Tahun berikutnya (1959), Felda dikembangkan lagi ke kawasan lain. Kali ini, Negeri Johor dipilih dengan pembukaan tanah rancangan yang baru dikenali sebagai Felda Endau. Seterusnya 1961, Felda memulakan penanaman kelapa sawit di tanah rancangan baru yang dinamakan Felda Taib Andak (kg Mawi).
Isnin, Disember 26, 2011
Derita Peneroka Felda Siapa Yang Tahu...
Tahun berikutnya (1959), Felda dikembangkan lagi ke kawasan lain. Kali ini, Negeri Johor dipilih dengan pembukaan tanah rancangan yang baru dikenali sebagai Felda Endau. Seterusnya 1961, Felda memulakan penanaman kelapa sawit di tanah rancangan baru yang dinamakan Felda Taib Andak (kg Mawi).
Jumaat, Disember 23, 2011
Berjuanglah Dengan Ilmu, Bukan Hanya Semangat
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:
Maksudnya:
(Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)
Khamis, Disember 22, 2011
5 Sebab Perlu Pertahan Konsep Negara Berkebajikan
Tika itu baru saya faham maksud ‘cuci’ yang disebutnya. Mungkin dia tak pandai menyebut ‘khatan’. Tetapi dia faham, amalan berkhatan itu adalah amalan yang bertujuan untuk menyucikan tubuh badan dari sebarang kekotoran dan najis yang tesekat pada kuluf kemaluan kanak-kanak lelaki. Secara tidak langsung, walaupun tanpa menyebut kalimah ‘khatan’, si cina itu faham maksudnya dan mempraktikkannya.
Selasa, November 29, 2011
NOSTALGIA HIJRAH II: Kisah Ahli Parlimen Bernama IBLIS
Jumaat, November 25, 2011
Nostalgia Hijrah
Di Makkah, sang isteri Ummu Salamah menangis siang dan malam mengenangkan dirinya yang dihalang mengikuti suami berhijrah ke Madinah. Semakin hari, keadaannya semakin kritikal. Bimbang keselamatan Ummu Salamah, akhirnya keluarga yang masih belum beriman kepada Allah melepaskannya menjejaki suami di madinah.
Sabtu, Oktober 15, 2011
Bila Artis Masuk Parti Politik
Selasa, September 27, 2011
Abdullah Ulwan Dalam Kenangan
Dr Abdullah Nasih Ulwan (pakar ilmu tarbiah kanak-kanak) |
Ahad, September 04, 2011
KELIRU IDEOLOGI ERA PRA KEMERDEKAAN
Apabila negara-negara Barat memfaraidh dunia Islam sesama mereka, ia satu kejutan bagi umat Islam. Selama ini mereka lalai dan alpa terhadap keprihatinan musuh. Lantas mereka terkapai-kapai mencari platform perjuangan.
Yang dilihat menentang ideologi kapitalis Barat ketika itu ialah negara-negara dari blok sosialis-komunis. Maka ia menjadi satu kekaguman bagi pejuang-pejuang kemerdekaan khususnya di negara-negara Arab.Mereka kagum perjuangan Vladimir Lenin (1870-1924) dan Mao Tse Tung (1893-1976). Mereka menelaah perjalanan hidup fasis Benito Mussolini (1883-1945). Bahkan Karl Marx (1818-1883) turut menjadi idola mereka.
Namun dicelah kemelut ideologi ini, masih ramai umat Melayu yang memahami bahawa perjuangan kemerdekaan adalah satu tuntutan agama. Mereka yang kebanyakannya dipimpin oleh para ulama' dan guru-guru pondok menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan perjuangan. Mereka menolak berkiblatkan blok timur mahupun barat.
Kelompok seumpama ini sememangnya wujud di sepanjang zaman. Di Mesir, muncul Hassan Al Banna dengan jamaah Ikhwannya. Di Palestin muncul Syeikh Izzuddin Al Qassam yang memecah kebuntuan ideologi rakyat dalam menentang penjajahan Israel. Malaya juga tidak ketinggalan menyaksikan kebangkitan para ulama' menentang penjajah atas nama Islam.
Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman dan lain-lain adalah tokoh Islam yang mengibarkan bendera jihad menentang tentera salib Inggeris. Pada 1947, para ulama bersidang di Gunung Semanggul dan menubuhkan Hizbul Muslimin dengan slogan, merdeka! Hizbul Muslimin berbeza dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang melaungkan slogan Hidup Melayu! demi untuk menjaga hati penjajah.
Seperti biasa, mana-mana kumpulan yang anti-penjajah akan dilabel pengganas komunis. Lantas Hizbul Muslimin diharamkan. Pemimpinnya termasuk Ustaz Abu Bakar Al Baqir ditangkap. Namun perjuangan menuntut kemerdekaan atas nama Islam tetap diteruskan.
Sabtu, September 03, 2011
ANTARA PENJAJAH, PEJUANG DAN MERDEKA
Khamis, September 01, 2011
Tazkirah Merdeka
Selasa, Ogos 30, 2011
TUAN GURU DATO' PADUKA HJ HASHIM DALAM KENANGAN
Beliau ialah Al Marhum Tuan Guru Dato' Paduka Hj. Hashim b. Hj. Abu Bakar. Dilahirkan setahun sebelum runtuhnya Khilafah Islamiah Osmaniyah Turkey, 1923 di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.
Al marhum berpengalaman menuntut ilmu di Darul Ulum ad-Diniyah, Makkah dari tahun 1936 hingga 1939 dan di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Merbuk, Sungai Petani, Kedah pada tahun 1942.
Sebelumnya beliau berguru dengan Al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali di pondoknya di Batu 26, Bagan Datoh, Perak pada tahun 1940 dan kemudiannya ke Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra, Kedah pada tahun 1944 selama 2 tahun.
Pada tahun 1946 beliau belajar di Pondok Bunut Payong dengan Tuan Guru Hj. Mustafa dan Tuan Guru Hj. Abdul Aziz bin Abu Bakar pengasas Pondok Pasir Tumboh.
Sunnah Raya
1. keluar menunaikan solat aidilfitri (hatta wanita yg dalam haid pun disuruh dtg untuk mendengar khutbah raya)
2. mandi sunnat
3. memakai wangian, bersiwak
4. memakai pakain yang cantik ( tidak semestinya baru dan tidak digalakkan memakai pakaian yg pelik2 dan lain daripada orang kebanyakan)
5. disunnahkan makan sedikit sebelum keluar menunaikan solat raya dan menyalahi sunnah sesiapa yang keluar tanpa menjamah sedikit makanan
6. sunnah berjalan kaki untuk keluar solat hari raya dengan tenang (nabi keluar tanpa menaiki kenderaan kecuali jika tempat solat jauh )
7. sunnah menunaikan solat aidilfitri di tempat lapang (lebih afdhal) bukan di masjid
8. sunnah datang dan pulanh ke tempat solat aidilfitri dengan jalan berbeza
9. di sunnahkan datang awal untuk solat sunnah aid dan imam disunnahkan datang lambat (kerana tidak sesuai imam yg menunggu makmum
10.bertakbir dan bertahmid bermula dalam perjalanan keluar ke tempat solat eid sehingga sehabis solat nabi berhenti bertakbir bertahmid
11.disunnahkan pada hari raya disambut dengan suasana gembira dengan kemenangan bukan bersedih
12.disunnahkan membawa anak2 kecil keluar solat sunnah eid fitr (xsolat pun xpa asalkan keberkatan itu terkena tempiasnya pada budak budak)
13.membuat ucapan raya pada kenalan dan orang sekeliling dgn ucapan TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM
14.sekiranya tertinggal solat raya dibenarkan qada' solat raya secar bersendirian atau beramai ramai
Khamis, Ogos 25, 2011
NASIHATKU BUAT RAKAN-RAKAN DI PEJABAT AGAMA
Hinggalah sahabatku dari Pulau Pinang, Asri Gazi menghantar mesej bertanyakan hal itu; dan aku jawab ringkas, tak tahu. Memang aku tak tahu adanya larangan itu.
Aku cuba mendapatkan kepastian kebenaran khabar berkenaan. Rupa-rupanya sebaik sahaja ditaip 'pahang haramkan tazkirah' dalam ruang injin pencari google, 40,200 result dikeluarkan dalam masa 0.11 saat. Ertinya dah heboh satu dunia. Aku je yang ketinggalan.
