tua yang uzur itu tidak dibenarkan memasuki Palestin kerana beliau seorang 'pengganas' mengikut kamus Amerika dan Israel. Beliau seterusnya menetap di Yaman.

Syeikh Siyam bukanlah asing bagi saya. Saya terlibat memberikan khidmat kepada beliau dalam beberapa kali kunjungannya ke Malaysia. Saya ditugaskan untuk menjadi penterjemah kepada ceramah beliau yang disampaikan dalam Bahasa Arab.

Saya pernah menjadi penterjemah ceramah beliau di sebuah Masjid Seksyen 17 Shah Alam. Ceramahnya tidak panjang. Bahasanya cukup teratur. Menggunakan Bahasa Arab Fushah yang cukup mudah difahami dan dialih bahasa.

Beberapa tahun sebelum itu saya diminta oleh Muslim Care (sebuah NGO yang sangat prihatin terhadap nasib umat Islam tertindas) untuk menjadi penterjemah dan pengiring kepada Syeikh Siyam di Kuala Lumpur. Malamnya saya bersama beliau di Hotel Grand Season KL. Kami tidur di sebuah bilik yang agak besar bersama rakan-rakan yang lain. Pada waktu subuh, kami berjemaah bersama. Saya sempat menyatakan hasrat untuk menulis buku ketiga berkaitan Palestin. Mendengar niat murni itu, beliau mengambil buku catatan dan menuliskan ’wasiatnya’ untuk dimuatkan ke dalam buku itu nanti. Kertas 4 helai itu saya imbas ke dalam komputer kerana bimbang hilang atau musnah.

Bulan Ramadhan tahun 2009 beliau berkunjung sekali lagi ke Malaysia sebagai memenuhi jemputan pelbagai pihak. Namun saya tidak berkesempatan bersama beliau. Hanya sempat menyapan

ya selepas beliau selesai menyampaikan ceramah di Gombak.

Kali ini saya berpeluang berbuka puasa bersama beliau. Keempat-empat anak saya juga berbuka puasa bersama beliau.

Pada mulanya saya beranggapan bahawa beliau telah mampu untuk pulang ke Ghaza kerana pintu Ghaza kini telah dibuka oleh kerajaan Mesir. Tetapi rupa-rupanya Mesir tidak mengizinkan Syeikh Siyam masuk ke Ghaza melalui negara itu. Jordan juga tidak membenarkannya masuk ke negara itu untuk ke Tebing Barat.

Natijahnya, ulama tua yang sudah uzur ini terus tinggal di Yaman...

Isnin, Ogos 30, 2010

Hukum Non Muslim Masuk Masjid

Ramai yang bertanya mengenai hukum orang bukan Islam masuk ke masjid. Pokok persoalannya bukanlah pada orang bukan Islam itu kerana hukum taklifi tidak terkena ke atas mereka. Yang menjadi persoalan ialah hukum ke atas orang Islam yang memberi laluan atau membenarkan orang bukan Islam masuk ke masjid.

Bagi menjawab persoalan ini, berikut diperturunkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010:

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid

Selasa, Ogos 24, 2010

Beberapa kesilapan dalam silibus Kajian Tempatan

Tanpa matapajaran Sejarah, pendidikan di peringkat sekolah rendah memperkenalkan satu matapelajaran yang dikenali sebagai Kajian Tempatan.

Pelajaran ini agak baik juga kerana ia melatih murid-murid membuat kajian, survey dan penelitian terhadap negaranya. Mereka juga diajar mengkaji komposisi, budaya, agama dan keunikan kaum yang wujud di negara ini.

Namun begitu ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Dalam usaha untuk memahami budaya dan agama lain yang wujud di Malaysia Ia melibatkan aqidah palajar Islam.

Merujuk kepada sebuah buku Kajian Tempatan tahun 6, dalam bab Masyarakat Malaysia ada dinyatakan, 'Agama Hindu bermula di India dan merupakan agama yang tertua di dunia.' Ayat ini terlalu umum dan jika dibaca oleh pelajar Islam yang kurang pengetahuannya, maka mereka akan mengiakannya.

Sedangkan sejak awal penciptaan manusia, Islamlah agama yang menjadi anutan Adam AS. Dan itu sahajalah agama yang diredhai Allah.

Mungkin pengarang hendak menjelaskan pernyataan itu dari perspektif agama berkenaan. Jika benar begitu, maka haruslah diikat ayat berkenaan dengan sandaran, 'Menurut pendapat penganut ajaran Hindu...' Atau, 'Fahaman mereka mendakwa...'

Begitu juga ketika membicarakan tentang agama Kristian. Pengarang secara terus, mengatakan, 'Pengasas agama Kristian adalah Nabi Isa.'

Sebenarnya semua nabi membawa ajaran yang sama iaitu ajaran Islam yang mentauhidkan Allah. Tidak ada nabi yang mengajar aqidah yang bertentangan dengan aqidah tauhid.

Saya bimbang, ini menjadi jarum yang sangat halus untuk mengevolusikan pemikiran pelajar yang akan memberikan kesannya dalam tempuh lama. Jikapun tidak sampai ke tahap murtad dan menyertai agama lain, namun suatu kemungkinan yang besar akan merubah murid-murid dewasa kelak kepada fahaman pluralisme. Iaitu fahaman yang menganggap semua agama itu sama.