Bila rujuk dalam facebook pula, sudah ada rakan-rakan yang menghebahkan perkara sama. Bahkan siap dibekalkan dengan no telefon Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang itu untuk tujuan bertanya jika ada yang keliru dengan larangan berkenaan.
Antaranya Tukul Besi menulis di muka facebooknya, "Jom pakat hubungi TYDP MUIP minta dia jawab kenapa tazkirah haram.Hubungi sekarang 0199313756 Dato Wan Wahid,tel pejabat 094222313."
Akibatnya ada yang memberanikan diri menghubungi Dato' yang dah puluhan tahun berpengalaman dalam jabatan dan majlis agama itu. Seorang pemanggil memberitahu hasil panggilannya, "Kecewa sungguh. Saya bertanya dengan baik pada Dato Wan Wahid, dia jawab dua sebab diharamkan, pertama nak tazkirah mesti ada tauliah, kedua tak perlulah tazkirah sebab mengganggu orang nak solat. Saya tanya di mana nak katakan tazkirah itu mengganggu, kalau yang diajar itu Al Quran, hadis dan sirah. Dia jawab, senang ginilah, kalau tak setuju peraturan kita, letak jawatan. Saya kata nak letak jwtn apa, saya hanya ahli jemaah masjid. Dia matikan HP..."
Aku tak berminat nak ulas adakah wajar atau tidak buat tazkirah bulan Ramadhan, biarpun dalam Al Quran dan hadith banyak menceritakan kepentingan tazkirah. Aku juga tak mahu berceloteh tentang wajar atau tidaknya larangan berkenaan walaupun banyak nas memberi amaran azab Allah yang maha dahsyat di akhirat kelak yang disediakan untuk manusia yng menghalang kerja dakwah. Aku juga tidak mahu tiru orang lain yang mendesak Dato' Wan supaya bertaubat atau letak jawatan walaupun jelas, arahannya kali ini sangat bercanggah dengan tuntutan agama.
Cuma aku nak ingatkan sahabat-sahabat yang memegang pelbagai potfolio di institusi agama Islam, khususnya jabatan agama, majlis agama, pejabat qadhi dan sebagainya supaya kalian tahu dan sedar kalian sebenarnya bekerja dengan siapa. Kalian bukan orang lain. Kalian sama dengan aku juga, asalnya belajar di sekolah agama. Belajar Al Quran, belajar hadith. Kalian juga keluaran universiti Islam dalam dan luar negara. Kalian juga ambil kursus yang sama denganku, di fakulti syariah, usuluddin, pengajian Islam, Bahasa Arab dan lain-lain.
Kalian juga biasa dengan istilah tazkirah, usrah, ta'lim, tamrin, qiam, mukhayyam, jaulah dan sebagainya. Bahkan sebahagian kalian merupakan naqib yang sangat 'syadid' ketika di kampus. Kita dahulu sama-sama dipanggil ke hadapan perbarisan pagi, dirotan pengetua hanya kerana lompat pagar untuk mendengar ceramah tok-tok guru yang datang dari Kelantan dan Terengganu. Kita sama-sama merasa tertekan dengan politiking pengetua kolej yang benci melihat siswa berkopiah dan siswi bertudung labuh.
Bahkan ketika pulang ke kampung halaman, kalian masih syadid, lantang dan berdegar-degar waktu menyampaikan tazkirah, kuliah dan ceramah. Ungkapan awak, engkau, aku dan saya, hampir tak kedengaran dek penangan anta dan ana. Frasa 'zaujah ana' lebih manis dimulut daripada 'bini aku' atau 'isteri saya'.
Namun apabila menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, langkah sebahagian kalian mula berbeza. Bila dah pandai pakai net tai, maka cara berjalanpun lain macam. Bila dah reti isi borang claim dan kira miles, maka mulalah berat nak penuhi jemputan kuliah di surau kecil yang tak sediakan sampul besar. Bila tangga gaji makin besar, mulalah sebahagiannya tanpa segan bertanya penganjur, ada sampul ke tidak. Ke'syadid'an kalian suatu ketika dahulu, kini tenggelam lemas dalam blazer dan songkok tinggi yang dipakai. Menyebabkan kalian menjadi manusia yang begitu takut kepada manusia. Takut kehilangan pangkat, bimbang ditukar ke hulu penghujung negeri. Bahkan kalian turut merasa sangat terhutang budi kepada mereka yang memberi kerja dan yang kalian anggap memberi rezeki dan pendapatan kepada kalian.
Kalian mula menganggap kor-bisnes kalian adalah tugas yang diberi oleh pihak yang kononnya membayar gajii kepada kalian. Kalian lupa kepada hadith Nabi SAW:
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق
Keyakinan kepada Allah sebagai pemberi rezeki mula luntur, biarpun ceramahnya masih berdegar-degar. Tauhid Rububiyah disorok bawah kipatan samping berkilat.
Sahabatku,
Masih ingatkah lagi bait-bait kalimah Al Marhum Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya ماذا يعنى انتمائى للإسلام dan المتساقطون فى طريق الدعوة yang kita usrahkan dahulu? Lupakah kalian kepada ayat-ayat tegas Al Marhum Sayyid Qutub di dalam الحاكمية لله yang kita hadhamkan dahulu? Lupakah kalian kepada perjuangan Al Banna yang membawa kepada pembunuhan ke atasnya oleh talibarut munafiqin. Lupakah kalian rentetan hidup Sayyid Qutub yang berakhir di tali gantung. Atau kalian sudah tidak dapat mengingati kisah perjuangan Dr Abdullah Azzam dan Syeikh Ahmad Yasin yang mengorbankan sebahagian besar usia mereka di medan jihad.
Ayuh sahabatku, refleksi diri. Dengan siapa sebenarnya kalian bekerja? Dengan siapa, manusiakah? atau Allah? Kalian memegang potfolio paling mulia, agama Islam. Sama ada jabatan atau majlis sama saja. Agama ini bukan milik orang yang meluluskan permohonan kerja kalian. Kalian tidak perlu merasa terhutang budi dengan manusia yang menentang Allah. Kalian tidak perlu ada sekelumit simpati kepada mereka yang menentang dakwah.
Ingatlah kisah Imam Ahmad (yang kalian sendiri lebih arif), apabila beliau disiksa oleh 'jallad hukumi' di dalam penjara, beliau membaca sepotong hadith yang menceritakan nasib yang bakal diterima oleh orang zalim dan pembantu orang zalim di dalam neraka kelak. Si tukang pukul bertanya kepada Imam, "Adakah saya juga termasuk di kalangan pembantu orang zalim?" Imam menjawab, "Tidak, kamu bukan pembantu orang zalim. Tapi kamulah sebenarnya orang yang zalim."
Kalimah 'saya yang menurut perintah' atau 'kami hanya ikut arahan' pastinya tidak akan dapat menyelamatkan kalian dari azab Allah wahai sahabatku. Kalian perlu sedar, sewaktu kalian menandatangani surat pemecatan, penggantungan atau penukaran imam hanya kerana imam itu berjuang pada jalan Allah, raqib dan atid juga mencatat perbuatan kalian dengan dakwat yang tidak mungkin padam hingga hari perhitungan di hadapan Allah. Di kala itu, mampukah kalian mengangkat lidah di hadapan Allah, disaksikan seluruh manusia sejak adam hingga akhir zaman, untuk kalian memberi alasan, "Ya Allah saya terpaksa ambil tindakan kepada imam itu kerana saya didesak oleh Ketua Bahagian." Adakah kalian mampu berkata demikian yang secara tidak langsung meletakkan Allah di tempat ke belakang dalam senarai pihak yang patut kalian takut.
Sahabatku, kalian jangan sangka ketika kalian menyekat elaun imam dan guru ta'mir, kalian boleh mendapat keamanan dari orang atas. Ingatlah, (dan kalian lebih mengetahuinya) sesungguhnya orang yang dizalimi itu, apabila dia mendongak ke langit menandah tangan memohon kepada Allah, maka Allah Maha Malu untuk tidak memperkenankan doanya.
Sahabatku, jangan kalian menjadi Haman kepada Firaun. Pemimpin mungkin berlaku zalim, jahat ataupun fasiq. Tetapi mereka akan jadi lebih zalim dan jahat apabila ada pegawai seperti Haman. Justeru, bantulah pemimpin kalian dengan tidak mentaati mereka dalam perkara mungkar.
Sedarkah kalian, di luar sana gerakan Islam didokong oleh rakyat marahaen, orang kampung, pemuda yang jahil, yang tidak berpeluang mendalami ilmu Islam ke puncak Al Azhar dan ke menara UIA. Namun mereka thabat, mereka berada di saf hadapan dalam solat dan dalam jihad. Mereka rela bermandikan asap dan asid demi mempertahankan kesucian Islam. Infaq bulanan yang sekadar RM10 dari mereka sungguh tinggi nilainya berbanding derma kalian berjumlah RM1000. Mereka memerah otak, berbincang, merancang, memerah keringat mencari di mana para ustaz untuk memimpin mereka dalam menggerakkan perjuangan memartabatkan Islam.
Cukuplah dosa kalian yang tidak membantu gerakan Islam. Jangan ditambah lagi dengan 'dosa extra' menghalang manusia dari jalan Allah.
Sahabatku, hentikanlah kerja najis kalian menghantar wakil merakam tazkirah, ceramah, kuliah dan khutbah untuk dipersembahkan kepada pemimpin yang sememangnya memusuhi pejuang-pejuang Islam. Hentikanlah bersikap samseng terhadap mimbar, kerana di luar sana ada kedai judi yang kalian perlu bertindak lebih samseng.
Hentikanlah mengganggu aktiviti dakwah kerana di luar sana ada couple yang perlu kalian ganggu. Hentikanlah perbuatan menyekat tauliah kerana di luar sana terlalu banyak pesta berlesen yang perlu kalian sekat.
Sahabatku, kita semua akan mati. Aku akan mati, kalian juga mati. Tiada diketahui siapa yang akan pergi dahulu. Namun yakinlah, perjalanan selepas itu adalah lebih panjang, sangat panjang. Panjang yang tiada berpenghujung.
اللهم هل بلّغت
Rabu, Julai 27, 2011
WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS
Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,
Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.
Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya”
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya)." (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk.” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihat Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!
Mohd Asri Zainul Abidin
Ahad, Julai 24, 2011
Bahaya Kanser Paru-Paru
Kanser paru-paru menjadi masalah yang semakin besar pada wanita setiap tahun. Jika kecenderungan sekarang berlanjutan, dalam masa 10 ke 15 tahun, kes kanser paru-paru pada lelaki dan wanita akan muncul : kejadian ini akan menjadi sama, bila 3.5:1 (3 kali lebih bagi lelaki) pada tahun 1975, dan 1.5:1 pada tahun 1999.
Umur yang sesuai untuk diagnosa ialah 66 tahun. Rawatan kanser paru-paru adalah susah, sebab ia sudah terlewat apabila membuat rawatan: bila membuat diagnosa pada peringkat lewat, 50% daripada kes-kes menunjukkan metastasis. Semakin ramai kematian yang disebabkan oleh kanser paru-paru dibanding dengan pergabungan kanser kolon, payudara dan prostat.Dalam tahun 2004, anggaran kes-kes baru kanser paru-paru di Amerika Syarikat adalah 173,770 : 93,110 kes-kes antara lelaki dan 80,660 antara wanita, menurut kepada Persatuan Kanser Amerika. menaksir 160,400 kematian, lebih kurang 30% daripada semua kematian yang disebabkan oleh kanser, akan berlaku dalam tahun 2004.
- Batuk berdarah;
- Kajian radiografik; - dos petanda tumor : peningkatan nilai satu atau beberapa petanda tumor boleh terjadi beberapa bulan sebelum ia muncul semula. Rawatan susulan ini perlu dilakukan setiap bulan, kemudian setiap tiga bulan..
Berhenti merokok mengurangkan risiko kanser paru-paru selepas 10 tahun. Pemeriksaan CT dengan dos rendah / resolusi tinggi, bergabung dengan ujian petanda tumor, akan memperbaiki keadaan kanser paru-paru. Petanda tumor yang disebut di atas adalah sebahagian daripada ujian Biomarkers C12; anda dinasihatkan menjalani ujian ini sekali setiap tahun.
MAHASISWA MESIR BANGKIT
Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), lapor laman web Media Mesir.
"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama Encik Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka.
"Sebelum ini juga Encik Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan,” katanya lagi.
Selain itu terdapat juga usaha serius untuk menyekat zakat dan dermasiswa terhadap mahasiswa, antara yang terbabit ialah Negeri Perak, Terengganu dan lain-lain yang disekat zakat mereka.
Pada tahun lepas, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melancarkan Borang Aduan Hak Mahasiswa.
Usaha tersebut bagi membuka ruang kepada mahasiswa untuk membuat aduan tentang pencabulan hak mahasiswa.
Seterusnya segala aduan tersebut telah dihantar secara bertulis kepada Encik Saiful, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ketika itu.
"Saya mengingatkan bahawa mahasiswa bukanlah bahan mainan. Mahasiswa akan bangkit sekiranya hak mereka dicabul,” kata Nuruddin mengakhiri perbualan.
Pada 19 Julai lalu, Desak telah menganjurkan solat hajat dan penerangan isu semasa.
Program yang menghimpunkan lebih 2,000 orang mahasiswa tersebut telah didukungi oleh beberapa persatuan pelajar, iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Persatuan Perubatan dan ABIM Mesir.
Di dalam program tersebut, para mahasiswa telah didedahkan dengan beberapa kes pencabulan hak mahasiswa yang dilakukan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
Antara kes pencabulan hak mahasiswa yang disenaraikan ialah 3 orang mahasiswa yang dihalau daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) tanpa sebarang notis, 40 senarai nama hitam dari negeri Perak yang terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0, beberapa orang yang menerima ugutan dari Negeri Terengganu dan seorang mahasiswa yang telah dibatalkan pengajiannya.
Selain itu beberapa aduan yang diterima, pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) banyak menyusahkan mahasiswa ketika berurusan dengan mereka.
Antaranya, pegawai JPMK akan merujuk album-album gambar Bersih 2.0 terlebih dahulu bagi menjalankan sesi soal siasatke atas mahasiswa dan mahasiswi yang ingin membuat urusan sebagai rakyat Malaysia.
Ahad, Julai 10, 2011
RINTIHAN TOK GURU DI SISI BAITULLAH
Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang. Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap UMNO.
Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden UMNO. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun? Bukankah Presiden UMNO baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?
Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti.
UMNO barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa. Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman UMNO yang dilakukan pada hari ini.
Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. UMNO pasti akan jatuh tersemban juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.
Dicatat pada : 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan), 9 Julai 2011.
Selasa, Jun 21, 2011
HIKMAH DI SEBALIK ISRA' DAN MI'RAJ
Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.
Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.
Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)
Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).
Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)
Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.
Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.
Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.
Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.
Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.
Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.
Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.
Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.
Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.
Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.
Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.
Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.
Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.
Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).
(Petikan tulisan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang)
Khamis, Jun 16, 2011
Akan berkumandang lagikah isu 'Kafir Mengkafir'?
Tahun 80-an menyaksikan arena politik Melayu diwarnai isu 'kafir mengkafir' khususnya antara 2 gergasi politik Melayu, PAS dan umno.
Segala-galanya berpunca daripada konflik aqidah dan iman yang masih belum begitu difahami oleh sebahagian umat Islam. Bahkan amalan se'simple' bertudungpun masih terlalu baru. Pendakwah yang lantang membawa isu aurat, ditangkap di bawah akta ISA.
Justeru para ulama' memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati sewaktu berbicara tentang politik. Umum mengetahui, PAS ketika itu lantang menuntut supaya sistem dan undang-undang Islam dilaksanakan dalam pemerintahan negara.
Manakala umno pula waktu itu sangat tidak bersetuju dengan saranan PAS. Maka berlaku pertembungan ideologi yang dahsyat.
Bagi mengikis dakwah PAS dan memastikan rakyat tidak 'terpengaruh' dengan kesahaman itu, umno berusaha sedaya upaya berhujah dan mempergunakan segala saluran yang ada.
Ketika itulah keluarnya kenyataan-kenyataan dan ucapan pemimpin umno yang memberikan gambaran yang buruk kepada undang-undang Islam termasuk antaranya apa yang dikenali sebagai Hukum Hudud.
Mereka mula mengkritik apa yang disifatkan kelemahan dalam undang-undang Hudud contohnya kesukaran untuk mendapat 4 orang saksi yang adil, ketiadaan peruntukan dalam kes rogol, penolakan kesaksian wanita, pengasingan perbicaraan antara pesalah Islam dan bukan Islam dan lain-lain.
Para ulama' mengambil tindakan pro-aktif memberikan penjelasan terhadap kekeliruan dan tasykik yang ditimbulkan. Namun ia menjadi rumit apabila kritikan itu bertukar menjadi kecaman, penghinaan dan bahan gurauan yang menjijikkan.
Terpantul keluar dari mulut pemimpin umno, "Kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan," "Hukum Islam ni dah tak sesuai zaman sekarang dan layak diletak dalam muzium," "Kalau laksanakan Hukum Hudud, negara akan mundur, pelabur akan lari," "Kalau laksanakan hukum Islam, umat Islam akan dihina sebab kudung tangan belaka...." dan berbagai-bagai lagi ayat yang diucap dan disiarkan secara berleluasa oleh media massa.
Ayat-ayat ini tidak boleh dijawab secara ilmiah, kerana ia lebih berbentuk kecaman dan penghinaan. Justeru para ulama' mengambil reaksi yang lebih tegas dengan memberi amaran supaya jangan berkata begitu kerana dibimbangi akan merosakkan aqidah. Lebih membahayakan, ada antara ucapan-ucapan itu yang boleh membatalkan iman dan Islam pengucapnya sekali gus menyebabkannya murtad dan terkeluar dari Islam.
Bagi mengautoritikan amaran itu, para ulama' banyak menggunakan kitab Mustika Hadith yang diterbitkan oleh BHEIS Jabatan Perdana Menteri.
Namun penjelasan-penjelasan ulama' itu dianggap sebagai tindakan 'mengkafirkan' mereka. Maka merekapun membalas dengan mengatakan, "Kamulah kafir." Terdapat rakaman CD yang dibuat terhadap Ali Rustam dan beberapa pemimpin umno yang mengganggu ceramah Haji Hadi Awang di Melaka di mana salah seorang yang berucap pada malam itu berkata, "Tuan-tuan tengok ini gambar Hadi Awak berpeluk dengan Kit Siang. Siapa kafir?" Lalu orang ramai menjawab, "Hadi Awang kafir!" Penceramah itu lalu mengiakan, "Ya Hadi Awang yang kafir."
Suasana begitu teruk. Tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Para ulama' yang berceramah di masjid dan surau terus dengan tugas mereka menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Mereka berkuliah tanpa bermusim seperti ahli politik.
Hasilnya, masyarakat semakin faham tentang undang Islam. Pemimpin-pemimpin bawahan umno juga sudah mula faham tentang kemulian dan kehebatan hukum Islam. Hinggakan pernah seorang perwakilan mencadangkan di dalam Perhimpunan Agong parti itu supaya kerajaan melaksanakan Hudud.
Abad melineum baru ini kita sudah jarang mendengar penghinaan seperti dahulu kerana ramai yang sudah faham.
Malangnya sejak awal 2011, media pula bertindak undur ke belakang dengan menyiarkan kembali penghinaan yang telah berkubur. Mungkinkah ini yang dikatakan operasi membangkitkan hantu kubur?
Selain tulisan, para kartunis yang berkhidmat kepada media perdana menggunakan kemahiran anugerah Allah kepada mereka untuk menghina hukum Allah. Terkini, Utusan menyiarkan kartun dua sessi, pertama menggambarkan seorang ulama' yang kejam dan tidak mahu membela wanita yang dirogol hanya kerana mempertahankan hukum Islam. Kedua gambar polis yang baik dan membela wanita berkenaan.
Penyiaran ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk Persatuan Ulama' Malaysia. Justeru perlukah ulama' kembali melaungkan dengan pembesar suara bahawa ia perbuatan yang merosakkan aqidah?
Perlukah para mufti memfatwakan murtad terhadap kartunis biadap ini? Dan akan berulangkah isu kafir mengkafir yang pernah menggawatkan gelanggang politik negara suatu waktu dahulu!
Sabtu, Jun 11, 2011
SURAT AMARAN DR M KEPADA NIK AZIZ 17 TAHUN LALU
PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Y.A.B. Tuan Haji,
PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994
Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.
1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.
2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.
3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.
4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:
(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.
Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.
(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.
5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .
6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.
7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994